LAWATAN HOSPITAL BAHAGIA ULU KINTA

Pada 14 November 2024, telah diadakan satu lawatan ke Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK). Hospital ini mula beroperasi pada 1909 dan dikenali sebagai Federal Lunatic Asylum Tanjong Rambutan pada ketika itu. Ia berkeluasan 504 ekar dan mempunyai 78 wad yang menempatkan 1800 buah katil.

Kehadiran kami disambut oleh Dr Calvin Singh, Timbalan Pengarah HBUK. Kemudian kami diberi taklimat dan seterusnya dibawa melawat wad, pasar tani, perpustakaan, muzium dan program pertanian agro-komuniti. Kami juga sempat singgah minum air tebu segar hasil tanaman kebun di sini. Hospital ini ibarat sebuah pekan kecil yang memenuhi keperluan penghuninya yang merupakan pesakit-pesakit mental di sini.

Pada petangnya kami berpeluang menyertai mesyuarat Lembaga Pelawat HBUK yang dipengerusikan oleh Dr Noor Izuana binti Redzuan. Banyak juga kami dapat belajar dari segi perjalanan mesyuarat dan perbincangan tentang kebajikan pesakit. Selepas itu kami bersama Lembaga Pelawat HBUK telah melawat wad psiko-geriatrik wanita yang pesakit paling tua berumur 92 tahun dan sudah lebih 30 tahun ‘menginap’ di wad tersebut.

Sebagai sebuah institusi terulung dalam perkhidmatan psikiatri di negara kita, HBUK dapat kami jadikan contoh yang ideal dalam melaksanakan amanah sebagai Lembaga Pelawat Psikiatri Hospital Sultanah Bahiyah.














Comments