Pada 7 April 2026, Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) dan AADK Daerah Kota Setar telah mengadakan lawatan ke rumah seorang klien wanita berumur 31 tahun di Mukim Mergong. Dia tinggal bersama ibunya pesakit strok dan bapanya OKU pendengaran. Tiga orang adiknya yang berumur 21-27 tahun juga merupakan OKU masalah pembelajaran turut tinggal bersama. Mereka tidak mempunyai pekerjaan secara tetap. Keluarga ini adalah penerima bantuan daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah dan kesemua mereka mempunyai kad OKU.
Klien wanita ini mempunyai tiga orang anak, dua anaknya kini tinggal bersama keluarga suami. Suaminya juga terlibat dengan penagihan dadah dan dimaklumkan tidak dapat dikesan buat masa ini. Anak lelakinya yang bongsu sahaja yang berumur 10 tahun berada di bawah jagaannya. Malangnya kanak-kanak ini masih tidak mempunyai sijil kelahiran dan tidak pernah bersekolah. Dengan bantuan jirannnya, urusan mendapatkan sijil kelahiran telah dibuat dan sedang diproses. Kami meminta kanak-kanak ini didaftar segera untuk persekolahan selepas mendapat sijil kelahiran nanti. Insya Allah lawatan susulan akan diadakan bagi memantau keluarga ini.
Kisah keluarga ini adalah satu realiti kehidupan bagaimana isu penagihan dadah adalah hanya sebahagian daripada isu ekonomi dan sosial yang berlaku. Jika isu penagihan dadah tidak dilihat secara holistik iaitu hanya sekadar menumpukan kepada program pemulihan semata-mata tanpa melihat isu sosial yang membelenggu, tentunya isu pelencongan sosial yang lebih serius pasti akan mengancam keluarga ini pada masa akan datang.



Comments
Post a Comment