7 MITOS PENYAKIT DIABETES

7 MITOS PENYAKIT DIABETES

Penyakit Diabetes Mellitus atau kencing manis sudah menjadi satu penyakit kronik yang telah lama menghantui masyarakat di Malaysia sejak negara mula mencapai status negara membangun. Fenomena ini sememangnya terjadi kesan daripada peningkatan taraf ekonomi rakyat menyebabkan mereka terdedah kepada cara pemakanan dan gaya hidup tidak sihat. Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang dijalankan kali keempat pada 2011, menunjukkan 15.2% atau 2.6 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas mengidap diabetes. Maka tidak hairanlah, komplikasi seperti kebutaan, penyakit jantung koronari, strok, kerosakan buah pinggang, mati pucuk dan amputasi anggota akan menimbulkan beban kepada individu, keluarga dan negara bukan sahaja dari segi kewangan semata-mata malah menjejaskan kualiti hidup dan boleh membawa maut.
Malangnya masyarakat kita masih kurang jelas tentang penyakit ini dan masih banyak salah faham yang boleh mengakibatkan amalan yang salah dalam mencegah dan mengawal komplikasi diabetes ini. Di sini penulis utarakan 7 mitos yang sentiasa dirasakan benar oleh pesakit dan masyarakat tetapi sebenarnya tidak.  

1. Kawalan gula tidak penting dalam Diabetes
Pesakit yang berfikiran sebegini tidak merasakan diabetes merupakan satu gejala yang serius. Mereka perlu sedar satu-satunya cara untuk mencegah komplikasi adalah dengan mengawal kandungan gula dalam darah. Nilai gula atau glukosa dalam darah yang baik adalah 4.4 hingga 6.1mmol/l bagi ketika berpuasa dan 4.4 hingga 8.0mmol/l untuk selepas makan atau purata gula dalam darah untuk jangkamasa 3 bulan (HbA1c) ialah 6.5%. Selain itu, bukan sekadar kandungan gula sahaja yang perlu dikawal tetapi juga kandungan kolesterol, tekanan darah dan berat badan bagi mengurangkan risiko komplikasi buruk yang telah disebutkan di atas.

2. Hanya orang gemuk sahaja akan mendapat Diabetes
Walaupun kegemukan atau obesiti merupakan satu risiko mendapat diabetes tetapi hal ini tidak semestinya berlaku kerana sesiapa sahaja yang terdedah kepada cara hidup tidak sihat boleh mendapat diabetes. Malah, pesakit yang mengalami kegagalan organ pankreas yang fungsinya untuk menghasilkan hormon insulin (yang mengawal kandungan gula dalam darah) akan mengalami penurunan berat badan dan menjadi kurus.

3. Pesakit diabetes tidak boleh melakukan senaman dan perlu banyak berehat
Satu perkara yang tidak benar dan sebaliknya pesakit diabetes perlu menjalankan aktiviti senaman yang konsisten bagi meningkatkan keberkesanan hormon insulin di samping mengawal berat badan dan menguatkan jantung. Senaman juga dapat meningkatkan kecergasan badan, membantu aliran darah dan menjadikan tidur lebih nyenyak.

4. Pesakit tidak perlu mengawal pemakanan sekiranya telah makan ubat diabetes
Penjagaan pemakanan terutama yang berkalori tinggi (bukan sekadar jumlah gula dalam minuman/makanan) dan pengambilan ubat mengikut jadual harus dilaksanakan selari agar kandungan gula dalam darah dapat dikawal disertai dengan aktiviti fizikal yang berdisiplin. Tiga elemen ini merupakan perkara utama yang perlu diterapkan bukan sahaja untuk mengawal diabetes tetapi juga dalam mencegah komplikasi.

5. Suntikan insulin bermakna sudah sampai peringkat teruk Diabetes
Tidak semestinya kerana ada pesakit yang sudah memerlukan suntikan insulin pada peringkat awal penyakitnya didiagnosa, disebabkan hormon insulin semulajadi dalam badannya sudah tidak berfungsi atau sudah tidak dihasilkan lagi oleh kelenjar pankreas. Kadangkala, penggunaan insulin menunjukkan penyakit sudah sampai ke peringkat yang ubat makan tidak lagi berkesan dan suntikan insulin penting untuk menjadikan kawalan gula dalam darah menjadi lebih baik. Pesakit diabetes pada masa ini tidak perlu lagi takut akan suntikan insulin kerana jarum yang digunakan sangat halus dengan hanya memberi tahap kesakitan yang sangat minimum. Malah telah terbukti dalam kajian antrabangsa bahawa suntikan insulin adalah kaedah pengawalan gula yang paling berkesan terutama bagi insulin sintetik yang tindakbalasnya serupa dengan insulin fisiologikal.    

6. Ubat diabetes menyebabkan kerosakan buah pinggang
Ini merupakan salah faham yang paling berleluasa dan sentiasa dijadikan penyebab kenapa pesakit enggan mengambil ubat diabetes untuk jangkamasa yang lama. Kebenaran adalah sebaliknya, apabila pesakit tidak mengambil ubat diabetes mengikut jadual dan secara konsisten, akan menyebabkan kandungan gula dalam darah yang sentiasa tinggi sehingga dalam jangkamasa panjang akan merosakkan pula buah pinggang sehingga memerlukan dialisis. Jika pesakit mengalami masalah buah pinggang, ini merupakan kesan diabetes itu sendiri dan bukannya berpunca daripada ubatan. Oleh itu pemantauan berkala melalui pengambilan darah dan air kencing penting bagi mengesan masalah buah pinggang ini di peringkat awal agar dapat dilambatkan kesan buruk yang boleh membawa ke peringkat dialisis. Di Malaysia, 55% pesakit tahap akhir kerosakan buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis adalah pesakit diabetes. Satu lagi faktor yang selalu menjadi punca masalah buah pinggang ini adalah pengambilan ubat-ubatan daripada pihak yang tidak bertauliah atas nama ramuan semulajadi atau tradisional. Sudahlah dijual dengan harga yang tidak murah, tiada kajian saintifik yang membuktikan keberkesanannya, bahkan ada yang tidak mendapat kelulusan kementerian kesihatan. Ini amat berbahaya kepada pesakit.      

7. Mengidap Diabetes ibarat menunggu hukuman mati
Ada ramai pesakit diabetes yang menjalani kehidupan yang berkualiti seperti orang biasa. Mereka ini adalah pesakit yang mengamalkan cara hidup sihat dengan mengawal diet mereka, beraktiviti fizikal dan mengambil ubat diabetes dengan berdisiplin. Malah jangka hayat mereka lebih panjang daripada orang yang tiada diabetes. Hidup mereka tidak dihantui oleh komplikasi-komplikasi buruk yang menjejaskan kualiti hidup. Mereka sedar diabetes belum ada penawar yang terbukti dapat menyembuhkan mereka tetapi mereka memilih jalan untuk hidup dengan diabetes melalui tingkahlaku yang positif dan sentiasa belajar tentang penyakit yang mereka hidapi.

Kesimpulannya, kerjasama antara individu, keluarga dan masyarakat beserta pihak pengamal perubatan amat penting bagi menyebarkan kesedaran tentang bahaya diabetes dengan disertai perkongsian ilmu yang benar bagi mencegah dan mengawal penularan diabetes di negara kita. Hanya maklumat dan ilmu yang benar sahaja yang dapat membawa kebijaksanaan.

-Dr Zaki Zamani bin Abd Rashid-

Artikel ini telah disiarkan dalam Akhbar Suara Pelindung Pengguna edisi April 2015

Comments