ADAKAH UBAT ANDA BERKESAN?

ADAKAH UBAT ANDA BERKESAN?

Lambakan ubat-ubat dan makanan kesihatan yang boleh dibeli terus daripada pasaran menjadikan industri ini menjadi satu perniagaan yang amat menguntungkan di negara kita. Bahan dan kaedah alternatif ini dijual dengan bertemakan ‘ubat kuat’ untuk lelaki, menguruskan badan dalam masa yang singkat, produk kecantikan malah ada yang mengaku dapat menyembuhkan penyakit-penyakit kronik. Selain pil, tidak kurang juga yang menjualnya dalam bentuk jus dan kopi. Sehingga ada yang mendakwa ubat mereka boleh menyembuhkan semua penyakit daripada diabetes hingga kanser. Maka tidak hairanlah, rakyat dan pengguna sentiasa tertipu dengan ubat-ubatan ini yang berselindung di sebalik istilah tradisional, herba dan ramuan semulajadi. Negara kita tidak seperti negara maju lain seperti Amerika Syarikat yang mana ubat-ubat di pasaran dikawal dengan ketat oleh agensi Food&Drug Administration(FDA) dan setiap pembelian ubat yang terkawal ini memerlukan preskripsi daripada pengamal perubatan yang bertauliah. Mungkin pihak kerajaan kurang bertegas dalam isu ini kerana tidak mahu dikatakan menyekat industri makanan kesihatan dan rawatan tradisional yang sedang berkembang pesat di negara kita sejak akhir-akhir ini.
Sebagai pengguna yang bijak, persoalannya sekarang bagaimanakah untuk kita tahu yang ubat-ubat ini sebenarnya selamat dan berkesan? Tidak dinafikan banyak syarikat yang menyatakan ubat mereka mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan yang menjamin produk mereka selamat, tetapi adakah ia berkesan? Dalam bidang perubatan moden, terdapat satu disiplin ilmu yang dinamakan Evidence Based Medicine (EBM) atau perubatan yang berasaskan bukti saintifik. Ini merupakan satu kaedah yang akan memastikan ubat atau prosedur perubatan yang dipraktikkan benar-benar berkesan dan bermanfaat kepada pesakit. Maksudnya, sebelum sesuatu ubat itu dipasarkan setiap ubat akan dinilai melalui pelbagai peringkat dan dalam pelbagai aspek dari sudut etika, keselamatan, kesan sampingan dan manfaat yang boleh diberikan dalam menyembuhkan sesuatu penyakit. Setiap pesakit yang terlibat dalam kajian yang diuji dengan ubat baru sentiasa dipantau perkembangannya. Ini tidak sama dengan setengah-setengah pihak yang menggunakan testimoni 2-3 orang ataupun paling ramai pun 10 orang yang menyatakan ubat atau kaedah rawatan tertentu itu menyembuhkan mereka. Walaupun begitu, latar belakang dan bukti pengambilan ubat tersebut oleh mereka boleh dipertikaikan kerana semua ini adalah untuk tujuan pengiklanan komersil. Penulis fikir pengguna dapat memikirkan ubat mana yang lebih berkesan, sebagai contoh ubat Aspirin (ubat cair darah) yang telah dibuktikan bermanfaat kepada lebih 17 ribu orang pesakit yang mengidap serangan jantung koronari dalam satu kajian antarabangsa, berbanding ubat yang hanya dibuktikan oleh kurang daripada 10 orang pesakit dan hanya dipersembahkan dalam bentuk testimoni. Tidak kurang juga ada ubat yang dikatakan menggunakan ramuan tradisional tetapi sebenarnya telah mencampurkan ubatan moden bagi menjadikan ubat mereka lebih berkesan, terutamanya ubat tenaga batin lelaki yang mencampurkan sildenafil (Viagra) dan ubat urat (untuk arthritis) yang menggunakan steroid.Tidak dinafikan kajian saintifik seperti randomised controlled trial (RCT) ini memerlukan kos yang besar untuk melaksanakannya. Tetapi dengan bantuan dana dan kepakaran, sekiranya kita dapat buktikan secara saintifik bahawa ubatan tradisional ini berkesan, industri ini akan mendapat pasaran yang lebih luas di peringkat antarabangsa.

Sebagai pengguna pula kita harus bijak memilih ubat dan kaedah perubatan yang selamat dan berkesan serta jangan mudah tertipu dengan dakwaan-dakwaan yang hanya indah didengar. Sememangnya setiap penyakit ada ubatnya tetapi pengambilan ubat yang salah bukan sahaja merugikan kita dari segi kewangan malah boleh memudaratkan kesihatan kita. Sentiasalah dapatkan nasihat daripada pengamal perubatan yang bertauliah dan tanamkan sifat suka mengkaji agar kita sentiasa selamat. 

- Dr Zaki Zamani bin Abd Rashid-

Artikel ini telah disiarkan dalam Akhbar Suara Pelindung Pengguna edisi November 2014

Comments