GAJET DAN ANAK ANDA

GAJET DAN ANAK ANDA

Dalam era teknologi moden kini, penggunaan gajet-gajet seperti tablet dan telefon pintar yang menggunakan aplikasi internet adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Ditambah pula dengan penggunaan media yang sedia ada seperti televisyen dan permainan video, telah menjadi kegilaan anak-anak kita terutama yang tergolong dalam generasi Y. Di Amerika Syarikat, pihak American Academy of Paediatrics (AAP) telah mengeluarkan garis panduan bagaimana untuk ibu bapa dapat mengawal penggunaan media-media dan gajet-gajet di kalangan anak-anak mereka. Ini berikutan pihak AAP dalam kajiannya mendapati kadar penggunaan media elektronik seperti televisyen, ipad, komputer dan telefon pintar iaitu jumlah ‘screen time’ bagi kanak-kanak yang berumur 8-10 tahun telah mencapai 8 jam sehari. Fenomena ini amat membimbangkan kerana Amerika Syarikat adalah negara yang telah mula merasai kesan-kesan buruk media ini kepada kanak-kanak mereka kerana kebanjiran penggunaan gajet-gajet ini bermula di sana. Oleh itu, kita di Malaysia harus mula mengambil berat isu ini sebelum ia menjadi lebih serius yang boleh mengancam masa hadapan anak-anak kita.
Pihak AAP telah mengesan dalam kajiannya bahawa kanak-kanak yang tidak dikawal pendedahan terhadap media-media ini boleh menyebabkan masalah gangguan fokus terhadap pembelajaran di sekolah, masalah obesiti, sikap agresif, masalah tidur yang juga bakal mengganggu mood, sikap, pembelajaran; serta pendedahan terhadap unsur-unsur negatif yang menjadi kandungan media tersebut. Atas kesedaran ini, maka tidak hairanlah, AAP telah mengambil inisiatif menerbitkan satu garis panduan  yang berasaskan kajian-kajian terkini  sebagai rujukan para ibu bapa. Dalam garis panduan tersebut, adalah dicadangkan tempoh masa penggunaan gajet bagi kanak-kanak yang berumur 2 tahun hingga 18 tahun atau  ‘screen time’ yang dibenarkan bagi mereka dalam sehari hanyalah tidak lebih daripada 2 jam sahaja. Manakala bayi yang berumur 2 tahun ke bawah tidak digalakkan langsung untuk diberi pendedahan berkenaan teknologi gajet ini malah penggunaannya secara tidak langsung juga harus dielakkan (seperti menidurkan bayi dalam keadaan televisyen yang sedang terpasang). 
Tentunya pengamalan garis panduan ini adalah sesuatu yang sukar dilaksanakan kerana begitulah keluhan yang lahir sebagai respon daripada ibu bapa di sana. Walau bagaimanapun pihak AAP ada mencadangkan jika perkara ini tidak dapat dielakkan, adalah lebih baik jika penggunaan gajet ini dan kandungannya dipantau oleh ibu bapa, sebagai contoh, permainan video yang baru dimuat turun dimainkan oleh ibu bapa terlebih dahulu bagi memastikannya bersih daripada mesej-mesej yang tidak sihat. Pasti hal ini akan menyusahkan pula ibu bapa kerana tujuan dibenarkan anak-anak bermain gajet ini adalah sebagai memberi ruang masa kepada ibu bapa untuk melakukan kerja-kerja lain dan gajet digunakan sebagai untuk mengalih perhatian anak. Namun begitu, memang jelas penggunaan gajet bersama-sama anak tidak dinafikan manfaatnya terutama dari segi menggalakkan interaksi dan komunikasi  lebih-lebih lagi jika kandungan media tersebut bercorak pendidikan. Ada pakar yang mengatakan gajet yang bercorak interaktif seperti ipad adalah lebih selamat, dan kesan jangka masa panjangnya terutama yang melibatkan perkembangan kognitif masih lagi dalam peringkat kajian.
Kesimpulannya, garis panduan hanyalah sebagai satu nasihat kepakaran yang rasmi tetapi semua ini bergantung kepada kebijaksanaan pemantauan ibu bapa. Ibu bapa juga harus bijak mengimbangkan penggunaan gajet ini di kalangan anak-anak kerana semestinya kita juga tidak mahu generasi kita ketinggalan dalam teknologi pada masa warga negara-negara lain sedang melangkah lebih jauh. Kita mahukan generasi yang mampu membawa transformasi sosial, politik dan budaya dalam acuan kita di peringkat global. Semua ini bergantung bukan sekadar sejauh mana ibu bapa dapat mendisiplinkan anak-anak dalam penggunaan gajet ini tetapi juga sejauh mana mereka sendiri dapat mengawal disiplin diri mereka ketika menggunakan media moden ini. Jika ibu bapa sendiri pun tidak mampu mengamalkan disiplin yang baik, secara tidak langsung ia juga akan menjejaskan usaha pemantauan anak-anak mereka. Kepimpinan melalui teladan.


-Dr Zaki Zamani bin Abd Rashid-

Artikel ini telah disiarkan dalam Akhbar Suara Pelindung Pengguna edisi Januari 2015

Comments