KETUM ITU DADAH

Ketum juga dikenali sebagai kratom, thang, biak dan kakuam merupakan sejenis pokok tropikal yang mudah didapati di utara Asia Tenggara terutama di Malaysia, Thailand dan Myanmar. Ketum atau nama saintifiknya Mitragyna Speciosa telah ditemui oleh Ahli botani Belanda, Pieter Willem Korthals pada tahun sekitar tahun 1800. Ketum telah diharamkan di Thailand sejak penggubalan Akta Kratom 2486 tahun 1943 bagi mengawal penyalahgunaannya dengan mendakwa sesiapa yang memiliki, menanam atau menggunanya. Di Malaysia pula, ketum hanya dikategorikan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. Bahan aktif dalam ketum yang boleh merangsang otak seperti mana dadah jenis opioid (heroin dan morfin) adalah mitragynine dan 7-dihydroxymitragynine.

Secara tradisionalnya, ketum digunakan sebagai minuman memberi tenaga dan kekuatan anggota badan kepada masyarakat yang kebanyakannya terdiri daripada golongan petani yang sentiasa memerlukan tenaga tambahan untuk mengusahakan tanaman mereka. Dari segi perubatan tradisional pula, ketum digunakan untuk merawat cirit birit, batuk dan sebagai ubat penahan sakit. Ada juga yang menjadikannya sebagai ubat ganti seperti terapi penggantian metadon yang digunakan bagi merawat ketagihan dadah opioid. Walau bagaimanapun, perkara ini masih belum dibuktikan secara saintifik melainkan hanya ada satu kes berlaku yang dilapor di Amerika Syarikat. 

Sebenarnya masih banyak kegunaan ketum yang belum diterokai secara saintifik, seperti berpotensi sebagai ubat penahan sakit dan cirit birit. Ketum juga dikatakan mempunyai kelebihan dalam merawat penyakit kemurungan dan apa yang lebih menarik adalah potensi ketum sebagai pengawal ketagihan opioid dalam mengurangkan kebergantungan penagih kepada dadah opioid dan gejala tarikan atau gian fizikalnya. Semua potensi ini harus dikaji secara saintifik dengan cara mengekstrakkan bahan aktifnya yang bermanfaat untuk menjamin keberkesanan dan keselamatannya kepada pengguna daripada membiarkan penggunaannya tanpa kawalan terutama dalam bentuk dos yang tidak terkawal dan diambil secara mentah. Ketum disukai ramai kerana tindakbalasnya cepat, hanya dalam 10-20minit, pengguna akan merasa kesannya dan akan berpanjangan selama 5-7jam.

Penyalahgunaan daun ketum menimbulkan gejala-gejala seperti keganasan, permusuhan, pengeluaran air mata yang kerap, turun berat badan, insomnia (sukar tidur), sakit lenguh-lenguh di otot dan sendi, kerap membuang air kecil dan sembelit. Penggunaan daun ketum dalam jangka masa yang panjang boleh menjadikan kulit pipi menjadi gelap dan menghasilkan gejala tarikan/gian fizikal sepertimana yang dihasilkan daripada penggunaan heroin, seperti merasa seram sejuk, muntah, cirit-birit, mudah marah, dan sering letih. Gejala-gejala tarikan ini akan berakhir dalam jangka masa 4 hingga 5 hari. 

Kesan psikosis adalah yang paling serius kerana ia adalah kesan jangkamasa panjang yang sukar dirawat. Pengguna boleh mendapat simptom seperti halusinasi, delusi dan kekeliruan. Selain itu sawan juga antara simptom yang sering ditemui terutama di kalangan pengguna remaja berdasarkan pengalaman klinikal penulis. Penulis juga pernah merawat kanak-kanak yang dipukul sehingga patah tangan oleh bapanya yang merupakan pengguna ketum. Oleh itu, perasaan mudah marah sehingga membawa kepada keganasan dan mencederakan orang lain adalah satu kesan buruk yang sangat berbahaya. 

Masalah yang melibatkan ketum berlaku apabila pengguna mengambilnya melebihi daripada dos sehingga menyebabkan ketagihan. Ini kerana ketum mempunyai tindakbalas kimia yang hampir sama dengan dadah opioid lain dan pastinya ia boleh meyebabkan ketagihan apabila diambil dalam dos yang tinggi. Dalam satu kajian di utara Semenanjung Malaysia, purata pengambilan bahan mitragynine dalam satu minuman ketum adalah 79mg dan pengambilannya lebih daripada 3 kali sehari dalam masa lebih 6 bulan akan menyebabkan lebih separuh daripada penggunanya akan mengalami gejala ketagihan dan kebergantungan. Selain kesan buruk yang banyak, pengharaman ketum dilihat dapat mengawal aktiviti penanaman, komersil dan penggunaan yang mampu menghalang daripada menjadi satu industri yang tidak terkawal pada masa hadapan kerana ia murah dan mudah didapati di utara Semenanjung. Dengan ledakan internet dan media sosial masa kini, ketum telah mula dijenamakan sebagai kratom dan dipasarkan di peringkat antarabangsa dalam bentuk kapsul dan pil sepertimana dadah stimulan yang lain. Maka tidak hairanlah, Pejabat Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menyenaraikan ketum sebagai sejenis dadah psikoaktif baharu dalam buku Laporan Dadah Sedunia tahun 2013 walaupun Amerika Syarikat dan kebanyakan Negara Eropah masih belum mengharamkannya. 

Pengambilan ketum yang berleluasa pada masa kini di kalangan masyarakat adalah untuk tujuan rekreasi semata-mata dan amat jarang digunakan untuk tujuan perubatan seperti masyarakat agro pada ketika dahulu. Ketum secara sendirinya akan menyebabkan penggunanya khayal, tambahan pula jika dicampurkan dengan bahan-bahan yang lain. Kadang-kadang, ‘kreativiti’ dan ‘inovasi’ pengguna ketum dalam mencampurkan bahan tambahan dalam minuman ketum mereka agak mengagumkan. Air ketum dicampurkan dengan minum ringan dan ubat batuk malah ubat nyamuk adalah sesuatu yang lazim tetapi mencampurkannya dengan dadah terlarang seperti ubat tidur yang mengandungi benzodiazepine atau opioid seperti heroin akan meyebabkan kesan berganda yang lebih berbahaya dan boleh menyebabkan dos berlebihan yang seterusnya mengancam nyawa.

Namun begitu, pengharaman ketum tidak sepatutnya menyekat apa-apa usaha dalam menjalankan aktiviti penyelidikan dan kajian saintifik untuk mengkomersilkan manfaat ketum atas nama kepentingan kesihatan sejagat. Namun begitu, tindakan pengharaman dan penguatkuasaan melalui penggubalan undang-undang harus dimulakan dengan usaha mendidik masyarakat terlebih dahulu. Baharulah selepas itu tindakan penguatkuasaan dapat dijalankan bagi mengelakkan ada pihak yang teraniaya. Buat masa ini, pendidikan tentang isu ketum ini masih kurang sama ada daripada yang melibatkan agensi kerajaan ataupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Amat wajar sekiranya agensi dan pertubuhan ini diperkasakan dahulu dalam menjuarai isu ketum sebelum sebarang undang-undang tegas diwartakan. Ini bertujuan bagi mengelakkan berlakunya sebarang kekeliruan dan agar masyarakat lebih bersedia.


-DR ZAKI ZAMANI BIN ABD RASHID-

Comments