USUL DADAH DAN KETUM

Pada 14hb Jun 2015, penulis telah menghadiri  Persidangan Majlis Perundingan Belia Negeri Kedah 2015 yang dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Mukhriz Tun Mahathir, Menteri Besar Kedah dan persidangan ini dipengerusikan oleh YB Encik Aminuddin Omar, Exco Belia dan Sukan Negeri Kedah. Persidangan ini juga dihadiri oleh Presiden Majlis Belia Negeri Kedah, Saudara Mohd Aizad Roslan, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri , Haji Aziz Haji Hamid serta Pegawai-pegawai daerah, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan dalam Negeri Kedah. Di sinilah berlakunya interaksi dan  komunikasi tentang isu-isu belia yang harus diberi perhatian oleh pihak pentadbir bagi menjamin kesejahteraan dan masa hadapan yang lebih baik untuk para belia di Negeri Kedah.

Namun agak mendukacitakan, kerana ada juga ketua jabatan dan agensi yang gagal hadir atau sekurang-kurangnya menghantar wakil bagi mendengar usul dan pandangan daripada kami, pemimpin-pemimpin belia Negeri Kedah. Terima kasih kepada ketua-ketua jabatan dan agensi yang hadir dan menyokong agenda perjuangan belia. Tanpa kehadiran dan respon positif daripada mereka, hari persidangan ini hanyalah sekadar akan menjadi ‘Hari Pakai Kot’ bagi pemimpin-pemimpin belia.



 Sebagai Exco Majlis Belia Negeri Kedah, penulis telah diberi tanggungjawab untuk membentangkan usul Dadah dan Ketum bagi pihak Majlis Belia Negeri Kedah. Terdapat 3 komponen utama dalam usul ini iaitu Data Statistik Pengguna Ketum, Program Pendidikan dan Penerangan, dan Rehabilitasi. Antara intipati usul tersebut adalah seperti berikut :


Data Statistik Ketum

1.   Kerajaan Thailand telah mengharamkan penanaman dan penggunaan ketum melalui Kratom Act 2486 pada tahun 1943 iaitu lebih 70 tahun lalu apabila penyalahgunaan ketum telah menjadi semakin berleluasa di kalangan masyarakat mereka. Ini berlaku apabila kerajaan Thai mengenakan cukai opium yang tinggi pada ketika itu. Sesuatu yang menariknya, negara mereka mempunyai data yang baik tentang penyalahgunaan ketum terutama statistik penggunaan minuman 4x100 atau sii kun rooi  iaitu satu campuran yang mengkhayalkan yang mengandungi jus ketum, coca-cola, ubat batuk dan ais kiub.

2.    Di Malaysia, rang undang-undang untuk memasukkan ketum di bawah Akta Dadah (yang sebelum ini di bawah akta racun) telah memasuki bacaan kedua dan telah dibentangkan oleh YB Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya di Dewan Rakyat pada awal tahun ini. Walau bagaimanapun rang undang-undang ini tidak mendapat sokongan ahli-ahli Parlimen dan telah ditolak untuk diteliti dan dibuat kajian sebelum dibentang semula.

3.     Pada pandangan saya, antara punca berlaku perkara ini berlaku adalah kerana kita tidak mempunyai data statistik yang jelas untuk menunjukkan betapa seriusnya gejala penyalahgunaan ketum di kalangan belia terutamanya di utara semenanjung. Dengan adanya maklumat data yang lengkap tentang corak penyalahgunaan ketum dan kesan-kesan buruknya, maka bukan sahaja ahli-ahli poitik malah rakyat juga akan lebih yakin tentang kepentingan penggubalan akta baharu ini nanti.

4.    Tambahan pula, sebelum kita menggubal apa-apa dasar baharu, asasnya adalah data-data  yang dapat memberi kita maklumat awal tentang sesuatu perkara, sebagai contoh dalam bidang ekonomi, data-data yang membentuk petunjuk-petunjuk seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan Inflasi adalah penting untuk kita membuat perancangan dasar pada masa hadapan demi kepentingan rakyat. Oleh itu, keperluan untuk mengumpul data dalam isu ketum ini amat wajar dan tidak boleh dinafikan.


Program Pendidikan dan Penerangan


5.  Ketum ini lambat laun  akan disenaraikan juga sebagai sejenis dadah dengan penggubalan akta baharu nanti. Walau bagaimanapun, didapati usaha-usaha penerangan dan pendidikan masih lagi kurang bukan sahaja di peringkat nasional malah juga peringkat akar umbi. Masih ramai lagi yang belum sedar tentang bahaya ketum dan kajian oleh pihak Universiti Utara Malaysia baru-baru ini membuktikan bahawa tahap kesedaran ketum sebagai  sejenis minuman yang boleh menyebabkan ketagihan masih rendah di kalangan pelajar sekolah.

6.  Rata-rata masyarakat masih menganggap ketum hanyalah sebagai minuman seperti teh dan kopi serta sebagai ubat cirit birit yang berkesan. Tetapi hakikatnya ketum sudah menjadi satu industri yang menguntungkan dan bukan sekadar ubat tradisional. Senario hari ini membuktikan penyalahgunaan ketum boleh menjadi ancaman terutama kepada golongan belia kerana ia diambil bukan untuk tujuan rawatan tetapi sebagai salah satu rekreasi ketagihan. Masyarakat perlu tahu bahawa dalam satu kajian di utara Semenanjung Malaysia, purata pengambilan bahan mitragynine dalam satu minuman ketum adalah 79mg dan pengambilannya lebih daripada 3 kali sehari dalam masa lebih 6 bulan akan menyebabkan lebih separuh daripada penggunanya akan mengalami gejala ketagihan dan kebergantungan.

7.   Maka tidak hairanlah, Pejabat Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menyenaraikan ketum sebagai sejenis dadah psikoaktif baharu dalam buku Laporan Dadah Sedunia tahun 2013 walaupun Amerika Syarikat dan kebanyakan Negara Eropah masih belum mengharamkannya. 

8.    Oleh itu, program pendidikan di peringkat akar umbi untuk membetulkan persepsi masyarakat bahawa ‘KETUM ITU DADAH’ perlu diperhebat. Jika tidak, selepas penggubalan dan pewartaan akta ketum ini akan menyebabkan masyarakat keliru dan ramai akan teraniya akibat penguatkuasaanya kerana belum bersedia dengan perkembangan terbaru ini akibat tidak mendapat cukup maklumat daripada media massa dan pihak berwajib. Tidakkah sebelum penggubalan undang-undang untuk mewajibkan setiap rumah mengamalkan kaedah kitar semula dimulakan dengan kempen kitar semula yang cukup hebat di setiap peringkat?


Rehabilitasi 


9. Pemulihan seseorang penagih memerlukan tiga kaedah iaitu detoksifikasi, rawatan farmakologikal dan kaunseling dalam bentuk terapi sikap dan kognitif, serta kerohanian. Di Negeri Kedah terdapat hanya satu Cure and Care Centre di bawah kendalian AADK iaitu yang terletak di Karangan, Kulim.  Yang lain-lainnya adalah di bawah badan bukan kerajaan (NGO) dan kebanyakannya menggunakan pendekatan pemulihan secara kerohanian. Oleh itu pendekatan secara farmakologikal agak terhad di pusat-pusat pemulihan ini kerana memerlukan kerjasama daripada Kementerian Kesihatan seperti rawatan penggantian metadon yang telah terbukti bermanfaat dapat mengurangkan gejala ketagihan.

10.  Oleh itu, Majlis Belia Negeri Kedah mengusulkan bahawa sudah sampai masanya sebuah Cure and Care dibina di Daerah Kota Setar atau Pokok Sena bagi memudahkan akses bagi penagih yang ingin secara sukarela atau dengan bantuan keluarga mahu mendapatkan rawatan bagi membendung gejala ketagihan agar mereka mendapat peluang kedua menjalani kehidupan yang lebih produktif tanpa dadah. Kita harus menyediakan prasarana yang memudahkan akses mereka dan  harus membantu dengan merawat mereka sebagai seorang pesakit dan bukannya melabel mereka sebagai seorang penjenayah.

Semoga semua perkara yang telah saya bentangkan ini mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pihak kerajaan negeri dan persekutuan dan tindakan yang sesuai dapat diambil oleh pihak berwajib demi melahirkan generasi belia yang bebas dadah di negeri Kedah ini.  


-Dr Zaki Zamani bin Abd Rashid-

Comments