TIPS KENALI SAINS PALSU

Sains palsu atau pseudoscience adalah suatu amalan, dakwaan atau kepercayaan yang tidak didasarkan kepada kaedah pembuktian saintifik yang sah. Ia sering menggunakan dakwaan atau pernyataan yang kabur, bercanggah dengan amalan sains yang sebenar, tiada penilaian terbuka daripada pakar-pakar bidang sains yang berkenaan dan ketiadaan kaedah yang sistematik dan ilmiah dalam menguji dakwaan tersebut. Jika takrifan ini diambil kira, boleh dikatakan semua perubatan alternatif dan komplementari adalah satu cabang sains palsu. Ini kerana apabila bidang perubatan alternatif telah dibuktikan secara saintifik maka ia tidak lagi dikatakan alternatif dan akan tergolong dalam arus perubatan moden untuk dijadikan sebagai sebahagian rawatan yang standard. 
Namun begitu, amalan perubatan alternatif tidak mendatangkan masalah selagi ia tidak mengelirukan pengguna. Jika dilihat dalam konteks negara kita, setengah-setengah perubatan alternatif telah menjadi satu fenomena yang cukup meragukan apabila segalanya diputar belit kononnya sebagai sains sedangkan matlamatnya hanyalah untuk melariskan produk yang dipasarkan. Penulis tiada masalah dengan usahawan-usahawan tempatan terutamanya yang menghasilkan produk kesihatan tetapi masalah timbul apabila mereka terlalu teruja untuk menjual produk mereka sehingga sanggup menipu dengan menyalahgunakan fakta sains demi mempromosikan produk mereka. 
Di bawah ini, penulis senaraikan beberapa tips bagi mengenali sains palsu agar para pengguna tidak tertipu dan lebih berhati-berhati sebelum membeli sesuatu produk atau perkhidmatan. Walaupun tips-tips ini tidak terpakai untuk semua keadaan tetapi sekurang-kurang ia dapat menghidupkan sistem penggera dalam diri setiap pengguna.

1. Penggunaan gelaran akademik palsu

Penggunaan kelayakan dan gelaran akademik seperti Dr (tidak kira sama ada doktor perubatan atau doktor falsafah), Profesor malah Sir di hadapan nama mereka yang diperoleh melalui jalan pintas adalah sesuatu yang lazim . Gelaran ini sama ada dibeli atas talian atau melalui kursus jangka pendek di institusi yang tidak diiktiraf oleh badan rasmi kerajaan. Malah, apa yang melucukan ada juga yang ditauliahkan oleh syarikat perniagaan sendiri. Susah payah dan penat lelah para pemegang ijazah kedoktoran asli dalam menghasilkan tesis secara ilmiah tidak dirasakan oleh mereka yang hanya berniat mahu mendapatkan gelaran semata-mata. Tradisi kelimuan tidak diendahkan dan lebih malang lagi disebabkan mempunyai bajet pemasaran yang besar telah memberikan kemasyhuran kepada mereka sehingga menjadi tempat rujukan masyarakat bagi bidang di luar kelimuan mereka. Ini akan menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat dan membawa amalan kesihatan songsang yang seterusnya membahayakan kesihatan. Media massa harus mengehadkan kemunculan mereka walau setinggi mana nilai iklan berbayar mereka dan memberi lebih banyak peluang kepada tokoh-tokoh akademik yang sejati untuk mendidik masyarakat dengan sains yang benar.

2. Berselindung di sebalik istilah ramuan semulajadi

Banyak produk yang meletakkan label produk mereka sebagai berkesan seperti yang didakwa dengan menyatakan penghasilannya menggunakan bahan-bahan semulajadi atau sudah turun-temurun digunakan. Tahukah anda setiap bahan yang dicampurkan walau semulajadi mana pun pasti akan ada kesannya kepada tubuh badan walaupun sebutir garam terutama jika diambil dalam kuantiti yang besar. Setengah-setengahnya merujuk kepada penggunaan pokok atau tumbuh-tumbuhan tertentu sebagai justifikasi ianya selamat digunakan. Ini tidak semestinya benar kerana kebanyakan ubat perubatan moden masa kini adalah pada mulanya dihasilkan daripada tumbuh-tumbuhan, contohnya quinine (ubat untuk malaria) dihasilkan daripada kulit kayu pokok cinchona. Namun begitu, pengambilan ubatan moden lebih selamat kerana telah diketahui kesannya kepada organ dalaman yang sentiasa mendapat pemantauan daripada pengamal perubatan bertauliah. 

3. Produk dapat mengubati banyak penyakit dengan sekaligus

Senario ini pasti anda selalu temui di dalam iklan-iklan di mana-mana sahaja. Ada kalanya satu jenis ubat atau rawatan dapat menyembuhkan lebih daripada 10 penyakit dari penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi, gout, kanser sehinggalah penyakit berjangkit seperti demam denggi, leptospirosis dan HIV/AIDS. Tetapi penyakit yang paling popular kononnya dapat disembuhkan adalah mati pucuk, yang kebanyakannya terbukti mencampurkan bahan-bahan perubatan moden seperti Viagra dan sebagainya. Ada juga yang mendakwa dapat menyembuhkan penyakit buah pinggang sehingga pesakit tidak perlu dialisis lagi. Jika ini benar, amat wajarlah ditutup semua premis rawatan dialisis di hospital kerajaan dan swasta di seluruh negara dan tentunya banyak kos terutama kepada pesakit dapat dijimatkan. 

4. Testimoni sebagai bukti keberkesanan produk

Testimoni adalah bukti yang paling lemah dalam sains perubatan. Sebagai contoh ubat Aspirin (ubat cair darah) yang telah dibuktikan bermanfaat kepada lebih 17 ribu orang pesakit yang mengidap serangan jantung koronari dalam satu kajian klinikal antarabangsa, berbanding ubat yang hanya dibuktikan oleh kurang daripada 10 orang pesakit dan hanya dipersembahkan dalam bentuk testimoni. Oleh itu ubat bagaimanakah yang lebih terjamin keberkesanannya? Secara psikologinya memang manusia akan lebih percaya dengan testimoni seorang individu daripada melihat fakta yang dipersembahkan dalam bentuk nombor dengan menggunakan kaedah statistik. 

5. Produk sebagai menentang konspirasi 

Di samping menggunakan agama sebagai slogan pemasaran, ada juga yang menggunakan sentimen untuk mempengaruhi pengguna agar membeli produk mereka atas dasar produk dengan jenama yang sedia ada adalah helah pihak barat atau negara maju untuk mendominasi. Tidak kurang juga ada dengan terang-terangan mengatakan produk tertentu adalah konspirasi Yahudi untuk menguasai ekonomi orang Islam. Sekiranya produk yang hendak dijual itu terbukti sebagai alternatif yang baik berbanding keluaran negara luar, ini tidak menjadi masalah malah sangat digalakkan demi memajukan keusahawanan dan penguasaan ekonomi oleh umat Islam. Tetapi, tidakkah dengan meniagakan produk yang bermodalkan sains palsu juga adalah satu konspirasi menipu yang lebih berbahaya kepada umat Islam sendiri? 

6. Menyalahguna istilah sains dengan konsep yang tidak tepat

Ini adalah yang paling kerap berlaku dalam masyarakat seperti di Malaysia kerana masing-masing cuba menarik perhatian pengguna dengan menggunakan istilah sains yang kurang difahami konsepnya tetapi selalu didengari. Antara istilah yang paling popular adalah molekul, ion, cas negatif dan positif dan toksin serta konsep detoksifikasi. Istilah toksin menjadi sangat popular sehingga sudah menjadi satu industri yang menguntungkan untuk menyahkan toksin keluar dari dalam badan. Tetapi tidak pernah diperjelaskan pula apakah nama kimia bagi toksin yang berbahaya ini dan mengapakah buah pinggang dan hati kita tidak mampu melaksanakan fungsi detoksifikasi ini.

Pasti ada juga yang mengaku mereka mendapat manfaat daripada ubat dan rawatan yang diterima daripada sains palsu. Mungkin anda belum pernah dengar tentang konsep ‘Placebo’ iaitu simulasi rawatan yang secara psikologinya meredakan simptom tetapi tidak merawat secara hakiki. Hal ini akan dibincangkan dalam penulisan yang akan datang.

-Dr Zaki Zamani bin Abd Rashid-

Comments