NASIB 3 BERADIK : LAWATAN SUSULAN DI SEKOLAH

Pada 11 Julai 2015 lalu, iaitu seminggu sebelum Aidilfitri, ketika program ziarah Ramadan yang terakhir, saya telah membawa Kelab Kebajikan Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Sultanah Bahiyah yang diketuai oleh Pakar Perubatan Kecemasan iaitu Dr Fatahul Laham melihat sendiri kedaifan 3 beradik anak yatim di Kg Masjid Lama. Beliau dan pasukan beliau agak tersentuh melihat senario yang berlaku dan kami telah membawa ketiga-tiga beradik tersebut untuk membeli-belah, bukan sahaja membeli pakaian untuk hari raya malah juga barang keperluan sekolah. Ketiga-tiga beradik itu telah berjanji akan hadir ke sekolah selepas ini.
Kisah awal tiga beradik ini boleh diikuti di : 


Pada 4 Ogos 2015 lalu, saya telah membuat lawatan susulan di sekolah dan agak menyedihkan apabila mendapati ketiga-tiga beradik itu tidak hadir langsung ke sekolah sepanjang bulan Julai . Mereka sudah lebih 3 bulan tidak hadir ke sekolah sehingga akhir bulan Julai lalu dan menurut Guru Besar, ibu mereka telah menerima 3 surat amaran. Tindakan seterusnya adalah buang sekolah iaitu tindakan yang agak berat untuk diambil oleh pihak sekolah Tetapi pada hari tersebut, hanya dua beradik yang hadir, seorang lagi tidak hadir. Saya berkesempatan bertemu mereka di sekolah. Kedua-dua beradik lelaki dapat hadir ke sekolah kerana dibawa bermalam di rumah mak saudara mereka oleh nenek mereka yang datang melawat dari Perak. 

Saya berbincang dengan Guru Besar dan Guru Kaunseling dan kami memikirkan jalan terbaik adalah menempatkan anak-anak ini di rumah anak yatim. Walau bagaimanapun, kami akan menunggu hasil tindakan daripada pihak JKM yang akan memberikan khidmat kaunseling kepada ibu tunggal tersebut. Saya difahamkan sesi kaunseling telah dimulakan oleh pihak JKM dan berdoa agar ibu tersebut akan berubah dan menjadi lebih bertanggung jawab.



Penempatan di rumah anak yatim adalah jalan terakhir yang boleh diambil bagi memastikan nasib dan kebajikan mereka terbela. Hanya pendidikan sahaja yang dapat memberikan masa hadapan yang lebih baik kepada mereka. Menurut Guru Besar, ini adalah satu jihad besar yang sedang kami usahakan. Kerja-kerja membela dan membantu anak bangsa merupakan satu usaha berterusan yang tiada penghujungnya.

Comments