GERAKAN POLITIK MELAYU 1945-1957



Jarang-jarang sekali saya menulis tentang politik, tetapi sempena dalam mood bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia ini, amat wajar sekiranya saya berkongsi buku yang sedang saya baca iaitu Gerakan Politik Melayu 1945-1957 hasil karya Prof Dato' Dr Ramlah Adam, tokoh sejarah negara yang tidak asing lagi. Selepas membaca buku ini, saya telah menyedari betapa hebatnya Dato' Onn Jaafar dalam perjuangan beliau menentang Malayan Union. Beliau bijak menggunakan pemimpin politik pembangkang iaitu L.D Gammans daripada parti Konservatif British untuk mengecam dan memberi tekanan kepada kerajaan Britain pimpinan parti Buruh dalam House of Commons supaya membatalkan penubuhan Malayan Union. Dato' Onn menjadi begitu berani setelah mendapat mandat daripada Kongres 1946 yang berjaya mengumpulkan semua pertubuhan politik dan sosial Melayu pada masa itu untuk menentang penubuhan Malayan Union dan seterusnya membuka jalan untuk penubuhan UMNO. 

Beliau meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO (dipanggil sebagai Yang Dipertua ketika itu) pada 1951 kerana cadangan beliau untuk membuka keahlian UMNO kepada bukan Melayu tidak diterima. Sebenarnya beliau berpandangan jauh dan telah nampak adanya keperluan untuk menubuhkan sebuah parti berbilang bangsa sebagai persediaan untuk menuntut kemerdekaan. Namun begitu, orang-orang UMNO pada masa itu belum boleh menerima konsep itu dan merasakan UMNO wajar menjadi wadah yang hanya untuk membela orang Melayu. Tunku Abdul Rahman selepas mengambilalih daripada Dato' Onn, telah mengambil inisiatif menganjurkan National Convention pada tahun 1954 yang dihadiri oleh perwakilan daripada parti berbilang kaum yang seterusnya menjadi platform untuk menubuhkan parti Perikatan sebagai bukti rakyat telah bersedia dan bersatupadu dari segi politik untuk mendapatkan kemerdekaan daripada British. Tunku Abdul Rahman ternyata bijak dan lebih pragmatik apabila berjaya mewujudkan sebuah parti yang terdiri daripada pelbagai bangsa yang komponennya adalah terdiri daripada parti-parti berasaskan kaum yang bebas memperjuangkan kepentingan bangsa masing-masing. 

Ironinya, pada 1957 pula melalui Parti Negara pimpinan Dato' Onn dengan kerjasama Dr. Burhanudin Helmy daripada Pas, Ahmad Boestamam daripada Parti Rakyat telah menganjurkan Kongres Kebangsaan Melayu 1957 sebagai cara untuk menentang terutamanya cadangan kerakyatan jus soli perlembagaan merdeka Tanah Melayu yang dibawa oleh UMNO dan Perikatan. Haji Hassan Yunus, pemimpin UMNO Johor (beliau kemudian menjadi Menteri Besar Johor pada 1959) sendiri pada masa itu sanggup menganggap Dato' Onn sebagai pengacau dalam tuntutan kemerdekaan yang sedang diperjuangkan oleh Perikatan. Malah Dato' Onn telah menjadi pengarang untuk sebuah akhbar bernama Kritik yang diasaskan semata-mata untuk menghentam UMNO. Oleh itu, bukanlah sesuatu yang luar biasa apabila bekas-bekas pemimpin UMNO sendiri menentang UMNO apabila tidak lagi memegang jawatan dalam UMNO. Sejarah sememangnya sentiasa berulang. Walau bagaimanapun, setiap pemimpin ada jasanya yang tersendiri dan seperti Dato' Onn, jasa beliau adalah terlalu besar dan wajar dikenang oleh setiap generasi akan datang.

Comments