PERANG DADAH DI KUALA KEDAH

Bermula pada 14hb Oktober 2015, saya dan beberapa orang Pengerusi JKKK di Kuala Kedah telah bermesyuarat bersama Penolong Pengarah AADK Negeri Kedah dan Ketua Pegawai AADK Daerah Kota Setar/Pokok Sena bagi merancang beberapa program sebagai satu usaha bersama bagi membanteras gejala dadah di Kuala Kedah. Kuala Kedah seperti pekan-pekan nelayan yang lain sememangnya telah sinonim dengan permasalahan dadah ini. Gejala ini bukan baharu, malah sudah menjadi barah yang semakin merebak sekiranya tidak dibendung segera. Ia telah menjadi satu kitaran hidup yang ganas di setiap generasi dan akan bertambah buruk jika kitaran ini tidak dihentikan.
Mesyuarat bersama AADK Kedah di Dewan Kg Tengah
Kami telah bersetuju untuk memulakan gerak kerja dengan cara mendapatkan sokongan daripada masyarakat terlebih dahulu terutamanya kerjasama daripada golongan muda bagi memudahkan apa saja program selepas ini. Maka pada 23 Oktober 2015, pihak kami telah menganjurkan sukaneka kanak-kanak dan belia. Tanpa disangka, program ini mendapat sambutan di luar jangkaan dengan kehadiran penduduk setempat terutamanya kanak-kanak yang sungguh ramai bagi menyertai program sukaneka. Pihak AADK dan JKKK sangat berpuas hati dengan penyertaan ini dan pihak AADK juga telah sudi menambah lagi hadiah untuk diberikan kepada para pemenang. Ini adalah petanda baik bahawa program pencegahan dadah selepas ini pasti akan mendapat sokongan. 


Antara acara yang dijalankan

Penyampaian hadiah kepada pemenang sukaneka

Sepak raga belia juga diadakan
Pada malamnya pula, majlis dialog antara agensi kerajaan dan masyarakat telah diadakan. Antara agensi yang terlibat adalah Jabatan Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan AADK sendiri. Matlamat dialog ini adalah bertujuan untuk mewujudkan komunikasi dua hala antara agensi dan penduduk serta bagi memberi pemahaman tentang permasalahan sosial terutamanya isu dadah yang makin membelenggu masyarakat di Kuala Kedah ini. Jabatan Kesihatan diwakili oleh Dr Fazlin Suhana, dan beliau adalah Pakar Perubatan Keluarga yang bertanggungjawab menjalankan klinik rawatan penggantian metadon di Klinik Kesihatan Kuala Kedah. Dalam sesi taklimat, beliau menerangkan kemudahan perkhidmatan rawatan metadon di kliniknya yang bertujuan mengawal gejala penagihan dadah opiate. Encik Basharuddin dari JKM pula, berkongsi pelbagai kisah hidup dalam masyarakat yang berlaku akibat najis dadah. Banyak isu sosial dari masalah pergaulan bebas remaja, anak tak sah taraf, isu anak yatim dan jenayah yang berlaku dalam masyarakat adalah berpunca daripada dadah. Jika isu dadah ini tidak ditangani, generasi muda di sini akan pupus dan masyarakat setempat akan menanggung segala kesan buruknya. Encik Shukri dari AADK Negeri menceritakan tentang penglibatan beliau dalam menjalankan aktiviti penguatkuasaan di Kuala Kedah, dan beliau menekankan, buat masa ini, tindakan dan program pencegahan harus diperkasakan. Hasil pencerahan daripada ahli-ahli panel telah membuatkan para hadirin bersetuju bahawa dadah telah menjadi punca masalah sosial di sini dan masing-masing bertekad untuk memerangi gejala dadah demi masa hadapan anak-anak dan keluarga mereka di Kuala Kedah.

Ahli-ahli panel dari Jabatan Kesihatan, JKM dan AADK

Antara hadirin dalam program dialog 

Seterusnya pagi 24 Oktober 2015, seawal jam 7.30 pagi, masyarakat dari pelbagai lapisan telah sama-sama berkumpul di Dewan Kg Tengah dan bergerak ke kawasan sekitar di bawah Jambatan Tok Pasai bagi menjalankan aktiviti gotong-royong bagi membersihkan kawasan ini. Kawasan ini dipilih kerana ia telah menjadi sarang utama penagihan dadah di Kuala Kedah, yang bukan sahaja melibatkan penagih-penagih tempatan tetapi juga dari luar kawasan. Sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk tempatan yang sangat bersemangat mahu membanteras gejala dadah ini dan menyediakan persekitaran yang lebih sihat dan selamat untuk keluarga masing-masing. Kawasan ini yang sebelum ini dipenuhi semak samun dan banyak jarum suntikan yang kami temui, telah ditebas dan dibersihkan agar ia tidak lagi terlindung daripada pengawasan orang ramai. Jambatan Tok Pasai sebagai satu mercu tanda kebanggaan penduduk Kuala Kedah harus dipulihkan imejnya daripada sentiasa dikaitkan dengan aktiviti yang tidak bermoral ini. Tindakan menggempur kawasan ini melalui cara bergotong-royong difikirkan lebih berkesan kerana aktiviti penguatkuasaan telah dijalankan beberapa kali tetapi tidak menunjukkan hasil yang diingini. Pada pandangan saya, aktiviti gotong-royong ini harus dijalankan secara berterusan sehingga menjadikan tempat ini tidak lagi menarik untuk dijadikan pusat penagihan dadah.

Masyarakat Kuala Kedah bekerjasama membersihkan kawasan utama penagihan dadah di Kuala Kedah. Ini adalah satu inisiatif untuk memerangi dadah di Kuala Kedah

Penglibatan yang ramai daripada penduduk setempat

Semak samun ditebas agar kawasan ini lebih terbuka dan tidak terlindung dari perhatian masyarakat

Kerusi khas pun ada di sini untuk 'keselesaan' penagih menjalankan aktiviti walaupun di sekelilingnya semak samun. 

Para pelajar dan AJK PIBG SK Haji Ismail turut sama bergotong-royong dengan ahli masyarakat atas kesedaran tentang bahaya ancaman dadah kepada keluarga dan negara.
Usaha memerangi dadah ini tidak harus dijalankan berseorangan atau berasingan yang melibatkan agensi tertentu melaksanakan peranan mereka setakat bidang kuasa masing-masing sahaja. Ia memerlukan koordinasi pelbagai pihak dengan penglibatan aktif daripada pemimpin dan masyarakat setempat. Apabila semua pihak menggembleng tenaga dan setiap program diselia dan diselaraskan bagi menepati matlamat yang bukan sekadar 'touch and go', saya yakin permasalahan dadah ini dapat ditangani. Saya juga menyokong penuh cadangan pihak AADK untuk menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Bandar Kuala Kedah Lestari yang bakal dianggotai oleh pelbagai agensi bagi membincang dan merancang usaha-usaha bukan setakat untuk menyelesaikan masalah dadah sahaja tetapi pembangunan Kuala Kedah secara keseluruhan. Pembangunan sebegini penting kerana Kuala Kedah adalah pintu masuk ke Pulau Langkawi yang akan memberi imej positif negeri Kedah kepada pelancong. Bukan itu sahaja, saya sebagai anak jati anak Kuala Kedah mahu melihat Kuala Kedah menjadi sebuah bandar yang maju dan bebas dadah demi masa hadapan yang lebih baik untuk generasi muda di Kuala Kedah. 

Comments