SEKOLAH SATU ALIRAN : UTOPIA ATAU REALITI

Sekolah satu aliran bukanlah satu isu baru yang menjadi polemik antara kaum di negara kita. Ia bukan sekadar menjadi isu perdebatan di kalangan golongan akademik tetapi sering dijadikan modal oleh golongan tertentu terutamanya ahli politik untuk meraih sokongan kaum masing-masing. Akhir-akhir ini timbul semula cadangan sekolah satu aliran setelah idea sekolah wawasan yang dicadangkan oleh kerajaan tidak berapa lama dahulu tidak mendapat sokongan daripada pendokong sistem akademik aliran Cina. Mereka masih bertegas mahu mengekalkan kononnya hak dan identiti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) mereka biarpun dengan sumber yang terhad daripada kerajaan. Kewujudan SJKC adalah ibarat mewarisi satu sistem pendidikan yang agak kekok sebenarnya dalam konteks masyarakat Malaysia kini.

Sebelum penulis mengulas lanjut tentang isu ini, amat wajar penulis menyatakan dengan jelas bahawa penulis sememangnya amat menyokong kuat cadangan sistem sekolah satu aliran kerana inilah sistem yang akan menjadi wadah dalam memastikan anak-anak kita tanpa mengira bangsa dapat hidup bersama-sama  dalam suasana yang harmoni. Di sinilah mereka akan mendapat pendedahan awal tentang toleransi dalam masyarakat majmuk dan menghormati satu sama lain demi keamanan dan kesejahteraan bersama.

Walau bagaimanapun, tidak dinafikan isu ini timbul semula adalah kesan daripada perhimpunan Bersih 4 yang dipelopori majoritinya kaum Cina melalui parti pembangkang yang chauvinis iaitu DAP. Ia adalah terjemahan rasa marah orang Melayu berdasarkan tindakan peserta-peserta Bersih 4 yang secara terang-terangan menghina dua orang pemimpin tertinggi orang Melayu. Ini juga adalah rentetan daripada Perhimpunan Rakyat Bersatu pada 16 September lalu yang dianjurkan sebagai respon daripada orang-orang Melayu terhadap Bersih 4 yang amat jelas sikap chauvinisnya. Walaupun penganjur Bersih 4 menafikan perhimpunan mereka adalah rasis dan sebaliknya menuduh perhimpunan baju merah sebagai rasis, tetapi sebenarnya tindakan DAP ini tidak ubah seperti cuba bermain dengan api. DAP seperti biasa menggunakan taktik menanam kebencian terhadap  Perdana Menteri sebagai mesej utama dengan harapan mahu menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik melalui demonstrasi jalanan.  Mesej ini berjaya juga ditelan oleh sebilangan orang Melayu yang menyertai Bersih 4, namun secara majoritinya orang Melayu di luar Bandar amat marah dengan situasi ini . Inilah yang disifatkan oleh orang Melayu sebagai ‘kaduk naik junjung.’

Sentimen kebencian ini telah lama diterapkan oleh DAP di kalangan masyarakat Cina terutamanya kepada golongan muda. Pemimpin Melayu UMNO sering dijadikan sasaran sehingga menyebabkan mereka berjaya mewujudkan pola pengundian sebagai satu protes pengundi Cina terhadap calon UMNO dan Barisan Nasional pada Pilihanraya Umum ke 13 lalu. Penulis sebagai calon Barisan Nasional di Parlimen Kuala Kedah ketika PRU 13 turut terkena tempiasnya. Ini telah menjadi satu fenomena nasional bahawa secara umumnya kaum Cina secara kolektif menolak parti Barisan Nasional terutama UMNO dan parti kaum Cina sendiri iaitu MCA dan Gerakan kerana tidak berminat lagi dengan dasar-dasar status quo yang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional sejak merdeka. Mereka telah termakan hasutan DAP dan gagasan Pakatan Rakyat yang memberi jaminan untuk memberi hak-hak yang sebelum ini belum pernah mereka nikmati. Mungkin mereka juga merasakan sudah sampai masanya kaum Cina turut diberi hak sama rata dengan kaum Bumiputera dan hak-hak Melayu dan Bumiputera yang dijamin oleh Perlembagaan Negara dihapuskan.

Namun begitu, rakyat yang celik sejarah pasti sedar bahawa orang Melayu telah melakukan pengorbanan yang besar dengan merelakan perkongsian status warganegara dengan bangsa-bangsa lain melalui penggubalan konsep jus soli dalam hal kerakyatan hasil inisiatif  Suruhanjaya Reid dalam penubuhan Persekutuan Tanah Melayu. Hak-hak keistimewaan orang Melayu dan agama Islam dijamin oleh perlembagaan adalah sebagai balasan dalam kontrak sosial antara kaum ketika itu bagi membolehkan bangsa-bangsa lain menjadi rakyat Persekutuan Tanah Melayu. Jika dikaji sejarah, kita pasti sedar betapa sukarnya warga-warga asing untuk bergelar ‘rakyat raja’ ketika zaman pemerintahan kerajaan Melayu dahulu. Menurut satu kisah dalam Misa Melayu, seorang jurubahasa syarikat Belanda bernama Pir Muhammad pernah memohon untuk menjadi rakyat Sultan Iskandar iaitu Sultan Perak ketika itu tetapi telah ditolak oleh Baginda kerana Baginda melihatnya sebagai ‘seorang Keling yang tidak menghormati adat istiadat Raja Melayu.’

Penulis tidak berani meletakkan tempoh masa sehingga bila hak-hak istimewa Melayu dan Bumiputera ini akan menjadi dasar negara, tetapi secara nyatanya majoriti orang Melayu masih belum bersedia untuk melepaskannya dan sekiranya masa itu sudah sampai biarlah orang Melayu sendiri yang membuat keputusan dan bukannya berpunca daripada ugutan atau mainan politik daripada mana-mana kaum. Tambahan pula orang Melayu dan Bumiputera masih ketinggalan dari segi ekonomi terutama dalam konteks pendapatan dan pemilikan harta. Rakyat Amerika Syarikat mengambil masa lebih 250 tahun untuk menerima seorang Presiden dari kalangan rakyat berkulit hitam dan Malaysia baharu merdeka lebih 50 tahun.  Rakyat Malaysia yang sejati adalah rakyat yang memahami asas-asas pelembagaan ini dan setia menjunjungnya serta sedar inilah tunjang perpaduan dan kekuatan negara. Apabila ada pihak yang cuba mencabar dan mempertikai tiang-tiang yang membina negara ini, mereka telah mengambil risiko dengan mengorbankan keamanan yang kita kecapi demi kepentingan kumpulan mereka.

Oleh itu, penulis berpendapat isu sekolah satu aliran ini adalah satu respon kepada isu-isu perkauman yang dimainkan oleh pihak pembangkang. Sekiranya parti komponen BN tidak terikut-ikut dengan mainan politik pembangkang dan kembali kepada kaedah perjuangan asal mereka mereka, penulis yakin, isu ini tidak akan timbul. Mereka perlu meyakinkan masyarakat Cina  terutama golongan muda bahawa konsep permuafakatan dalam BN sahaja yang dapat memastikan keharmonian negara terpelihara. Natijah buruk akan menimpa kita semua jika kita berterusan mencabar tunjang-tunjang dalam perlembagaan. Walaupun sekolah satu aliran merupakan satu utopia yang menjadi impian semua orang Melayu tetapi realitinya sekolah jenis kebangsaan akan terus dipertahankan oleh kaum Cina seperti mana orang-orang Melayu mempertahankan hak-hak istimewa dan agama Islam sebagai agama persekutuan. Terpulanglah kepada kita sama ada kita mahu mengambil risiko untuk mengubah lanskap politik Malaysia (walaupun pengakhirannya kita sudah sedia maklum) atau mahu terus mengekalkan status quo yang selama ini telah terjamin membawa keharmonian dan kemakmuran kepada kita.    

Comments