FREE MARKET : MENGIMBANGI BUDAYA KAPITALISME DALAM MASYARAKAT


Pada 21 November 2015, satu program dinamakan Free Market Kola telah diadakan di Muzium Kota Kuala Kedah. Program ini adalah hasil kerjasama beberapa NGO iaitu Persatuan Profesional dan Usahawan Negeri Kedah (PEAKS), Good Deeds Malaysia, Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Art Fit Alor Setar dan Majlis Belia Negeri Kedah. Konsep free market atau pasar percuma ini, walaupun telah banyak kali dilaksanakan di kawasan Lembah Kelang tetapi ia masih agak asing di negeri Kedah, terutamanya di Kuala Kedah. Pasar ini bercorakkan sedekah dan tidak melibatkan sebarang jual beli yang menggunakan wang. Setiap barangan yang diterima oleh pihak penganjur adalah untuk disedekahkan kepada para hadirin yang datang dari sekitar kawasan tempat program pada hari tersebut. Oleh itu, pemilihan tempat adalah sangat penting kerana kita mahu barangan yang disedekahkan itu sampai kepada golongan sasaran yang memerlukan. Atas faktor itulah Muzium Kota Kuala Kedah dipilih bukan sekadar sebagai lokasi bersejarah tetapi memandangkan masyarakat sekitarnya adalah terdiri daripada masyarakat nelayan yang serba kekurangan.

Ternyata program ini mendapat sambutan yang amat mengalakkan. Para hadirin menunggu sejak jam 8 pagi lagi walapun para penyumbang belum lagi bersedia dengan barangan di khemah masing-masing. Terdapat 20 khemah kesemuanya yang disediakan oleh pihak penganjur. Ada penyumbang yang datang terus (walk in) dengan membawa barangan pada hari program dan ada juga yang telah mengamanahkan barangan mereka kepada pihak penganjur. Antara barangan yang disedekahkan adalah ayam mentah, bihun, tepung, lampin bayi, ais krim, kasut, mi segera, permainan kank-kanak dan pakaian. Pakaian adalah barang yang paling banyak, iaitu dari pakaian kanak-kanak, baju kurung wanita hinggalah baju kemeja lelaki yang rata-ratanya masih elok lagi kualitinya. Segalanya selesai dalam masa kurang sejam. Kehadiran dijangkakan menghampiri 600 orang yang kebanyakannya adalah penduduk tempatan.

Hadirin berpusu-pusu mengerumuni setiap khemah yang mengedarkan barang secara percuma di pekarangan Muzium Kota Kuala Kedah
Selain aktiviti di tapak parking muzium, di dalam pejabat muzium sendiri juga dianjurkan beberapa program untuk manfaat masyarakat. Program dimulakan dengan ceramah pemakanan sihat yang disampaikan oleh penulis sendiri dan segmen ini ditaja oleh pihak Syarikat Roti Gardenia. Selesai ceramah, para hadirin diedarkan roti-roti sumbangan Gardenia yang dianggarkan lebih kurang 600 buku roti. Gardenia juga sudi bersedekah 50 goodies bag yang mengandungi 4 jenis roti-roti jenama Gardenia kepada penerima golongan asnaf yang dipilih dari kalangan penduduk tempatan. Terima kasih Gardenia.

 Ceramah pemakanan sihat


       Antara hadirin yang mendengar ceramah di dalam pejabat muzium
               
Antara aktiviti lain yang turut dijalankan adalah pemeriksaan mata oleh QueRS Optometrist, pemeriksaan kesihatan oleh pasukan Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) Taman Kota Nelayan dan temuduga terbuka untuk program diploma Sains Kesihatan dan Kejururawatan Kolej Murni. Sambutan program pemeriksaan kesihatan amat baik kerana lebih 100 orang hadirin telah menjalani pemeriksaan tekanan darah, gula dalam darah dan indeks jisim tubuh (BMI). Pesakit yang baru dikesan telah dirujuk ke Klinik Kesihatan Kuala Kedah untuk rawatan lanjut. Pemeriksaan mata kebanyakannya dikunjungi oleh kanak-kanak sekolah dan mereka yang memerlukan cermin mata akan diberi baucer khas oleh pihak QueRS Optometrist bagi mendapatkan harga cermin mata yang lebih murah. Para pelajar lepasan SPM yang berminat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang sains kesihatan telah datang dari seluruh pelusuk negeri Kedah bagi mendapatkan peluang menyambung pengajian di Kolej Murni.

Pemeriksaan kesihatan oleh pasukan KOSPEN Taman Kota Nelayan

Pemeriksaan mata oleh QueRS Optometrist

Seramai 50 orang penerima sumbangan yang terdiri daripada golongan asnaf yang dipilih daripada masyarakat sekitar telah menerima sumbangan barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, gula biskut dan banyak lagi hasil sumbangan pasar raya Giant. Mereka ini telah dipilih khusus oleh pemimpin JKKK dari perkampungan nelayan sendiri bagi memastikan mereka ini adalah golongan yang benar-benar layak menerima bantuan tersebut. Terima kasih Giant. 

Barangan keperluan sumbangan Giant
Kesimpulannya program Free Market Kola ini telah mencapai kejayaan dan menepati matlamat penganjurannya. Pada zaman materialisme dan hedonisme kini, masyarakat berlumba-lumba mencari kekayaan dan kemewahan sehingga terlupa orang-orang di 'bawah' mereka. Masing-masing terlampau asyik mengejar kemewahan yang seringkali menyebabkan kita merasa tidak pernah cukup dengan apa yang ada dan apa yang telah dikecapi. Program-program yang berkonsepkan sedekah akan menjadikan kita sentiasa ingat untuk bersyukur dan menghargai apa yang telah kita punyai selain dapat memberi kepada orang yang memerlukan.

Ramai yang tidak sedar, majoriti daripada kita sebenarnya telah cukup dengan nikmat yang diterima tetapi akibat unsur budaya kapitalisme yang berleluasa telah menyebabkan kita sentiasa merasa tidak puas dengan apa yang kita miliki. Mengikut pakar psikologi kemanusiaan, Abraham Maslow dalam bukunya, 'A Theory of Human Motivation' yang diterbitkan pada 1943, menunjukkan keperluan manusia adalah berdasarkan piramid hierarki keperluan (Hierarchy of Needs). Apabila kita bersedekah dan memberi sumbangan kepada masyarakat bermakna kita telah memenuhi peringkat keperluan tertinggi dalam piramid hierarki keperluan iaitu pencapaian Hasrat Diri atau Penyempurnaan Kendiri (Self Actualization). Janganlah kita asyik dengan aktiviti untuk memenuhi keperluan fisiologi semata-mata yang berada di hierarki terbawah, yang ini tentunya tidak akan pernah selesai dan mencukupi. 





Surah at-Taubah – 9:129
Maksudnya: ”Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar.”
Semoga kita sentiasa menjadi hamba yang sentiasa dicukupkan keperluan oleh-Nya. Terima kasih kepada semua organisasi dan individu yang membantu menjayakan program Free Market Kola. Kita akan bergerak ke destinasi lain pula selepas ini dengan memfokuskan kawasan-kawasan dalam negeri Kedah yang memerlukan bantuan. Insha Allah, dengan ibadah kecil kita ini, rezeki kita pada masa akan datang akan lebih diberkati.
- Dr Zaki Zamani bin Abd Rashid-

Comments