ROKOK ELEKTRONIK : ANTARA ASPIRASI DAN INTIMIDASI

Rokok elektronik lebih dikenali sebagai e-rokok atau vape adalah satu fenomena yang agak baru yang menjadi trend di kalangan masyarakat belia negara kita. E-rokok adalah peranti yang menggunakan bateri tetapi tidak menggunakan tembakau. Ia berfungsi dengan memanaskan nikotin dan bahan-bahan kimia lain seperti formaldehyde, propylene glycol, glycerol dan nitrosamine, untuk menghasilkan cecair wap untuk disedut dan dihembus sebagai satu aktiviti rekreasi seperti juga rokok dan shisha. Kelebihannya adalah ia lebih mesra pengguna kerana mempunyai kapasiti untuk bertukar perisa berdasarkan cecair yang digunakan. Ramai pengguna e-rokok ini memberikan alasan menggunakannya sebagai satu cara untuk berhenti rokok dan kononnya ia lebih selamat daripada rokok.

E-rokok ini walaupun sudah lama iaitu sejak direkacipta oleh Herbert Gilbert pada 1963 tetapi generasi pertamanya hanya baharu dipasarkan oleh sebuah syarikat farmasi dari China, Hon Lik pada tahun 2003. Ia hanya mula dipasarkan di peringkat antarabangsa pada tahun 2006 selepas urusan patennya selesai didaftarkan. Oleh itu, penggunaan e-rokok di kalangan masyarakat masih baharu iaitu tidak sampai sedekad. Jadi untuk melihat kesan jangka masa panjangnya kepada kesihatan agak sukar kerana ini memerlukan jangka waktu tertentu sebelum kita boleh membuat kesimpulan kesan bahayanya kepada pengguna. Walau bagaimanapun, setakat ini, beberapa laporan kajian jangkamasa pendek daripada pihak berkuasa kesihatan dan jurnal-jurnal kesihatan berprestij telah mula mengeluarkan amaran dalam kajian awal mereka. Antaranya New England Journal of Medicine (NEJM) telah melaporkan wap yang dikeluarkan oleh e-rokok mengandungi formaldehyde iaitu hasil degradasi propylene glycol dalam proses 'vaping'. Formaldehyde adalah tergolong dalam bahan kimia penyebab kanser (karsinogen) yang utama yang boleh menggandakan risiko kanser dari 5-15 kali lebih tinggi berbanding penghisap rokok tegar. Kajian terkini yang dilaporkan dalam jurnal JAMA Internal Medicine dan jurnal Addiction pula menunjukkan penggunaan e-rokok tidak meningkatkan kadar berhenti merokok para penggunanya dalam tempoh setahun. Malah American Association of Paediatrics (AAP) telah mengeluarkan kenyataan wap e-rokok tidak selamat untuk bayi dan kanak-kanak. Walaupun ada laporan yang mengatakan wap e-rokok ini selamat dan bebas toksin seperti yang dilaporkan oleh Igor Burstyn daripada Drexel University, tetapi penaung kajian ini adalah Consumer Advocates for Smoke-free Alternatives (CASAA) iaitu sebuah NGO yang pro-vape. Kita boleh menilai sendiri pertembungan konflik kepentingan di situ.

Dalam menangani isu e-rokok ini, sewajarnya kita harus banyak belajar daripada sejarah rokok yang telah lama dipasarkan secara komersial sejak lebih 100 tahun yang lalu. Kesan buruk kesihatannya telah diketahui umum seperti kanser pelbagai organ dan anggota badan, penyakit jantung koronari, penyakit sekatan paru-paru kronik dan banyak lagi sehingga memerlukan sebuah buku teks yang tebal untuk menerangkannya. Namun begitu, pada peringkat awal, rokok juga dilihat sebagai satu trend yang tiada komplikasi kepada kesihatan. Malah para doktor dan pakar bedah juga merokok supaya tidak ketinggalan dalam menampakkan imej kontemporari dan ketinggian budaya pada masa itu sehingga disedarkan apabila mereka sendiri dihinggapi penyakit kanser. Hal ini dikisahkan sendiri pada tahun 1956 oleh Evarts Graham iaitu seorang pakar bedah paru-paru. Beliau adalah perokok tegar selama lebih 50 tahun dan telah menyedari kanser paru-paru yang dihidapinya adalah disebabkan tabiat merokoknya walaupun pada masa itu masih kurang kajian saintifik yang membuktikan hakikat ini. Hanya pada tahun 1964, baharulah pihak berkuasa Amerika melalui Surgeon General's Report on Smoking and Health menyatakan perkaitan yang jelas antara rokok dan penyakit-penyakit berbahaya melalui bukti-bukti saintifik yang tidak boleh dipertikaikan lagi. Dalam laporan itu juga telah menunjukkan peningkatan yang ketara dalam jumlah kematian akibat rokok. Sebagai contoh, kanser paru-paru hanya menyebabkan kematian 3ribu orang pada 1930 tetapi meningkat kepada 18ribu pada 1950, 27 ribu pada 1955 dan dalam jangkamasa yang singkat sahaja pada 1962 telah menjadi 41ribu orang. Begitu juga untuk penyakit jantung koronari, kematian pada 1930 adalah 273ribu, pada 1950 adalah 396ribu dan meningkat mendadak menjadi 578ribu orang pada 1962. Semua ini berpunca daripada tabiat merokok masyarakat Amerika dan pihak berkuasa kesihatan memerlukan masa lebih 30 tahun untuk menunjukkan fakta ini (walaupun masih tidak diendahkan oleh perokok di mana-mana). Maka tidak hairanlah, kita memerlukan lebih masa untuk menentukan bahaya e-rokok ini dan semestinya kita tidak mahu mengulangi seperti apa yang berlaku di Amerika Syarikat melihatkan statistik kematian yang begitu tinggi. 

Ada juga pihak yang mengatakan kempen menentang penggunaan e-rokok ini telah digerakkan bagi menjaga kepentingan syarikat tembakau yang takut akan kehilangan pengaruh dalam pasaran. Perkara yang sebaliknya sebenarnya yang telah berlaku. Syarikat-syarikat tembakau antarabangsa telah awal-awal lagi menghidu potensi e-rokok ini sebagai satu fenomena baru yang bakal menguntungkan. Maka tidak hairanlah, mereka telah mula mengambil alih syarikat-syarikat e-rokok seperti pada 2012, Syarikat Lorrilard (syarikat ketiga terbesar pengeluar rokok di Amerika) telah membeli syarikat e-rokok Blucigs pada nilai US$135 juta dan  syarikat e-rokok Skycig yang berpangkalan di United Kingdom dengan harga US$48juta. Syarikat Japan International Tobacco (JIT) juga tidak ketinggalan membeli syarikat e-rokok E-lites pada 2014 bagi menghasilkan e-rokok jenamanya di Jepun. Philip Morris International (PMI) pula pada 2013 telah mengumumkan akan mengadakan kerjasama dengan syarikat e-rokok Altria. Mereka juga telah mula menggunakan formula publisiti pengiklanan yang sama seperti iklan tahun 1950-1960an dahulu dengan kaedah menggunakan artis dan promosi gaya hidup dengan e-rokok. Oleh itu pihak yang menuduh penentangan terhadap e-rokok ini adalah satu konspirasi dan tangan ghaib syarikat tembakau adalah tidak benar sama sekali.

Apa yang lebih merisaukan tentang e-rokok ini adalah kandungannya yang pelbagai yang boleh ditukar sesedap rasa oleh penggunanya. Ternyata inilah tarikan utama e-rokok ini kerana ia mesra pengguna dan memberi kuasa kepada pengguna menentukan perisa kegemaran mereka. Ini tidak menjadi masalah jika ia sejenis aiskrim tetapi ini adalah satu peranti yang berpotensi disalahguna oleh pengguna-pengguna dadah. Di Amerika, e-rokok yang berperisa Flakka iaitu sejenis dadah sintetik telah berleluasa digunakan di Florida dan telah menyaksikan peningkatan kes-kes overdose di wad-wad kecemasan. Malah di Malaysia juga telah dilaporkan terdapat e-rokok berperisa ganja, syabu dan ketum. Hanya masa akan menentukan sama ada akan timbul pula perisa heroin dan morfin memandangkan golongan penagih sangat 'kreatif' dalam memenuhi selera dan kehendak penagihan mereka. Apa yang lebih menakutkan adalah golongan belia dan kanak-kanak akan lebih terdedah kerana tiada siapa tahu apa kandungan perisa yang disedut jika aktiviti vaping ini tidak diharamkan atau dikawal selia sedangkan masalah rokok serta penagihan dadah suntikan dan sintetik masih belum selesai, kita pula telah menambah masalah baharu untuk ditangani. 

Banyak negara seperti Brazil, Kanada dan Singapura telah mengharamkan terus e-rokok ini kerana pihak berkuasa mereka berpendapat ia mendatangkan lebih banyak mudarat daripada kebaikan. Ia adalah satu trend tidak sihat yang tidak membawa apa-apa kebaikan kepada golongan belia di Malaysia. Bukan sahaja dari segi agama yang mana sudah ada fatwa mengharamkannya malah dari segi budaya tempatan juga ia sangat tidak sesuai. Penguatkuasaannya di Malaysia setakat ini hanya menggunakan Akta Racun 1952 yang melibatkan bahan kimia nikotin tetapi belum ada undang-undang yang boleh mengawal selia dari segi penjualan perantinya. Pihak FDA di Amerika Syarikat juga masih dalam kajian untuk mencari kaedah mengawal selia peranti dan perisa kerana kedua-duanya ini tidak termasuk dalam akta tembakau seperti juga di negara kita. Kerajaan disarankan agar lebih tegas dan bertindak dangan lebih pantas bagi menangani gejala ini sebelum ia menjadi satu lagi budaya kronik yang merosakkan dan sukar dibendung. Penulis berharap ahli-ahli politik tidak bersikap populis dan sanggup korbankan masa hadapan generasi muda kita hanya semata-mata ingin mendapatkan sokongan dan populariti. E-rokok ini tidak neutral dan potensi bahayanya sangat besar. Kita tidak mahu langkah berkesan diambil hanya selepas 30 tahun yang mana ketika itu kemusnahan telah berlaku dan tindakan mengatasinya akan menjadi sia-sia kerana telah berakar umbi dan menjadi budaya dalam masyarakat. E-rokok bukanlah aspirasi golongan muda tetapi adalah satu intimidasi masa hadapan mereka.


-Dr Zaki Zamani bin Abd Rashid-   

Comments