SAMBUTAN HARI DIABETES SEDUNIA 2015 DI KUBANG PASU


Hari Diabetes Sedunia disambut pada 14 November setiap tahun. Pada tahun ini, saya sebagai Timbalan Pengerusi Diabetes Malaysia Negeri Kedah melalui biro latihan yang saya pengerusikan telah bekerjasama dengan Diabetes Malaysia Daerah Kubang Pasu dan Pejabat Kesihatan Daerah Kubang Pasu untuk menganjurkan program-program yang bermanfaat kepada staf kesihatan dan masyarakat setempat sebagai pengisian sambutan Hari Diabetes Sedunia.



Bermula pada 12 November 2015, satu program latihan yang dinamakan Seminar Pengurusan Diabetes diadakan di Dewan Teratak Minda, Pejabat Kesihatan Daerah Kubang Pasu iaitu di Pekan Jitra. Program ini mengumpulkan lebih kurang 50 orang kakitangan kesihatan sama ada pegawai perubatan, jururawat kesihatan, penolong pegawai perubatan, pegawai farmasi dan pegawai sains pemakanan dari Hospital Jitra dan klinik-klinik kesihatan dari seluruh daerah Kubang Pasu. Pengisian bermula dengan ucapan perasmian daripada saya selaku wakil dari Diabetes Malaysia Negeri Kedah. Dalam ucapan saya menekankan cabaran yang dihadapi oleh staf kesihatan masa kini dalam mengubah mentaliti pesakit dan masyarakat agar mengutamakan kesihatan dan mengekang pengaruh pemasaran produk sains palsu (pseudo science) yang semakin mengelirukan masyarakat. Fenomena sains palsu ini telah memberi mesej yang salah dan fakta sains yang tidak tepat kepada rakyat atas nama keuntungan.     

Ucapan Perasmian

Seterusnya, program diteruskan dengan ceramah daripada Dr Suzaini, Pakar Perubatan Keluarga Daerah Kubang Pasu, yang memberi penerangan tentang Clinical Practice Guideline (CPG) Malaysia untuk Diabetes Mellitus kepada para peserta. Semoga para peserta lebih faham dan lebih praktikal dalam mengaplikasikan CPG dalam situasi harian mengikut ruang lingkup tugas masing-masing. Slot kedua daripada Ustaz Naim merupakan masa yang ditunggu-tunggu oleh para peserta. Ustaz Naim merupakan pensyarah College of Business, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan sedang melengkapkan pengajian doktor falsafahnya dalam bidang kepimpinan. Dalam ceramah beliau, banyak disentuh soal sikap dan hati para peserta agar sentiasa ingin berkhidmat dengan ikhlas. Konsep itqan ditekankan untuk menjadikan hasil kerja yang terbaik. Itqan didefinisikan sebagai melakukan pekerjaan dengan teliti, cermat, kemas dan bersungguh-sungguh. Melaksanakan tugas dengan itqan akan memberi manfaat kepada pesakit dan akan mendapat ganjaran pahala yang besar daripada Allah swt. Pihak kami berpuas hati dengan penyampaian Ustaz Naim kerana sememangnya kami mahu menumpukan kepada perubahan sikap dan penambahbaikan kualiti individu staf itu sendiri sebagai salah satu cara bagi menambahbaik perkhidmatan kesihatan di hospital dan klinik kerajaan. Ceramah beliau amat berkesan kerana ramai peserta tidak dapat menahan air mata kerana sebak terutama apabila para peserta diminta mengenalpasti isu masing-masing dengan ibu bapa dan pasangan yang boleh mengganggu prestasi mereka di tempat kerja.

Ustaz Naim sedang menyampaikan ceramah


Dr Suzaini, Pakar Perubatan Keluarga, Pejabat Kesihatan Daerah Kubang Pasu

Sesi petang diakhiri dengan ceramah daripada Dr Shartiyah iaitu Pakar Perubatan dari Hospital Sultanah Bahiyah. Beliau berkongsi ilmu tentang cara pengurusan terbaik untuk kes-kes diabetes dari perspektif klinik dan hospital daerah. Semoga seminar ini sedikit sebanyak dapat menambah ilmu dan menjadikan para peserta sebagai petugas kesihatan yang baik dan ikhlas dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Dr Shartiyah, Pakar Perubatan dari Hospital Sultanah Bahiyah


-----------------------------------------------------------------------------------------------

Pada 14 November 2015 pula, Sambutan Hari Diabetes Sedunia Peringkat Daerah Kubang Pasu telah diadakan di Dewan Kg Tradisi, Paya Pahlawan, Jitra yang melibatkan masyarakat dari sekitar daerah Kubang Pasu. Dengan kehadiran hampir 500 orang, pelbagai aktiviti telah diadakan antaranya senamrobik, pertandingan mewarna kanak-kanak tadika, pertandingan dam kesihatan untuk kanak-kanak, pertandingan memasak menu sihat, pemeriksaan kesihatan oleh sukarelawan pasukan Kospen Kg Tradisi, pameran kesihatan tentang penyakit kardiovaskular dan TB, pemeriksaan mata oleh syarikat optometris dan jualan produk kesihatan dan alat-alat kesihatan. 




Saya telah dijemput untuk menjadi salah seorang panel forum awam yang dianjurkan di dalam Dewan Kg Tradisi tersebut. Forum dipengerusikan oleh Dr Samihah iaitu pegawai perubatan dan panel-panel lain adalah Encik Tarmizi, diabetic educator dan Puan Nor Hasliza, Pegawai Sains Pemakanan. Banyak isu yang diulas oleh kami sebagai ahli panel bagi memberi pemahaman yang betul tentang penyakit diabetes dan komplikasinya kepada para hadirin. Saya menyentuh tentang salah faham berkenaan diabetes yang sering berlaku di kalangan masyarakat akibat mempercayai maklumat yang datang bukan daripada pihak kesihatan bertauliah sehingga menyebabkan komplikasi diabetes seperti kebutaan, serangan jantung koronari, amputasi dan kerosakan buah pinggang tahap akhir semakin meningkat sejak akhir-akhir ini. Para hadirin juga disaran agar menghargai bekalan ubat dan rawatan yang disediakan oleh kerajaan kerana nilainya tidak murah dan sebenarnya ia sangat berkualiti dan berkesan bagi mengawal penyakit kencing manis.  




Pada majlis penutup program yang disempurnakan oleh Dr Norazlina, Pegawai Kesihatan II Daerah Kubang Pasu, saya mewakili Diabetes Malaysia Negeri Kedah melontarkan cabaran kepada Diabetes Malaysia Daerah Kubang Pasu agar menubuhkan kumpulan sokongan diabetes di setiap klinik kesihatan dalam daerah bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada para pesakit dengan menggunakan konsep peer group.  Kumpulan ini akan diketuai oleh diabetic educator dan akan menjadi platform untuk para pesakit bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman mereka dalam meniti usia untuk hidup dengan diabetes. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan motivasi mereka dan akan saling menyokong sesama sendiri demi kesihatan dan kesejahteraan bersama. 



Kesimpulannya program yang dijalankan di daerah Kubang Pasu pada tahun ini diharapkan akan meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di daerah ini, di samping akan akan melahirkan pesakit dan masyarakat yang lebih berinformasi dan mengambil berat serta sedar tentang kepentingan menjalani gaya hidup sihat seperti yang dilaungkan  oleh pihak berkuasa kesihatan di negara kita. Semoga usaha ini akan berterusan dan meyedarkan masyarakat bahawa diabetes adalah satu penyakit yang boleh dirawat dan dikawal sekiranya seseorang itu berdisiplin dan itqan dalam cara hidupnya.   

Terima kasih dan tahniah kepada Dr Norazlina dan pasukan urusetia beliau yang menjadikan program sambutan Hari Diabetes Sedunia Daerah Kubang Pasu pada tahun ini suatu kejayaan.

Comments