PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2015

Tag nama perwakilan
Pada 8hb hingga 12 Disember 2015 lalu, penulis telah berkesempatan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2015 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebagai perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kedah. Ini ada kali kelima penulis berpeluang menghadiri sebagai perwakilan bahagian. Sebelum ini, penulis pernah hadir sebanyak tiga kali sebagai perwakilan Kelab UMNO Luar Negara iaitu atas kapasiti sebagai pemimpin Kelab UMNO Ireland ketika sedang menuntut di Republik Ireland. Sepanjang tiga kali kehadiran penulis di perhimpunan agung iaitu pada tahun 1997,1999 dan 2001, penulis telah dua kali diberi tanggungjawab menulis teks ucapan pembahas yang mewakili Kelab UMNO Luar Negara ketika itu. Walaupun tidak mendapat peluang untuk berucap sendiri di podium, tetapi pengalaman mengarang teks ucapan dan menyampaikan pandangan dalam perbahasan adalah suatu pengiktirafan yang tidak dapat dilupakan.  

Amanat Presiden UMNO
Perhimpunan kali ini telah menjadi satu medan yang telah berjaya menzahirkan sokongan padu kepada YAB Presiden parti. Cakap-cakap bahawa YAB Dato'Sri Najib Razak tidak mendapat sokongan parti adalah sesuatu yang tidak benar. Kenyataan beliau yang sering dijadikan bahan sindiran tentang sokongan ini juga ternyata hanyalah omongan kosong apabila ternyata perwakilan memberi dokongan yang amat jelas. Suasana yang penuh bersemangat mengingatkan penulis kepada suasana yang sama dirasai oleh penulis ketika menghadiri perhimpunan agung pada tahun 1999. Ketika itu, negara diancam demonstrasi reformasi, kegawatan ekonomi akibat kejatuhan nilai matawang Ringgit dan keadaan sangat 'hostile' kepada UMNO sehingga membawa kepada desakan yang semakin kuat untuk Perdana Menteri pada masa itu, Tun Dr Mahathir agar meletakkan jawatan. Walau bagaimanapun, atas semangat perpaduan dan kesetiaan, parti berdiri teguh di belakang Presiden parti seperti mana perhimpunan kali ini. Di sinilah, kekuatan parti dibulatkan dan muafakat diperteguhkan dan di sinilah juga menjadi pentas di mana gerak kerja dimantapkan bagi parti mengharungi waktu-waktu sukar demi membela nasib bangsa dan membina masa hadapan yang lebih baik untuk orang-orang Melayu.

Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kedah
Namun begitu, konflik yang berlaku antara Presiden dan Timbalan Presiden adalah sesuatu yang agak mengganggu dan boleh dikatakan menjadi tumpuan utama perhimpunan kali ini. Tindakan tidak membenarkan Timbalan Presiden berucap merasmikan perhimpunan sayap-sayap dan beliau tidak dibenarkan juga memberi ucapan penggulungan adalah satu keputusan yang harus diambil demi menjaga perpaduan dan memastikan perhimpunan berjalan lancar. Penulis melihat ini sebagai satu hukuman yang harus diterima oleh seorang Timbalan Presiden apabila beliau telah melanggar pelbagai disiplin parti dengan memberi banyak ucapan yang bertentangan dengan tradisi parti. Oleh itu, ini bukanlah isu hak bersuara atau demokrasi tetapi adalah satu langkah yang telah dipersetujui oleh Majlis Tertinggi walaupun tidak mengikut tradisi tetapi sebagai respon kepada satu tindakan yang juga telah menafikan apa yang menjadi tradisi parti.  
Bersama Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Ahmad Maslan dan AJK Alumni Kelab UMNO Luar Negara

Bersama sahabat Alumni Kelab UMNO dan perwakilan Kelab UMNO Jerman dalam majlis jamuan makan malam Presiden

Dalam situasi sekarang ahli parti harus berfikiran lebih matang kerana apa yang penting adalah menjaga keharmonian parti. Setiap tindakan kita harus dinilai sama ada akan membawa kebaikan atau memburukkan lagi keadaan. Kita harus melihat dalam konteks yang lebih besar iaitu mempertahankan institusi Presiden yang sebenarnya adalah suatu keperluan dalam mana-mana organisasi politik terutama bagi parti yang memerintah. Kegagalan menangani serangan dan fitnah akan menyebabkan parti hancur dan masa depan orang Melayu akan terancam. Biarlah perhimpunan kali ini sekali lagi menjadi medan untuk memperkuat keutuhan parti dan mengukuhkan ketaatan kepada pucuk pimpinan.



Ucapan Penggulungan Presiden


Nyanyian lagu Ának Kecil Main Api' yang sungguh menghibakan tetapi bersemangat 

Perwakilan yang berdiri tanda sokongan kepada Presiden selepas ucapan penggulungan
Walaupun ramai perwakilan kecewa kerana perhimpunan ini tidak menyaksikan perdamaian antara Presiden dan Timbalan Presiden namun perhimpunan ini telah menjadi bukti betapa padunya para pendokong parti perwakilan akar umbi memberi sokongan kepada YAB Presiden UMNO. Ini adalah titik tolak yang akan membawa kepada kejayaan parti dan akan memberi semangat yang lebih jitu kepada ahli dan pemimpin parti. Semoga kita menjadi ahli dan pemimpin UMNO yang berjiwa besar.

"Gantungkanlah azam dan semangat yang tinggi, setinggi bintang di langit, biarpun ada yang berpaling tadah, biar berkali-kali kita ditolak supaya rebah, there shall be no retreat, no surrender, no retreat!!! no surrender!!!"

Comments