PLASEBO : KESAN YANG TIDAK DISEDARI


Pada tahun 2006, mahkamah di Chicago, Amerika Syarikat telah memerintahkan sebuah syarikat yang memasarkan gelang tangan ion yang dinamakan Q-ray agar membayar pampasan kepada penggguna yang membeli gelang tangan tersebut berjumlah hampir US65 juta dollar. Syarikat tersebut didapati bersalah kerana menipu pengguna dengan menyatakan gelang tersebut mempunyai ‘ion-ion’ yang dapat menyeimbangkan ‘tenaga dalam’ dan berkesan untuk menyembuhkan sakit kronik dan pemakainya juga akan sentiasa terjamin kesihatannya. Peguam mereka membuat pembelaan menggunakan alasan kesan plasebo sebagai sebab untuk mewajarkan penggunaan gelang tangan itu tetapi ini ditolak oleh hakim yang dalam hujahannya menyatakan, menjual seutas gelang kononnya ajaib dengan harga US200 dollar untuk kesan plasebo adalah satu penipuan kerana kesan plasebo juga boleh diperoleh melalui sebiji pil gula yang murah.

Konsep plasebo mula diterima oleh masyarakat perubatan antarabangsa apabila pada tahun 1955, Dr Harry Beecher dalam penulisannya bertajuk ‘The Powerful Placebo’ dalam Jurnal of American Medical Association (JAMA) membuktikan berdasarkan kajian bahawa kesan plasebo didapati pada kadar 35% dapat menyembuhkan pesakit berbanding rawatan perubatan hakiki. Semenjak itu, kajian klinikal yang menggunakan plasebo sebagai perbandingan dengan ubat yang hendak dikaji telah menjadi satu amalan standard bagi memastikan ubat yang dikaji itu benar-benar berkesan dan bukannya akibat kesan plasebo. Walau bagaimanapun, pada 2001, dua orang saintis Denmark iaitu Asbjorn Hrobjartsson and Peter Gotzsche dalam New England Jurnal of Medicine (NEJM), melalui analisis 214 kajian yang melibatkan 8525 orang pesakit, telah membuktikan plasebo sebenarnya tiada manfaat klinikal yang berkesan kecuali manfaat kecil untuk mengawal kesakitan dan tiada justifikasi untuk ia digunakan selain daripada untuk tujuan kajian klinikal. Oleh itu, jelas di sini, penggunaan kesan plasebo oleh pengamal perubatan boleh dikatakan sesuatu yang melanggar etika terutamanya jika perkara ini tidak disedari oleh pesakit.

Plasebo atau dalam Bahasa Inggerisnya, Placebo, berasal dari Bahasa Latin yang bermaksud ‘I shall please’. Ia adalah sama ada bahan atau prosedur yang secara objektifnya tidak mempunyai sebarang tindakbalas aktif yang spesifik dengan tujuan rawatan. Ia boleh sama ada dalam bentuk rawatan ubat dengan menggunakan pil, atau infusi cecair dalam darah malah juga dalam bentuk prosedur pembedahan. Kesannya tidak memberi apa-apa tindakbalas secara fisiologi tetapi dipercayai perubahan yang dirasai oleh pesakit lebih merupakan kesan psikologikal. Satu kajian oleh Levine et al (1981) mendapati penggunaan infusi larutan saline sebagai placebo sama kesannya dengan infusi ubat penahan sakit morfin bagi 74 orang pesakit selepas menjalani prosedur pembedahan gigi. Begitu juga dalam kajian oleh Petrovic et al (2002) mendapati pesakit yang kulitnya terbakar yang menerima plasebo telah ditunjukkan melalui imbasan positron emission tomography (PET scan) bahawa ia telah merangsang bahagian korteks otak yang bertanggungjawab untuk mengawal kesakitan. Ini adalah kesan yang sama yang berlaku jika pesakit tersebut mengambil ubat penahan sakit opioid. Oleh itu tidak hairanlah jika ada ramai pesakit yang sanggup memberi testimoni tentang betapa berkesannya ubatan atau supplemen yang diambil meskipun tiada bukti saintifik yang mengesahkannya tanpa mengetahui ia adalah disebabkan oleh kesan plasebo.

Plasebo juga telah ditunjukkan melalui kajian-kajian bahawa ada hierarki dalam pengaruhnya iaitu kaedah mana yang lebih baik. Mungkin untuk penjual-penjual ubat di luar sana yang ingin mengaut keuntungan melalui kesan plasebo ini, garis panduan di bawah boleh dijadikan sebagai rujukan. (Penulis tidak akan bertanggungjawab sekiranya anda didakwa menipu, walaupun dalam konteks negara Malaysia, pendakwaan sangat jarang berlaku) :

· Pil besar lebih berkesan

· Lebih banyak dos sehari lebih baik

· Lebih mahal lebih bagus

· Kapsul lebih berkesan daripada pil

· Pil harus berwarna-warni

· Suntikan plasebo lebih berkesan daripada pil plasebo

· Pembedahan plasebo lebih berkesan daripada suntikan plasebo

· Iklan yang menggunakan tema ‘Ini akan menyembuhkan anda….’ amat berkesan

Walaupun bukti saintifik untuk penggunaan plasebo amat lemah kerana ia tidak memberi kesan terus kepada sistem fisiologi badan manusia tetapi ternyata kesan psikologinya, menurut saintis, dapat mengurangkan simptom-simptom yang tidak spesifik yang melibatkan emosi dan berpunca daripada tekanan dan persekitaran seperti pening kepala, sakit, bengkak, gatal kulit, kemurungan, gastrik dan penat. Maka dengan terkawalnya simptom-simptom ini, secara tidak langsung akan memberi kesan kepada pengawalan tekanan darah, suhu badan, denyutan nadi serta kesan jangka panjang kesihatan yang lebih baik. Perkara ini berlaku dapat diterangkan melalui 4 elemen yang mampu berfungsi secara psikologi memberi kesan terhadap kesihatan:

i.Pengharapan (Expectancy) – fenomena umum yang mempengaruhi kita bukan sahaja dalam isu kesihatan malah juga dalam bidang-bidang lain seperti ekonomi dan agama. 

ii.Motivasi – semangat ingin pulih sedikit sebanyak membantu kita secara psikologi mengurangkan kesengsaraan yang ditanggung. 

iii.Pelaziman (Conditioning) – terbukti seperti dalam ujikaji Pavlov dan anjingnya, apabila manusia sering mengaitkan penggunaan pil dalam rawatan perubatan yang secara tidak langsungnya menghasilkan proses-proses hormon semulajadi dalam badan walaupun bukannya melalui tindakbalas kimia pil tersebut. 

iv.Penghasilan bahan kimia opioid semulajadi (Endogenous Opiates) - inilah bahan yang merangsang bahagian korteks otak apabila kita diberitahu untuk mengambil pil plasebo sebagai ubat penahan sakit.

Melihat elemen-elemen di atas, kita boleh membuat kesimpulan bahawa plasebo ini tindakbalasnya lebih bersifat persepsi. Jika kita berkemampuan untuk menghasilkan unsur-unsur seperti di atas di dalam diri pesakit ternyata kita berjaya menghasilkan kesan plasebo. Tidak dinafikan inilah kaedah yang sering digunakan dalam terapi kognitif dan kaunseling yang kadang-kadang tidak memerlukan penggunaan apa-apa ubat fizikal. Kadang-kala hubungan komunikasi yang baik antara pengamal perubatan dan pesakit sahaja pun sudah cukup untuk merangsang 4 elemen di atas. Itulah sebabnya kita sering mengadu kita lebih sesuai dengan doktor tertentu dan lebih cepat sembuh berbanding doktor lain walaupun sebenarnya ubat yang diberikan adalah sama. Di sinilah pentingnya hikmat komunikasi dan kepercayaan kita kepada pengamal perubatan yang selalunya kita lebih suka curahkan kepada pengamal perubatan alternatif, tambah-tambah lagi apabila mereka menggunakan istilah sains yang kita dan mereka sendiri kurang kefahamannya.

Di sinilah kita perlu sedar, sains perubatan juga adalah satu seni interaksi antara pengamal perubatan dan pesakit. Semuanya tidak bergantung semata-mata kepada ubat dan rawatan tetapi memerlukan juga kepada komunikasi kedua-dua pihak. Apabila digabungkan ubat yang berkesan secara saintifik dan interaksi yang baik akan memudahcarakan kesembuhan yang diidamkan. Seperkara yang perlu diambil peringatan adalah penggunaan plasebo telah terbukti tidak berkesan sama sekali untuk penyakit-penyakit seperti kanser, penyakit yang memerlukan pembedahan dan penyakit berjangkit malah penggunaannya dalam penyakit kronik seperti diabetes dan penyakit jantung koronari boleh mengancam nyawa kerana ia tidak merawat punca sebenar penyakit tersebut. Ramai yang telah mengaut keuntungan secara mudah dengan menggunakan kesan plasebo ini dengan menjual produk mereka dengan harga yang mahal. Jangan kita tertipu lagi.

-Dr Zaki Zamani bin Abd Rashid -

Comments