TEKS UCAPAN ALUAN MYFEST DARULAMAN 2016

UCAPAN ALUAN DR ZAKI ZAMANI BIN ABD RASHID, PENGERUSI PERSATUAN PROFESIONAL DAN USAHAWAN NEGERI KEDAH (PEAKS) DI MAJLIS PERASMIAN MYFEST DARULAMAN 2016 PADA SABTU 27HB FEBRUARI 2016 DI DATARAN JUBLI EMAS, ALOR SETAR

Terima kasih tuan Pengerusi Majlis.

YAB Dato’ Seri Ahmad Bashah bin Md Hanipah, Menteri Besar Kedah Darulaman
YB Dato’ Mohd Rawi bin Abd Hamid, Exco Kerajaan Negeri Kedah, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan, Warisan dan Kerja Raya
Yang Berbahagia Tuan Haji Ahmad Faudzi bin Haji Awang, Pengarah Penjara Negeri Kedah
Tuan Mohamad Fitri bin Hassan, Pengarah KPDNKK Kedah
En Rosidi bin Omar, Pengarah Kolej Polytech MARA, Alor Setar
Wakil-wakil ketua jabatan,
Kepimpinan UMNO Bahagian Alor Setar dan Kuala Kedah, tuan-tuan dan puan yang saya hormati sekalian.

Assalamualaikum warahmatullah
…………..
1. Pertama sekali, marilah kita panjatkan rasa kesyukuran ke hadarat Allah swt, dengan limpah kurnianya dapat kita bersama-sama pada petang yang berbahagia ini dalam majlis perasmian Myfest Darulaman 2016.

2. Saya mengambil kesempatan ini mengalu-alukan kehadiran YAB Dato’ Seri Ahmad Bashah bin Md Hanipah, Menteri Besar Kedah dan mengucapkan ucapan jutaan terima kasih di atas kesudian YAB Dato’ Seri untuk bersama-sama dengan kita dan seterusnya merasmikan program yang cukup bermakna ini. 


YAB Dato’ Seri, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

3. Program Myfest Darulaman ini adalah satu inisiatif NGO kami iaitu, Persatuan Profesional dan Usahawan Negeri Kedah atau PEAKS, bersempena Kempen Discover Kedah 2016. NGO kami yang ditubuhkan hanya 2 tahun lepas adalah bertujuan untuk mengumpulkan golongan profesional dan usahawan di negeri Kedah di bawah satu bumbung untuk bersama-sama merancang aktiviti dan program yang boleh menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat.

4. Namun begitu, usaha dan kerja keras kami sejak 5 bulan lalu untuk merealisasikan program ini tidak akan menjadi kejayaan tanpa sokongan dan kerjasama yang cukup erat terutamanya daripada Kerajaan Negeri Kedah melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) yang membenarkan pihak kami menggunakan Dataran Jubli Emas ini serta membantu dengan segala macam pertolongan yang telah melicinkan lagi perlaksanaan program ini. Tidak lupa juga kepada Exco-exco kerajaan Negeri Kedah terutama YB Dato’ Rawi yang menyokong program ini sejak dari awal perancangannya, YB Dato’ Dr Leong melancarkan kempen derma organ pada hari khamis lepas, dan pada kelmarin, YB Dato’ Noor Sabrina merasmikan karnival kerjaya belia dengan penyertaan lebih 2000 pencari kerja yang kebanyakannya adalah golongan belia, YB Dato’ Suraya Yaacob merasmikan Program Mesej dari Penjara dengan kerjasama pihak Jabatan Penjara Negeri Kedah dan YB Dato’ Aminudin Omar yang merasmikan Night Run Myfest dengan penyertaan lebih 300peserta malam semalam.

5.   Kerjasama yang baik juga kami terima dan telah terjalin hubungan yang rapat dengan agensi-agensi dan jabatan kerajaan seperti Jabatan Penjara Negeri Kedah, Polis DiRaja Malaysia, JobsMalaysia Kedah, RTC, SME link, ICU, FAMA, MBAS, KPTM, Tourism Malaysia Kedah, IM4U, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, KEDA, SADA, AADK juga Majlis Belia Negeri Kedah serta banyak lagi agensi-agensi lain yang tidak berkesempatan untuk saya sebutkan semuanya. Terima kasih daun keladi saya ucapkan.

6. Pada pandangan kami, dalam zaman keusahawanan sosial kini, kebanyakan usaha-usaha masyarakat sivil akan digerakkan  oleh individu-individu, perkumpulan dan badan-badan sukarela yang berkepentingan dalam masyarakat dalam menjuarai sesuatu isu. Pihak kerajaan, jabatan dan agensi kerajaan akan bertindak sebagai pemudahcara dan inisiatif utama dalam gerak kerja ini perlu dimulakan oleh NGO dan perkumpulan yang berjiwa besar yang mahu membawa perubahan yang positif kepada masyarakat. Inilah yang dapat saya simpulkan apabila melihat kejayaan program ini apabila ia dicetuskan oleh kami, anak-anak muda yang kerdil tetapi berwawasan besar, dan kami amat bersyukur apabila hasrat kami disambut dengan tangan yang terbuka. Inilah trend yang berlaku di kebanyakan negara maju masa kini dan bagi negeri Kedah sendiri, inilah halatuju yang wajar kita jadikan sebagai pedoman bagi merangsang lebih banyak lagi program-program untuk kepentingan rakyat.



YAB Dato’Seri, tuan-tuan dan puan-puan

7. Jika sebentar tadi, YAB Dato’ Seri telah bersama-sama lebih kurang 500 orang kanak-kanak dari sekolah pendidikan khas sekitar Alor Setar dan orang awam  bermain belon air Ohana yang dikelolakan oleh para pelajar Kolej Polytech MARA, Alor Setar,  ia melambangkan kesatuan kita di negeri Kedah ini yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan latar belakang, bermula dari pemimpin, pentadbir, pelajar, profesional, usahawan, ibu bapa dan masyarakat awam. Ohana adalah perkataan yang berasal dari Bahasa Hawaii yang bermaksud KELUARGA. Jadi bertepatanlah dengan program kita pada hari ini yang mana konsep asasnya adalah untuk keluarga dan dianjurkan oleh kita yang merupakan satu permuafakatan Keluarga Besar Negeri Kedah Darulaman.

8.  Memandangkan penganjuran Myfest Darulaman ini adalah buat julung-julung kalinya, tidak dinafikan mungkin ada kekurangannya di mana-mana yang tidak kami sedari. Berkenaan aktiviti  hot air balloon juga terpaksa dibatalkan kerana faktor cuaca iaitu angin kencang yang boleh membahayakan para pengunjung. Bagi kami keselamatan adalah yang paling utama. Oleh itu, saya mewakili pihak penganjur menyusun sepuluh jari memohon kemaafan jika ada kesalahan yang tidak kami disengajakan dan memohon agar Dato’-Dato’, pemimpin-pemimpin, ketua-ketua jabatan, tuan-tuan dan puan-puan terus membimbing kami dan terus menyokong usaha-usaha kami pada masa yang akan datang demi kebaikan masyarakat negeri Kedah. Walau bagaimanapun, suka saya umumkan di sini penganjuran Myfest Darulaman sepanjang 3 hari ini telah berjaya menarik pengunjung lebih daripada 30ribu orang.

9. Akhir sekali, sekali lagi pihak kami menyampaikan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Dato’ Seri Menteri Besar kerana menyokong usaha kami ini dan seterusnya sudi merasmikan Myfest Darulaman 2016. Dengan kekangan masa dan sumber yang terhad yang ada pada kami, sokongan  daripada YAB Dato’Seri telah memberi semangat kepada kami untuk memastikan program ini mencapai kejayaan. Ini juga membuktikan YAB Dato’Seri sangat prihatin jiwanya dengan orang muda terutama dengan golongan profesional dan usahawan seperti kami. Kita mendoakan kesejahteraan buat Dato’Seri agar dapat memimpin negeri Kedah yang tercinta ini ke mercu kemajuan dan kegemilangan.

10. Pantun :
Sungguh indah Negeri Kedah
Dilihat dari Gunung Keriang
Myfest Darulaman terlaksana sudah
Mengangkat martabat negeri gemilang

Comments