BACK TO SCHOOL

Setelah hampir 3 bulan, dua beradik ini tidak bersekolah, akhirnya atas usaha GPMS Kuala Kedah dan NGO Good Deeds Malaysia, mereka telah kembali memulakan pengajian. Mereka berdua sebelum ini bersekolah di sebuah sekolah agama rakyat dan tinggal di asrama. Walau bagaimanapun, akibat permasalahan keluarga, sebaik sahaja bermula sesi persekolahan pada tahun ini, mereka tidak lagi ke sekolah. Ibu mereka digantung tidak bertali oleh bapa mereka dan tidak menerima apa-apa lagi nafkah untuk menyara hidup. Mereka tinggal bersama ibu dan dua orang adik perempuan serta nenek mereka, Sebelum ini, ketika datuk mereka masih hidup, mereka masih ada tempat bergantung, tetapi segalanya berubah apabila datuk mereka meninggal dunia pada akhir tahun lepas.



Semenjak dari itu, kehidupan mereka ditanggung oleh bapa saudara tetapi apabila masuk sesi persekolahan baharu, mereka memerlukan pakaian sekolah baharu kerana mereka merasakan agak sukar untuk tinggal di asrama sekolah. Ibu mereka memikirkan adalah lebih mudah untuk mereka belajar di sekolah harian iaitu SMK Seri Pantai yang lokasinya hanya di hadapan rumah mereka. Walau bagaimanapun, keluarga mereka mengalami masalah kewangan kerana tiada sumber pendapatan. Apabila perkara ini dibawa kepada kami, pihak kami telah berusaha untuk memasukkan semula kedua-dua beradik yang tercicir ini ke sekolah. Pihak GPMS Kuala Kedah dan Good Deeds telah memulakan inisiatif  Back to School iaitu satu usaha untuk mengumpul dana bagi membeli pakaian seragam sekolah, peralatan dan buku-buku keperluan untuk persekolahan. 


Alhamdulilah setelah beberapa minggu, pihak kami akhirnya berjaya mengumpul sumbangan yang mencukupi untuk memenuhi keperluan dua beradik ini. Kami lebih bersemangat kerana mereka juga bermotivasi untuk belajar dan mereka juga faham hanya melalui pelajaran sahaja mereka dapat membela nasib keluarga mereka dan mendapat peluang pekerjaan demi masa hadapan yang lebih baik.


Setelah hampir sebulan berusaha megumpul dana, dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kota Setar dan PIBG SMK Seri Pantai, kedua-dua beradik ini telah kembali bersekolah di tingkatan 3 dan 4 di SMK Seri Pantai. Pihak kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang yang telah turut sama memastikan inisiatif Back to School ini dapat direalisasikan. Kami berdoa agar kedua-dua beradik ini terus kekal dan tidak tidak tercicir lagi serta seterusnya mendapat kejayaan akademik yang cemerlang. Kami risau memikirkan bahawa mereka mungkin boleh tercicir lagi akibat ibu mereka tiada sumber pendapatan tetap, dan bantuan supaya ibu mereka boleh berdikari adalah satu lagi inisiatif yang perlu kami usahakan. Yang pasti, inisiatif Back to School ini akan diteruskan bagi memastikan tiada anak bangsa yang tercicir daripada arus perdana demi menuntut ilmu.      



Comments