SUPLEMEN ITU BUKAN UBAT

Fenomena suplemen atau makanan tambahan bukanlah suatu perkara baru di negara kita malah telah menjadi isu besar di beberapa buah negara maju. Di Amerika Syarikat, agensi Food and Drug Administration (FDA) telah meletakkan suplemen bukanlah ubat perubatan, perisa makanan atau rempah dan harus menepati 3 kriteria berikut :
1)  Produk adalah bertujuan sebagai tambahan kepada pemakanan dan bukannya sebagai penggantian makanan
2) Produk adalah atau mengandungi vitamin, unsur pemakanan, herba atau apa-apa yang menyumbang kepada makanan lain dalam bentuk ekstrak, produk metabolisme, bahan pelarut atau kombinasi perkara-perkara ini
3) Produk ini dilabel sebagai diet tambahan

American College of Clinical Toxicology pula menekankan ubat homeopati, suplemen yang bukan vitamin atau suplemen herba tidak harus digunakan untuk tujuan rawatan penyakit atau sebagai kaedah pencegahan penyakit tertentu. Perubatan alternatif seperti ini seringkali dilaungkan sebagai selamat kerana menggunakan bahan semulajadi, namun ini tidak semestinya kerana bahan-bahan ini tidak dikawal selia kualitinya dan tiada bukti saintifik untuk meyokong keberkesanannya. Penggunaannya secara bersendiri atau bersama dengan ubat-ubat perubatan moden bukan sahaja tidak membawa manfaat malah boleh membawa mudarat. Dalam satu kajian oleh Regan L. Bailey pada tahun 2007-2010 dan diterbitkan pada 2013 dalam jurnal JAMA Internal Medicine, rakyat Amerika Syarikat mengambil suplemen adalah untuk tujuan menambahbaik kesihatan (45%) dan untuk mengekalkan kesihatan keseluruhan (33%). Kajian yang melibatkan hampir 12 ribu orang yang berumur 20 tahun ke atas ini juga mendapati kaum wanita paling banyak mengambil produk berasaskan kalsium untuk kesihatan tulang (36%) dan kaum lelaki mengambil suplemen untuk kesihatan jantung dan untuk menurunkan paras kolesterol (18%). Multivitamin atau mineral adalah produk yang paling banyak digunakan, diikuti produk kalsium dan minyak ikan Omega-3. Hasil dapatan kajian juga menunjukkan hanya 23% daripada produk suplemen yang diambil adalah atas saranan pengamal perubatan bertauliah.

Oleh itu, melihat kepada fenomena pengambilan produk suplemen yang begitu meluas di kalangan penduduk Amerika Syarikat maka tidak hairanlah, rakyat mereka terpaksa menanggung banyak kesan buruk daripada penggunaan suplemen ini. Menurut Andrew Geller dalam kajiannya yang diterbitkan pada Oktober 2015 dalam New England Journal of Medicine (NEJM), lebih 23 ribu orang rakyat Amerika setiap tahun telah mengalami komplikasi kesihatan kesan daripada pengambilan suplemen yang berupa vitamin, herba dan produk kesihatan sehingga memerlukan rawatan di jabatan kecemasan hospital. Golongan belia adalah yang paling ramai mengalami komplikasi kardiovaskular selepas pengambilan suplemen untuk menurunkan berat badan atau produk menambah tenaga manakala golongan warga emas banyak mengalami masalah menelan. Dari aspek perundangan pula, Amerika Syarikat dikatakan terlalu berlembut dengan syarikat-syarikat pengeluar suplemen. Undang-undang yang digubal melalui Dietary Supplement Health and Education Act 1994 juga lebih  mesra kepada syarikat suplemen daripada mesra pengguna sehingga menyaksikan jualan industri suplemen meningkat daripada 4 billion Dollar kepada 12 billion dollar dalam tempoh 4 tahun. Apa yang merisaukan adalah apabila kepentingan syarikat lebih diutamakan daripada kepentingan pengguna kerana undang-undang lebih melindungi pemain-pemain industri ini.

Dalam konteks negara kita Malaysia, kebanyakan suplemen yang berbentuk minuman atau makanan dikawal selia oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia di bawah Food Act 1983. Walaupun produk seperti ini tidak perlu berdaftar, tetapi sejak akhir-akhir ini produk-produk seumpama ini semakin galak menggunakan teknik pemasaran kononnya ia berkesan dari segi perubatan.  Manakala untuk perihal ubat perubatan termasuk suplemen kesihatan dan persediaan tradisional adalah di bawah Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK), Kementerian Kesihatan Malaysia. Produk seperti ini perlu didaftarkan sebelum dipasarkan di Malaysia dan pihak BPFK bertanggungjawab membuat penilaian terlebih dahulu bagi memastikan produk ini selamat digunakan.

Yang menjadi persoalan sekarang adalah apabila kebanyakan produk suplemen sudah diiklankan sebagai satu bentuk rawatan bagi penyakit tertentu sebagai salah satu usaha pemasaran bagi melariskan produk. Hal ini sebenarnya menyalahi Akta Racun (Iklan dan Penjualan) 1956 yang telah menyenaraikan 20 jenis penyakit yang tidak boleh diiklankan seperti diabetes, penyakit kerosakan buah pinggang, penyakit jantung, tekanan darah tinggi, kanser, asthma,  penyakit mental, lemah tenaga batin dan banyak lagi. Mungkin masyarakat sudah terbiasa dengan iklan-iklan seperti ini yang disiarkan melalui radio dan televisyen serta lebih-lebih lagi di internet dan media sosial dan tidak menyedarinya sebagai satu kesalahan. Malah para pengusaha produk juga tidak merasa bersalah apabila membuat tuntutan-tuntutan perubatan sebagai satu strategi pemasaran mereka.  Penulis mendapati 4 kategori utama ubat yang seringkali mendapat sambutan dan disalahguna ialah ubat kurus, ubat kuat, ubat pemutih dan ubat penyakit kronik. Produk-produk yang menggunakan tuntutan perubatan 4 kategori di atas sebenarnya tiada pembuktian saintifik untuk menunjukkan ia benar-benar berkesan. Apa yang lebih merbahaya lagi, sebagai contoh minuman seperti kopi untuk kekuatan tenaga batin lelaki sering dicampurkan dengan dadah terlarang yang boleh membahayakan nyawa. Ada kopi juga yang kononnya menggunakan ekstrak tongkat ali tetapi setelah dibuat ujikaji tidak mengandungi langsung bahan daripada tumbuhan tersebut.

Ternyata isu suplemen ini bukan sahaja menjadi satu permasalahan di negara kita tetapi juga di negara-negara maju yang lain. Ia berlaku kesan daripada peningkatan kesedaran kesihatan di kalangan masyarakat tetapi mahu mengambil jalan mudah dengan tidak mahu mendapatkan rawatan melalui kaedah perubatan moden. Ini amat berbahaya sekiranya mereka sanggup berbelanja besar untuk membeli suplemen sebagai ganti ubat-ubat yang telah dipreskripsi oleh doktor. Kecelaruan antara konsep suplemen dan ubat ini cukup merisaukan jika usaha mendidik masyarakat tentang hal ini tidak diberi penekanan. Masyarakat perlu difahamkan tentang bila masanya suplemen itu diperlukan dan suplemen jenis apakah yang sesuai. Ini semestinya perlu dibuat dengan mengambil kira nasihat daripada pengamal perubatan yang bertauliah. Masyarakat juga perlu menjauhkan diri daripada ubat-ubat yang tidak berdaftar dan melaporkan kepada pihak berwajib jika ada pengusaha yang cuba menipu dengan menjual produk yang meragukan. Media massa juga perlu memberi kerjasama dengan menapis iklan-iklan yang memberi persepsi yang salah terhadap konsep suplemen dan seharusnya sedia mengambil risiko untuk kehilangan penyumbang iklan jika tindakan berprinsip diambil demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.  

Akhir sekali, pengusaha produk suplemen juga perlu lebih bertanggungjawab dan tidak mementingkan keuntungan semata-mata. Ini kerana masyarakat berhak mendapat produk yang selamat, berkesan, berkualiti dan tidak disajikan dengan maklumat produk yang memesongkan persepsi. Penulis bukanlah anti-suplemen tetapi penulis berpendapat pengguna wajar dilindungi dan wajar diberitahu agar mereka lebih berhati-hati dalam memilih produk. Di sebalik kebanjiran produk-produk ini akan menyukarkan aktiviti kawal selia dan penguatkuasaan, tetapi dengan kebijaksanaan kita sebagai pengguna akan menyelamatkan kita daripada ditipu dan menghukum pemain industri suplemen melalui kuasa pasaran.


-Dr Zaki Zamani bin Abd Rashid -

Comments