USUL TENAGA KERJA BELIA DALAM BIDANG PEKERJAAN 3D

TEKS PERBAHASAN USUL TENAGA KERJA BELIA DALAM BIDANG PEKERJAAN 3D (DIFFICULT, DANGEROUS, DIRTY) OLEH DR ZAKI ZAMANI BIN ABD RASHID, EXCO MAJLIS BELIA NEGERI KEDAH DI MAJLIS PERUNDINGAN BELIA NEGERI KEDAH SIDANG 1/2016 PADA 28 APRIL 2016

1.       Usul yang melibatkan isu penglibatan tenaga kerja belia dalam bidang kemahiran dan pekerjaan 3D (Difficult, Dangerous, Dirty) telah diterima oleh pihak Majlis Belia Negeri Kedah hasil daripada usul majlis perundingan belia di peringkat daerah yang meliputi 5 buah daerah iaitu Kota Setar, Padang Terap, Kulim, Sik dan Kubang Pasu. Maka tidak hairanlah, topik ini menjadi isu hangat di kalangan kepimpinan belia di peringkat akar umbi kesan daripada pengumuman perancangan pengambilan 1.5juta pekerja asing warga Bangladesh oleh pihak kerajaan, yang mana telah ditangguhkan buat masa ini.

2.     Jika dirujuk kepada Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO) tahun 2013, definisi bidang pekerjaan 3D ini tidak dihurai secara spesifik malah tidak disebut dalam sumber rujukan utama pekerjaan di Malaysia ini. Jika hendak difikirkan secara mendalam, ada juga bidang pekerjaan dalam bidang pengurusan dan profesional (iaitu kumpulan utama 1 dan 2 berdasarkan MASCO) yang melibatkan unsur-unsur 3D tetapi jika dinilai dalam konteks yang melibatkan ruang lingkup pekerjaan yang biasanya menggunakan warga asing, bidang pekerjaan ini bolehlah dikatakan merangkumi kumpulan utama 5 iaitu pekerja perkhidmatan dan jualan hingga kumpulan utama 9 iaitu pekerja asas. Industri-industri yang terlibat dengan pekerjaan 3D pula majoritinya adalah industri pembinaan dan perladangan walaupun ada juga di industri pembuatan dan sektor perkhidmatan.




3.    Ramai di kalangan belia yang menafikan kenyataan bahawa mereka tidak berminat dengan pekerjaan 3D. Sebenarnya isu utama yang menghalang penglibatan belia adalah disebabkan faktor gaji yang yang sememangnya lebih menarik jika dilihat dari persepsi pekerja asing. Fenomena ini tentunya sudah menjadi lumrah, sepertimana rakyat kita sanggup melakukan pekerjaan 3D di negara maju kerana gaji minimum sana lebih memberi pulangan yang lumayan berbanding gaji minimum di sini.

4.    Oleh itu, pada pandangan kami di Majlis Belia Negeri Kedah, fokus utama kita dalam isu ini bukanlah untuk meningkatkan penglibatan belia dalam pekerjaan 3D dalam kumpulan utama 9 semata-mata iaitu hanya sebagai sekadar pekerja asas, yang akan hanya menerima gaji minimum daripada majikan, tetapi menumpukan kepada meningkatkan penglibatan belia dalam bidang-bidang 3D yang berkemahiran tinggi yang pastinya  akan memberi pendapatan yang lebih tinggi daripada gaji minimum.

             

5.    Kita perlu menyedari hakikat bahawa negara kita masih lagi kekurangan tenaga mahir iaitu setakat tahun 2015, kita hanya mempunyai 28% daripada 14.2 juta tenaga kerja, dan memerlukan sekurang-kurang 50% tenaga mahir dalam mencapai status negara maju pada tahun 2020. Di negara maju seperti Jerman, mereka mempunyai 80% tenaga kerja mahir malah di negara jiran kita Singapura, mempunyai 58% tenaga kerja mahir.


6.    Inilah cabaran kita sebagai pemimpin-pemimpin belia agar menggalakkan belia-belia lepasan SPM atau yang sudah tidak meneruskan pengajian dalam bidang akademik agar mengambil peluang dalam kursus-kursus kemahiran. Statistik menunjukkan hanya 10% daripada pelajar lepasan SPM di Malaysia yang mengikuti pendidikan vokasional dan teknikal. Ini peratusan yang amat kecil jika dibandingkan dengan negara Jerman iaitu 59% malah di Indonesia mencecah 51%.

7.    Kita sudah sedia maklum, kerajaan melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran telah melaksanakan Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia , yang mana para belia boleh mendapatkan pentauliahan dengan cara :
a)      Persijilan melalui pusat bertauliah awam (ILP, Adtec, IKBN, IKTBN) dan swasta (lebih 1200 pusat di seluruh negara)
b)      Persijilan melalui pengiktirafan pencapaian terdahulu (PPT)
c)       Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) – skim yang menggabungkan orientasi latihan di tempat kerja industri (70%-80%) dengan latihan di institusi (20%-30%).
Selain itu, skim latihan 1Malaysia (SL1M) juga disediakan yang diseliakan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri. Semua skim latihan ini menyediakan latihan dalam tempoh 6 bulan hingga 2 tahun dan menyediakan Sijil Kemahiran Malaysia tahap 1-3, Diploma Kemahiran Malaysia dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia.  Namun begitu, takrifan pekerja mahir seperti digariskan oleh Kementerian Sumber Manusia adalah menetapkan sekurang-kurangnya seseorang pekerja mahir itu perlu memiliki pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 3. Sedangkan pada masa ini, daripada 1.3juta pemegang sijil SKM, sebanyak 80% adalah pemegang sijil kemahiran yang masih berada di tahap 1 dan 2. Oleh itu, usaha bagi menggalakkan peningkatan kemahiran harus dirancakkan dan dijalankan secara berterusan.

8.    Memandangkan dasar untuk pembangunan latihan teknikal dan vokasional (TVET) di negara kita telah mula dibentangkan sejak Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) pada tahun 2015, maka sudah sampai masanya dana untuk Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) ditambah bagi merealisasikan dasar ini. Ini penting bagi menggalakkan lebih ramai belia menyertai sektor TVET ini terutamanya dengan pembiayaan yang lebih mudah dan banyak untuk dimanfaatkan oleh lebih ramai belia. Untuk tahun 2016 ini, pihak kami difahamkan sebanyak RM350juta telah diperuntukkan untuk PTPK dan jumlah ini boleh dikatakan kecil jika dibandingkan peruntukan yang diterima oleh PTPTN iaitu sebanyak RM5billion. Oleh itu, pihak Majlis Belia Negeri Kedah ingin mengusulkan dana PTPK ini perlu ditambah kepada sekurang-kurangnya kepada RM1bilion setahun bagi membuka ruang lebih ramai penyertaan belia dalam skim latihan teknikal dan vokasional terutama untuk belia lepasan SPM dan demi mengarusperdanakan bidang latihan kemahiran di Malaysia. 

                         

9.       Di dalam keghairahan kita menubuhkan pusat-pusat latihan teknikal ini, sudah menjadi dilema dasar latihan kemahiran apabila tidak ada penyelarasan yang jelas dalam sektor latihan kemahiran kerana terlalu banyak agensi yang melaksanakan fungsi serupa sehingga menyebabkan berlakunya pertindanan yang merugikan perbelanjaan, sumber tenaga dan kualiti graduan yang dihasilkan. Contohnya dari segi kursus yang ditawarkan dalam bidang automotif, apabila terlalu banyak pusat menawarkan kursus yang sama dan tidak atas permintaan industri menyebabkan berlakunya lambakan graduan yang tidak mempunyai pekerjaan. Oleh itu, penyelarasan di peringkat antara agensi dalam merangka kursus yang ditawarkan dan komunikasi dengan industri penting bagi mengenalpasti kursus yang relevan dengan permintaan pasaran.

10. Walau bagaimanapun, lambakan graduan bidang-bidang kemahiran ini dapat diatasi sekiranya mereka berminat untuk menceburi bidang keusahawanan. Tetapi hal ini tidak berlaku kerana berdasarkan kajian Ahmad Nabil Md Nasir (2012) dari Universiti Teknologi Malaysia menunjukkan terdapatnya jurang kemahiran bukan teknikal di kalangan pekerja mahir dalam bidang elektronik seperti yang dikehendaki majikan. Kemahiran bukan teknikal ini meliputi keusahawanan, pemikiran kritikal, komunikasi dan motivasi para pekerja mahir yang membuatkan mereka tidak menepati kemahuan pasaran. Oleh itu, aspek ini juga perlu diambil kira dan diberi penekanan dalam kurikulum latihan bagi memastikan kebolehpasaran pekerja-pekerja mahir kita yang bukan sahaja membolehkan mereka bersaing di dalam negara malah dengan standard dan nilai tambah yang tinggi membolehkan mereka berkhidmat di peringkat antarabangsa.



11.  Bagi menyahut cabaran ini, pihak Majlis Belia Negeri Kedah ingin mencadangkan kepada pihak Jabatan Tenaga Kerja dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) agar dapat menganjurkan jelajah kerjaya belia dengan kerjasama setiap majlis belia daerah  dalam negeri Kedah, yang mana kita anjurkan dalam skala yang kecil dan berfokus di kampung-kampung dan melibatkan kurang daripada 10 majikan. Program ini juga akan bekerjasama dengan pihak JKKK setempat dan diadakan bukan sahaja untuk mengisi kekosongan pekerjaan dalam bidang 3D di Kedah dan luar Kedah tetapi yang lebih penting menawarkan peluang-peluang latihan kemahiran kepada belia-belia kampung supaya mereka mendapat akses untuk menjadi pekerja-pekerja mahir.

12. Akhir sekali, pihak kami memikirkan juga elemen-elemen jatidiri seperti patriotisme, pembangunan sahsiah, kepimpinan, kemahiran menulis resume, penampilan diri dan budaya kerja yang baik perlu juga diterapkan kerana elemen ini agak kurang diberi penekanan di kalangan belia luar bandar untuk menjadikan mereka lebih ‘marketable’ berbanding belia-belia di dalam bidang akademik di IPTA atau IPTS yang sering mendapat banyak pendedahan dalam perkara ini. Pihak kami turut menawarkan diri untuk bersama-sama dalam membangunkan elemen-elemen ini sekiranya diberi tanggungjawab melaksanakan program-program berfokuskan sebegini.

Majlis Belia Negeri Kedah mohon mencadang.

Disediakan oeh :
DR ZAKI ZAMANI BIN ABD RASHID,
EXCO MAJLIS BELIA NEGERI KEDAH


Comments