ANUGERAH PERDANA BELIA NEGARA TAHUN 2016




 Bermula pada 8 Mac 2016, saya telah dipanggil bersama-sama rakan-rakan pemimpin belia dari seluruh negeri Kedah untuk sesi temuduga Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Kedah bagi kategori lelaki. Walaupun tidak menaruh harapan yang tinggi, saya melakukan persediaan ringkas dengan membuat profil, kompilasi aktiviti dan sumbangan saya dalam gerak kerja belia selama ini. Sesi temuduga berjalan lancar dan mengambil masa lebih 40minit yang mana penemuduga adalah terdiri daripada pensyarah dari Universiti Utara Malaysia (UUM), wakil Jabatan dan Belia dan Sukan Negeri dan wakil Majlis Belia Negeri Kedah. Saya berkongsi banyak perkara terutamanya tentang penglibatan saya dalam aktiviti kesukarelaan belia semenjak tahun 2003 lagi iaitu sebagai sukarelawan Rakan Muda Negeri Kedah dan ketika menubuhkan Persatuan Belia Wawasan Muda Kuala Kedah (WADAH) di Kuala Kedah.





Seminggu selepas itu, saya telah dimaklumkan bahawa saya telah dipilih sebagai pemenang APBN Peringkat Negeri Kedah dan telah dimaklumkan supaya menghantar kompilasi profil yang lebih komprehensif sebagai mewakili Negeri Kedah untuk APBN Peringkat Kebangsaan. Dalam kesibukan dengan program dan urusan seharian dan demi membawa baik nama Belia Kedah saya berusaha lebih keras untuk memastikan profil saya kali ini lebih menarik perhatian para panel penilai. 

Tanpa disangka juga pada 11 April 2016, saya telah disenarai pendek sebagai calon finalis Top 5 untuk APBN 2016 Peringkat Kebangsaan dan telah dipanggil untuk sesi temuduga. Sesi temuduga yang dijalankan di Menara KBS, Putrajaya ini agak berlainan kerana setiap calon dikehendaki membuat pembentangan menggunakan slaid selama 10minit dan 30minit lagi adalah sesi soal jawab. Saya menyediakan 20 slaid tetapi tidak sempat untuk membentangkan kesemuanya kerana kekangan masa. Tambahan pula, setiap ahli panel sudah pun mempunyai salinan slaid-slaid saya itu. Apa yang menarik tentang sesi kali ini, apabila saya ditanya soalan yang sama sekali tidak saya jangka. Mungkin disebabkan penglibatan saya dalam bidang politik dan pernah manjadi calon pilihanraya, salah seorang panel mahu saya nyatakan wawasan saya sekiranya ditakdirkan menjadi Menteri Besar Kedah pada tahun 2020. Saya agak tergamam dan cuba menjawab dengan cara yang terbaik walaupun saya fikir jawapan saya kurang memuaskan hati beliau kerana beliau mahukan visi yang lebih spesifik. Mungkin retorik saya kurang menarik tetapi saya yakin saya sudah menjawab secara prinsipnya tentang apa yang saya mahu lakukan. Walau apapun keputusannya nanti, saya tetap bersyukur kerana telah terpilih bersaing di peringkat kebangsaan dan ini merupakan satu penghargaan kepada diri saya. 

Perbincangan berakhir apabila ahli-ahli panel mengupas tentang isu supplemen yang saya tulis dalam blog ini dan menjadi satu topik yang cukup menarik perhatian mereka sehingga ditamatkan oleh bunyi loceng penjaga masa. Sesungguhnya saya bersyukur kerana telah mendapat pengiktirafan sehingga ke tahap ini yang mana tak pernah terfikir pun sebelum ini. Penglibatan dan sumbangan kita selama ini bukan adalah semata-mata untuk meraih anugerah. Apa yang penting setiap gerak kerja kita mendatangkan impak dan memberikan kesan positif kepada masyarakat. Itulah kejayaan kita yang sebenar. Walau bagaimanapun penglibatan saya dalam APBN ini secara tidak langsung telah membolehkan saya membuat muhasabah diri dan menilai sendiri apa yang telah saya lakukan selama 10-15 tahun lalu dalam konteks aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelaan supaya dapat dilakukan penambahbaikan pada masa hadapan.


Kemuncak ABPN Peringkat Negeri Kedah 2016 adalah pada 7 Mei 2016, apabila saya menerima anugerah ini daripada YB Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan Malaysia sempena Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kedah Tahun 2016 di Taman Jubli Emas, Alor Setar. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi kerjasama kepada saya dalam saya mengatur program-program di akar umbi sepanjang penglibatan saya dalam gerak kerja belia. Gerak kerja belia adalah satu kerja berpasukan dan saya tidak mampu melakukannya seorang diri tanpa bantuan rakan-rakan perjuangan. Oleh itu, pengiktirafan ini wajar dikongsi bersama aktivis-aktivis belia lain dan ia juga adalah satu pembakar semangat untuk saya dan rakan-rakan pemimpin belia untuk terus berjuang menabur bakti kepada masyarakat.

Selamat Hari Belia Negara 2016 : The Future is Now

 








Comments