DOKTOR MASUK KAMPUNG DI KUALA KANGSAR


Pada 30 Mei 2016, mesyuarat khas Jawatankuasa Pertubuhan Alumni Kelab UMNO Luar Negara (AKULN) yang dipengerusikan oleh YB Datuk Ahmad bin Maslan, Pengerusi AKULN telah diadakan di Pusat Biro IT, UMNO Malaysia di Simpang Lima. Sungai Besar. Antara perkara yang dibincangkan adalah program-program yang akan diatur sempena pilihanraya kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Pada mesyuarat itu juga, saya telah diberi tanggungjawab untuk menyelaras program 'Doktor Masuk Kampung' di PRK Kuala Kangsar.






Pada 8hb Jun 2016, saya bersama pasukan saringan kesihatan (PASAK) dari Kuala Kedah dengan disertai oleh Dr Hameeth Shah bin Abdul Wahid, Pakar Perubatan Dalaman Hospital Ipoh telah menjalankan program 'Doktor Masuk Kampung' seperti yang dirancangkan. Dr Hameeth juga adalah pensyarah Royal Medicine College of Perak (RMCP) dan beliau adalah pakar yang bertanggungjawab merawat ibu YAB Menteri Besar Perak baru-baru ini. 
Jelajah doktor bergerak ini diketuai oleh YB Datuk Ahmad bin Maslan sendiri sebagai Pengerusi AKULN merangkap Timbalan Menteri MITI dan Ahli MT UMNO.  Turut serta juga dalam rombongan adalah mantan Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid bin Abu Bakar. Apa yang menarik adalah apabila Datuk Ahmad Maslan menaiki sendiri motosikal dari rumah ke rumah pesakit yang mahu dilawati di sekitar Kampung Ulu Kenas.







Antara pesakit yang diziarah adalah pesakit diabetes, pesakit strok yang terlantar dan warga emas yang uzur. Kami mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma melalui pemeriksaan tekanan darah dan gula dalam darah di samping memberikan ubatan secara percuma yang sesuai dengan keperluan pesakit yang diperiksa. 
Datuk Ahmad Maslan dalam sidang medianya menyatakan inisiatif daripada AKULN ini adalah sebagai mengenang mantan Ahli Parlimen Kuala Kangsar iaitu Allahyarham Dato' Wan Kha-iril Anuar yang pernah berkhidmat sebagai ahli jawatankuasa AKULN pada suatu ketika dahulu. Oleh itu program sebegini adalah satu sumbangan atas jasa-jasa arwah kepada AKULN dan sebagai khidmat bakti AKULN kepada masyarakat di Kuala Kangsar. Semoga dengan gerak kerja ini, akan dapat membantu kempen Barisan Nasional di PRK Kuala Kangsar bagi memastikan BN mampu mempertahankan kerusi P.067 ini yang kali ini ditandingi oleh balu Allahyarham Dato' Wan Kha-iril sendiri iaitu Datin Mastura binti Tan Sri Mohd Yazid. 
Pemilihan Datin Mastura sebagai calon BN adalah tepat kerana beliau adalah seorang tokoh profesional yang mempunyai latar belakang dalam bidang perundangan lulusan University of Kent dan Lincoln's Inn. Beliau berasal dari keluarga politik yang mana ayahnya, Tan Sri Mohd Yazid pernah menjadi ADUN Chembong di Rembau selama 3 penggal dan pernah menjawat jawatan sebagai Speaker DUN Negeri Sembilan. Walaupun Datin Mastura bukan anak jati Kuala Kangsar tetapi beliau sudah bersama arwah suami hampir 30 tahun di Kuala Kangsar dan sudah faham selok belok dan aspirasi orang Kuala Kangsar.











Selesai program ziarah kesihatan ini, pasukan AKULN telah bersama-sama berbuka puasa di Bilik Gerakan BN di Safari Resort dan seterusnya bergerak ke Masjid Raja Chulan di Ulu Kenas untuk menunaikan solat tarawih secara berjemaah dengan masyarakat di Ulu Kenas.









Seterusnya kami berkumpul di rumah Haji Ismail di Ulu Kenas untuk moreh yang mana kami disajikan masakan tempatan Kuala Kangsar. Program moreh ini turut diserikan dengan kehadiran penyanyi Herman Tino yang turut sama turun berkempen membantu jentera Barisan Nasional di PRK Kuala Kangsar ini.


Program di Kuala Kangsar berakhir dengan bersahur bersama jentera BN di PDM Lempor seawal jam 4.30 pagi pada 9hb Jun 2016 dan solat Subuh berjemaah di Masjid Lempor Hilir. Kesimpulannya, program di Kuala Kangsar ini walaupun padat tetapi ternyata memberi impak yang besar kepada masyarakat di sini. Semoga BN diberikan kemenangan di Parlimen Kuala Kangsar pada hari mengundi 18 Jun 2016 nanti.

Comments