PROGRAM KOMUNITI ANGKAT KG TENGAH, KUALA KEDAH

Pada 23 Julai 2016, satu program kesihatan telah diadakan di Dewan Kg Tengah, Kuala Kedah anjuran Unit HIV/AIDS, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar dengan kerjasama Klinik Kesihatan Kuala Kedah. Program yang dinamakan Program Komuniti Angkat ini merupakan satu inisiatif untuk memberi kesedaran tentang HIV/AIDS dan tingkah laku berisiko tinggi yang menjadi punca ia semakin merebak. Di samping menganjurkan program pendidikan kesihatan, ujian saringan HIV tanpa nama juga dijalankan bagi mengesan pesakit-pesakit yang belum tahu status mereka bagi membolehkan mereka mendapat rawatan perubatan awal.







Program pada tarikh tersebut adalah program pertama yang dijalankan dan mendapat sambutan yang agak baik daripada masyarakat setempat. Antara acara yang dijalankan adalah peraduan mewarna kanak-kanak, pameran kesihatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah, pameran anti dadah oleh AADK, pemeriksaan kesihatan percuma dan saringan HIV tanpa nama serta ceramah berkenaan HIV/AIDS.



Saya telah dijemput untuk menyampaikan ceramah HIV/AIDS ini yang mana saya telah berkongsi ilmu tentang kaedah pencegahan, bagaimana ia merebak dan statistik terkini bagi kes-kes HIV/AIDS dan penyakit transmisi seksual (STI) bagi daerah Kota Setar. Jika dilihat trend jangkitan HIV di Malaysia, dalam tempoh 10 tahun lepas, telah berlaku perubahan apabila jumlah pesakit yang mendapat HIV melalui hubungan seksual telah melebihi pesakit yang mendapat jangkitan melalui perkongsian jarum suntikan dadah. Perubahan ini mungkin disebabkan kebanyakan penagih mula berubah kepada dadah jenis pil amphetamine (ATS). Walau bagaimanapun dalam konteks Kuala Kedah, dadah jenis suntikan masih berleluasa yang menyebabkan risiko pengguna-pengguna dadah ini untuk terdedah kepada jangkitan HIV dan hepatitis adalah sangat tinggi. Maka dalam ceramah saya, turut ditekankan tentang kempen perangi dadah habis-habisan di Kuala Kedah yang sedang berjalan bagi membanteras gejala dadah yang telah lama berakar umbi menghantui masyarakat di sini.

Untuk program komuniti yang seterusnya, saya bersama Pejabat Kesihatan Daerah akan bekerjasama dengan AADK Kota Setar untuk mengadakan program saringan hiv terhadap Orang Kena Pengawasan (OKP) di bawah AADK bagi mengesan status HIV mereka. Program kesedaran di sekolah juga telah dirancang dan akan digerakkan bersama agenda anti dadah dan gejala sosial bagi melahirkan golongan belia yang mengamalkan cara hidup sihat dan faham serta sedar akan risiko yang bakal diterima jika mereka melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak bermoral.

Comments