PROGRAM MEMPERKASAKAN KOMUNITI KUALA KEDAH

Pada 31 Julai 2016, satu program yang dinamakan Program Memperkasakan Komuniti Kuala Kedah sempena Kempen Perangi Dadah Habis-habisan Kuala Kedah, telah berlangsung di Dewan Kg Tengah, Kuala Kedah. Program ini adalah dianjurkan bersempena lawatan Yang Berbahagia Tuan Haji Izhar bin Abu Talib, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK Malaysia. Antara pengisian program adalah majlis dialog dengan pemimpin masyarakat setempat seperti pengerusi JKKK, pengerusi PIBG sekolah dan AJK masjid serta pemimpin-pemimpin badan sukarela di Kuala Kedah seperti RELA dan COMBI. 



Isu dadah di Kuala Kedah menjadi panas apabila Kg Tengah, Kuala Kedah telah tersenarai antara 14 lokasi penagihan dadah yang kronik seluruh Malaysia berdasarkan laporan akhbar BH pada 14 Julai 2016 lalu. Walaupun isu dadah ini bukan sesuatu yang baru di sini tetapi ia menjadi gejala soial yang semakin membarah dan perlu diberi perhatian segera. Maka lawatan Timbalan Ketua Pengarah AADK ini amat tepat masanya dan merupakan satu peluang untuk pemimpin setempat berkongsi pandangan mereka sebagai maklum balas terhadap gerak kerja AADK selama ini. 


Saya telah diberi peluang untuk berucap dan saya memaklumkan perkembangan terkini berkenaan program dan aktiviti yang telah berjalan dan yang sedang dirancang sebagai inisiatif saya sebagai ikon kempen perangi dadah habis-habisan ini. Kebanyakannya adalah atas inisiatif komuniti dan NGO saya sendiri serta dibantu oleh pihak AADK. Saya juga memohon agar diperbanyakkan program-program pencegahan terutama untuk pelajar sekolah dan golongan belia kerana merekalah yang paling terdedah kepada bahaya risiko terjebak dengan dadah yang seterusnya akan memusnahkan masa hadapan mereka. Di samping itu, kerjasama semua pihak juga diperlukan bagi membudayakan mesej benci dadah agar sampai kepada setiap individu dalam masyarakat. Perselisihan politik harus diketepikan demi menyelamatkan anak bangsa daripada terjerumus ke lembah penghinaan.


Tuan Haji Izhar bin Abu Talib dalam ucapannya pula, berharap pemimpin komuniti dapat memainkan peranan penting dalam usaha-usaha pencegahan kerana itu merupakan tugas utama terutamanya pemimpin-pemimpin JKKK di setiap kampung. Aktiviti penguatkuasaan dan rawatan akan dikendalikan sepenuhnya oleh pihak AADK dengan strategi-strategi tertentu. Beliau yakin dengan kerjasama antara pemimpin setempat dan AADK, gejala dadah ini dapat dibanteras. Beliau juga sedia maklum tentang bantahan daripada beberapa orang pengerusi JKKK yang berucap ketika sesi dialog berkenaan perancangan RISDA untuk menanam ketum secara komersil untuk tujuan eksport. Menurut beliau, bukan sahaja JKKK di sini sahaja yang menentang malah beliau menerima banyak maklum balas daripada pemimpin politik di peringkat atas dan akar umbi yang tidak bersetuju dengan cadangan ini.

 


Selepas selesai sesi dialog, Tuan Haji Izhar mengedarkan stiker anti dadah kepada penduduk kampung sebagai simbolik melancarkan Kempen Perangi Dadah Habis-habisan di Kuala Kedah. Amat besar harapan saya agar program ini akan memberi impak yang lebih besar kepada gerak kerja pembanterasan dadah di Kuala Kedah selepas ini. Terima kasih kepada pihak AADK yang tidak pernah jemu membantu dalam menjayakan usaha jihad bersama ini. 



UTUSAN MALAYSIA 1 OGOS 2016






Comments