INISIATIF BELIA LESTARI KUALA KEDAH 2016




*Kertas kerja ini adalah bertujuan memohon peruntukan melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Sosial, Gejala Sosial dan Dadah, Majlis Belia Malaysia sebagai inisiatif menganjurkan program-program pencegahan dadah dan gejala sosial untuk belia-belia Kuala Kedah. 

MUKADDIMAH

Pada 27 Februari 2016, YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan tahun 2016 sebagai kempen besar-besaran untuk memerangi jenayah berkaitan dadah ketika merasmikan Sambutan Hari Anti Dadah Kebangsaan 2016 di Taman Awam Lawas, Sarawak. Timbalan Perdana Menteri berkata, ia berikutan peningkatan jumlah penagih dadah berdaftar seramai 26,660 orang pada tahun lalu, menjadikan keseluruhan 282,660 penagih direkodkan seluruh Negara ketika ini. Selain itu, peningkatan penagih daripada golongan muda yang produktif menyumbang sebanyak 73.4% termasuk murid sekolah dengan paling muda berumur tujuh tahun yang dikesan menjadi penagih dadah pada tahun lalu. Dengan bertambahnya penagih baru kepada 76.1% tentunya memerlukan langkah baharu lebih berkesan bagi memerangi gejala itu.
Sehubungan itu, sebanyak 178 kawasan telah dikenalpasti sebagai kawasan berisiko tinggi seluruh negara dan 14 kawasan tumpuan telah dipilih oleh pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sebagai kawasan paling tinggi risiko kerana mempunyai bilangan penagih antara yang tertinggi di Malaysia.

Dalam konteks negeri Kedah, sehingga Jun 2016, seramai 6053 orang telah dikenalpasti sebagai penagih.
  • Dari jumlah tersebut 5878 adalah terdiri lelaki dan 175 pula perempuan. Jika dilihat dari umur pula, seramai 2916 orang adalah berumur  dibawah 30 tahun, 2774  orang berumur 31 sehingga 50 tahun. 363 orang berumur  50 tahun ke atas.
  • Dari segi bangsa 5590 adalah Melayu, 175 adalah berbangsa Cina, 250 orang berbangsa India dan 38 orang bangsa lain-lain.
  • Dari aspek pekerjaan, 1991 orang tiada pekerjaan, 1169 orang adalah dari sektor pertanian / perikanan, 851 orang adalah dari sektor binaan. 721 orang adalah dari bidang teknikal. 345 orang adalah bekerja sebagai buruh. 321 orang adalah dari sektor jualan. 320 orang pula berkhidmat dalam sektor perladangan
  • Dari aspek Penggunaan bahan pula 3064 adalah penagih opiat, 2446 orang dikesan sebagai penagih ATS. 543 orang penagih ganja.          (Sumber AADK Negeri Kedah)


Kuala Kedah terutamanya meliputi kawasan perkampungan nelayan Kg Tengah adalah antara kawasan berisiko yang mempunyai jumlah penagih yang paling tinggi (rujuk Lampiran 1). Isu penyalahgunaan dadah di kalangan belia terutama di Kuala Kedah merupakan suatu isu yang tiada berkesudahan. Ia bukanlah perkara baru tetapi merupakan sesuatu yang sudah lama diperkatakan dan dicari jalan penyelesaian. Oleh sebab ia sukar ditangani, ramai pihak memandang sepi hal ini dan menyifatkan peperangan menentang najis dadah adalah satu pertempuran yang sia-sia yang mana telah terjamin kekalahannya. Namun begitu, kita harus sedar perjuangan membebaskan belia daripada belenggu najis dadah merupakan satu jihad yang berterusan yang bertujuan melindungi setiap generasi anak bangsa daripada terjebak ke lembah kebinasaan.

Oleh itu, sebagai menyahut cabaran Perang Dadah Habis-habisan 2016 ini, dan demi survival anak bangsa, Majlis Belia Malaysia melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Manusia, Gejala Sosial dan Dadah dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Kedah telah mengambil inisiatif untuk sama-sama memainkan peranan dalam isu pembanterasan dadah di Kuala Kedah terutama di 6 lokaliti tumpuan utama. (rujuk lampiran 2).

Isu jangkitan HIV/AIDS dan penyakit transmisi seksual (STI) adalah satu lagi permasalahan belia yang walaupun saban hari kita telah didedahkan tentang risikonya, rata-rata masyarakat masih kurang kesedaran terhadap bahayanya. Seperti juga masalah dadah, isu ini juga berkait rapat dengan pergaulan bebas dan pengaruh rakan sebaya. Oleh itu, kedua-dua isu ini perlu ditangani secara bersama bagi memastikan satu kaedah yang lebih berkesan dapat dijalankan bagi memastikan kelangsungan survival bangsa terus terjamin. Ini membuktkan adanya keperluan bahawa satu program serampang dua mata amat dituntut bagi menangani kedua-dua isu ini yang tidak boleh dilihat secara berasingan. Tambahan pula kes-kes penyakit ini banyak melibatkan golongan belia jika dilihat pada statistik untuk daerah Kota Setar. (rujuk lampiran 3 dan 4).

Pelan Perancangan Strategik Pembangunan Lestari Kuala Kedah merupakan satu inisiatif yang telah digariskan oleh Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Negeri Kedah, yang dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar Kedah, melalui penubuhan sebuah jawatankuasa yang berperanan merangka dan menyelaras program-program pembangunan sosial dan ekonomi pelbagai agensi dan jabatan dalam menangani permasalahan dadah di Kuala Kedah. Tidak dinafikan pembangunan fizikal yang sedang dirancang akan dapat dilaksanakan tetapi cabaran utama adalah pembangunan sosial yang memerlukan kerjasama banyak pihak lebih-lebih lagi jika golongan sasaran adalah golongan belia. Oleh itu, amat bertepatan sekiranya Majlis Belia Malaysia sebagai wadah anak muda memainkan peranan mengisi vakum dalam pengisian program-program pencegahan dan pendidikan untuk para belia di Kuala Kedah iaitu selaras dengan hasrat kerajaan negeri dalam Pelan Perancangan Strategik Pembangunan Lestari Kuala Kedah ini.

Inisiatif Belia Lestari Kuala Kedah 2016 ini mempunyai tiga komponen utama yang akan menekankan aspek pendidikan dan pencegahan iaitu proses upstream (Hulu) yang masih kurang memadai. Ini adalah kerana proses downstream (Hilir) seperti penguatkuasaan dan tangkapan oleh agensi berkuasa serta kaedah rehabilitasi dan rawatan perubatan tidak dapat menyelesaikan isu ini malah ia akan memulakan satu kitaran kehidupan yang ganas dan tiada berkesudahan.

Tiga program komponen tersebut adalah :
1.    Program Transformasi Remaja Nadi Darulaman (TREND)
Sasaran :belia sekolah
2.    Liga Bolasepak Perangi Dadah dan HIV/AIDS (PERDANA) Kuala Kedah
Sasaran :belia lepasan sekolah
3.    Karnival Lestari Kuala Kedah
Sasaran : golongan belia dan masyarakat setempat

OBJEKTIF
1.Menggerakkan satu misi masyarakat sivil bagi membanteras gejala sosial di kalangan belia dengan kerjasama agensi dan jabatan kerajaan negeri serta persekutuan dengan diterajui oleh belia sendiri.

2.Memperkasa persatuan-persatuan belia tempatan melalui penganjuran aktiviti-aktiviti yang pelbagai untuk kebaikan belia setempat.

3.Melahirkan satu golongan belia yang mengamalkan gaya hidup sihat dan faham serta sedar akan risiko-risiko yang bakal diterima jika melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak bermoral.

4.Merancakkan program-program pendidikan dan pencegahan dadah dan gejala sosial sebagai pencetus ke arah pelaksanaan lebih banyak program-program sebegini dan dijalankan secara berterusan.

5. Sebagai satu peluang mengetengahkan isu gejala sosial di kalangan belia agar diberi perhatian oleh masyarakat supaya sama-sama dapat bekerjasama menanganinya.

6. Melahirkan golongan belia yang bertanggungjawab dan sedar akan wawasan perjuangan bangsa dan tanah air serta cabaran-cabaran yang bakal                                 dihadapi.

7. Mengimbangi pembangunan fizikal dengan penganjuran program pembangunan sosial yang sangat didahagakan terutama oleh golongan belia.

8. Mewujudkan budaya baru yang lebih sihat dalam masyarakat dan menyediakan persekitaran yang lebih selamat kepada anak muda supaya mereka lebih terhindar daripada terpengaruh gejala buruk yang boleh merosakkan masa hadapan.

ANJURAN

Majlis Belia Malaysia, Majlis Belia Negeri Kedah, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kuala Kedah dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK),Unit HIV/AIDS Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar dan agensi-agensi yang berkaitan.

TEMPOH PROGRAM

September hingga November 2016



1. PROGRAM KOMPONEN 1 : PROGRAM TRANSFORMASI REMAJA NADI DARULAMAN (TREND)

OBJEKTIF
1. Memberi ilmu pengetahuan tentang kepada pelajar sekolah tentang kaedah pencegahan penularan virus HIV dan keburukan penggunaan najis dadah dan ketum.

2. Melatih pelajar-pelajar sekolah yang berpotensi sebagai pemimpin sebaya di peringkat akar umbi agar menjadi agen perubahan sikap dan tingkah laku terhadap gaya hidup yang berisiko tinggi.

3. Meningkatkan kesedaran dan pengetahuan ahli masyarakat tentang bahaya penglibatan najis dadah dan penyakit AIDS adalah salah satu komplikasinya.

4. Sebagai kaedah untuk membentuk satu golongan belia yang mengamalkan gaya hidup sihat dan faham serta sedar akan risiko-risiko yang bakal diterima jika melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak bermoral.

5.Memberi motivasi kepada para pelajar agar mempunyai matlamat hidup dan bersemangat mengejar kecemerlangan akademik demi memperbaiki taraf sosio- ekonomi keluarga.


SASARAN

Fasa pertama melibatkan 600 orang pelajar yang terdiri daripada 100 orang pelajar setiap sekolah di 6 buah sekolah di dalam kawasan Parlimen Kuala Kedah iaitu pelajar Tingkatan 4 untuk sekolah menengah dan pelajar tahun 5 untuk sekolah rendah.


TEMPOH

September hingga November 2016
                                  

PENGISIAN PROGRAM

Program sehari ini melibatkan :

1.    Ceramah Motivasi dan Kerjaya
2.    Ceramah Bekas Penagih Dadah
3.    Latihan Dalam Kumpulan
4.    Permainan minda
5.    Aktiviti team building


PERANCANGAN PROGRAM

             AKTIVITI
TEMPAT
MASA CADANGAN
Program Cegah Dadah dan HIV/AIDS di Sekolah (CEDAS)

SMK Seri Pantai
September 2016
SK Seri Pantai
September 2016
SMK Kubang Rotan
Oktober 2016
SK Kuala Kedah
Oktober 2016
SMK Tengku Laksamana
November 2016
SK Haji Ismail
November 2016




2. PROGRAM KOMPONEN 2 : LIGA PERANGI DADAH DAN HIV/AIDS (PERDANA) KUALA KEDAH

OBJEKTIF
1. Memberi ilmu pengetahuan tentang kepada belia tentang kaedah pencegahan penularan virus HIV dan keburukan penggunaan najis dadah dengan menggunakan pendekatan sukan bolasepak.

2. Melatih belia-belia yang berpotensi sebagai pemimpin sebaya di peringkat akar umbi agar menjadi agen perubahan sikap dan tingkah laku terhadap gaya hidup yang berisiko tinggi.

3. Meningkatkan kesedaran tentang amalan gaya hidup sihat dengan mengisi masa senggang dengan aktiviti sukan dan riadah yang dapat mengelakkan belia daripada terjebak dalam belenggu gejala sosial.

4. Sebagai kaedah untuk membentuk satu golongan belia yang mengamalkan gaya hidup sihat dan faham serta sedar akan risiko-risiko yang bakal diterima jika melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak bermoral. .

5. Memupuk disiplin dan sifat kerja berpasukan di kalangan belia yang terlibat sebagai pemain dan juga penyokong.

6. Mendekatkan hubungan belia dengan pemimpin masyarakat bagi mewujudkan interaksi yang sihat melalui aktiviti sukan yang berjalan dalam tempoh yang lama.


SASARAN

Belia berumur 16 tahun hingga 40 tahun.


TARIKH

September 2016 hingga November 2016

TEMPAT

Padang Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Rotan, Kuala Kedah

PENYERTAAN

10 pasukan yang terdiri daripada pasukan-pasukan dari kampong-kampung dan taman-taman perumahan dalam Pekan Kuala Kedah. Setiap pasukan diwajibkan mendaftar 20 orang pemain.


FORMAT PERTANDINGAN

1. Jumlah dan Penggantian pemain : 11 pemain setiap waktu permainan dan 3 pemain gantian.
2. Sepuluh pasukan akan bermain secara liga. Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir.
3. Tindakan tatatertib : 2 kuning = 1 kad merah, akan digantung sekurang sekurangnya satu perlawanan berikutnya dan tindakan selanjutnya akan diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib/Bantahan.
4.  Pengurusan Perlawanan : di bawah tanggungjawab Jawatankuasa Penganjur dalam melantik Pegawai Perlawanan, menentukan masa, lokasi dan jadual perlawanan serta program-program anti dadah dan HIV/AIDS yang bakal dijalankan.
5. Pengadil permainan adalah pengadil yang bertauliah dari Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

PENGISIAN

Aktiviti- aktivti pencegahan dadah dan HIV/AIDS yang akan dijalankan :
1.    Taklimat selama 5 minit sebelum setiap perlawanan berkenaan bahaya dadah dan HIV/AIDS.
2.    Pameran-pameran di tempat pertandingan berkenaan bahaya dadah dan HIV/AIDS untuk pemain-pemain dan penyokong-penyokong ketika perlawanan berlangsung.
3.    Program selitan berkenaan bahaya dadah dan HIV/AIDS yang akan dianjurkan dari masa ke masa pada masa tertentu yang melibatkan beberapa pasukan dan pelajar-pelajar sekolah yang terbabit.
4.    Pengedaran pamphlet dan risalah tentang bahaya dadah dan HIV/AIDS kepada pemain-pemain dan penyokong-penyokong.
5.    Kertas soalan yang menguji pemahaman para pemain dan penyokong berkenaan bahaya dadah dan HIV/AIDS akan diedar sebelum dan selepas program.
6.    Program khas yang menekankan bahaya rokok akan juga dijalankan serentak.
7.    Aktiviti kempen cara hidup sihat seperti beraktiviti fizikal dan mengamal pemakanan secara sihat turut didedahkan.


3. PROGRAM KOMPONEN 3 :KARNIVAL KUALA KEDAH LESTARI

OBJEKTIF
1. Menjadi pusat sehenti masyarakat dalam menyalurkan maklumat dan memberi penerangan tentang program dan dasar kerajaan melalui agensi dan jabatan kerajaan.

2. Memberi peluang kepada golongan belia yang berminat untuk menyambung pengajian terutama dalam bidang kemahiran.

3. Menjadi platform bagi membuka peluang kerjaya melalui temuduga terbuka dan bantuan keusahawanan.

4. Sebagai kaedah untuk membentuk satu golongan belia yang mengamalkan gaya hidup sihat dan faham serta sedar akan risiko-risiko yang bakal diterima jika melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak bermoral. .

5. Sebagai satu peluang mengetengahkan isu gejala sosial di kalangan belia agar diberi perhatian oleh masyarakat supaya sama-sama dapat bekerjasama menanganinya.

6. Mengadakan saringan kesihatan bagi mengesan penyakit lebih awal agar rawatan awal dapat diberi bagi mengelak komplikasi yang lebih buruk.

7.Mendekatkan belia dengan program-program keagamaan.

8.Menyatupadukan masyarakat dengan memberi kesedaran dan penekanan tentang cabaran-cabaran sosial semasa yang sedang berlaku dalam masyarakat supaya mereka lebih peka tentang ancaman terhadap keluarga masing-masing.

SASARAN

Golongan belia dan masyarakat umum di Kuala Kedah


TARIKH

November 2016

TEMPAT

Pekarangan Muzium Kota Kuala Kedah


PENGISIAN

1.    Majlis perasmian oleh YAB Menteri Besar Kedah atau Exco Kerajaan Negeri Kedah.
2.    Program bual bicara berkenaan gejala sosial remaja.
3.    Pameran-pameran oleh agensi kerajaan berkenaan dadah, jenayah, keselamatan dan kesihatan.
4.    Forum hal-ehwal agama
5.    Karnival pekerjaan bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada belia setempat.
6.    Peraduan mewarna kanak-kanak tadika.
7.    Persembahan artis tempatan.
8.    Gerai institusi pendidikan yang menawarkan peluang menyambung pelajaran terutama dalam bidang kemahiran.
9.    Gerai agensi yang menawarkan kemudahan perkhidmatan seperti pinjaman perniagaan dan klinik keusahawanan.
10. Perkhidmatan saringan kesihatan percuma termasuk saringan tanpa nama untuk HIV dan hepatitis.
11. Gerai jualan usahawan tempatan terutamanya yang berkaitan bidang pertanian dan perikanan.
12. Perkongsian pengalaman banduan dan bekas penagih


HARAPAN

Amat besar harapan kita agar Kuala Kedah dapat berubah wajah dan melalui  penganjuran inisiatif ini, Kuala Kedah berupaya memasuki fasa pertama transformasi ke arah pembangunan fizikal dan sosio ekonomi yang lebih holistik yang bakal menjanjikan masa hadapan yang lebih baik buat generasi muda Kuala Kedah.  Semoga kejayaan program-program dalam inisiatif ini akan menjadi model untuk dilaksanakan pula mengikut kesesuaian masa dan keperluan penduduk setempat di kawasan-kawasan lain yang juga berisiko tinggi seperti Kuala kedah.


PENUTUP

Akhir kata, kepada Allah s.w.t dipohon petunjuk dan hidayah serta keredhaan-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad s.a.w, semoga segala perancangan ini dapat dilaksanakan dengan sempurna, mencapai objektif yang telah digariskan dan mendapat keberkatan. Insya Allah.



Disediakan oleh :

DR ZAKI ZAMANI BIN ABD RASHID
Exco Majlis Belia Negeri Kedah




LAMPIRAN 1 :

KERATAN AKHBAR BH 14 JULAI 2016



LAMPIRAN 2 :

MAKLUMAT ORANG KENA PENGAWASAN (OKP) DI KAWASAN KUALA KEDAH SEHINGGA MEI 2016


Bil.

Kawasan / Kampung / Taman

Jumlah OKP (Orang)


1.

Kampung Hulu / Kampung Tengah

51


2.

Taman Sri Putra

35


3.

Taman Kota Nelayan

27


4.

Kubang Rotan

22


5.

Kampung Tok Pasai

40


6.

Taman Bersatu

42


JUMLAH

217



Sumber : Pejabat AADK Daerah Kota Setar dan Pokok Sena


LAMPIRAN 3 :


Sumber : Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar


LAMPIRAN 4 :

BILANGAN KES STI / HIV MENGIKUT JANTINA, BANGSA DAN UMUR SEHINGGA MEI 2016



Sumber : Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar

Comments