KEDAH DIABETES WORKSHOP 2016


Pada 18 Ogos 2016, buat julung-julung kalinya Diabetes Malaysia Cawangan Negeri Kedah telah menganjurkan Kedah Diabetes Workshop 2016 bertempat di Kelab Bandar Laguna Merbok, Sungai Petani. Program ini telah berjaya mengumpulkan hampir 250 orang peserta yang terdiri daripada doktor dan paramedik dari seluruh negeri Kedah serta Perlis dan Pulau Pinang. Penyertaan meliputi petugas-petugas kesihatan yang berkhidmat di klinik-klinik kesihatan kerajaan dan hospital serta dari klinik-klinik swasta. Saya sebagai Timbalan Pengerusi Diabetes Malaysia Cawangan Negeri Kedah telah diberi tanggungjawab untuk bertindak sebagai pengarah program memandangkan biro latihan dipengerusikan oleh saya. Gerak kerja program ini telah bermula 2 bulan lebih awal iaitu ketika pada bulan Ramadan lagi, yang mana saya telah mengumpulkan ahli jawatankuasa yang kebanyakannya adalah dari pejabat kesihatan daerah Kuala Muda, Bandar Baharu dan Sik. Pegawai-pegawai perubatan dari Kubang Pasu turut juga membantu terutamanya dari segi pendaftaran. 

Mesyuarat jawatankuasa pertama di Pejabat Kesihatan Kuala Muda


Mesyuarat kedua di Kelab Bandar Laguna Merbok
Secara keseluruhannya, program ini telah mencapai matlamatnya apabila inisiatif menganjurkan bengkel diabetes untuk para petugas kesihatan di seluruh negeri bagi menambahbaik ilmu dalam pengurusan diabetes telah terlaksana. Untuk makluman, berdasarkan National Health and Morbidity Survey 2015, negeri Kedah mempunyai kes diabetes tertinggi di Malaysia dengan peratusan 25.4% daripada jumlah penduduk, iaitu sangat tinggi berbanding purata kes kebangsaan iaitu 17.5%. Oleh itu penganjuran aktiviti pendidikan berterusan seperti ini sudah menjadi satu keperluan yang mendesak.



Pengisian program sungguh padat melibatkan pakar-pakar dalam bidang masing-masing iaitu pakar perubatan, pakar bedah ortopedik, pakar pemakanan, pakar oftalmologi, pegawai psikologi dan pegawai farmasi. Slaid-slaid ceramah boleh dimuatturun dari laman web berikut :

http://kedahdiabetesworkshop2016.blogspot.my/












Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Dr Noraini binti Abdul Rahman, Timbalan Pengarah Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani. Ucapan jutaan terima kasih kepada ahli jawatankuasa dan semua pihak yang terlibat menjadikan bengkel diabetes ini satu kejayaan. Untuk para peserta, semoga ilmu yang diperoleh hasil penyertaan program ini dapat dimanfaatkan demi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pesakit-pesakit diabetes yang menerima rawatan di premis kesihatan masing-masing.

Comments