31 OGOS 2016 : #sehatisejiwa

Tanggal 31 Ogos 2016 merupakan satu tarikh yang penuh dengan aktiviti dalam diari kehidupan saya. Tentunya tarikh ini sangat istimewa bukan kerana ia adalah hari cuti umum tetapi banyak pihak mengambil peluang menganjurkan program-program yang berunsurkan mahu memupuk patriotisme di kalangan golongan sasaran. Maka tidak hairanlah ramai yang secara sukarela turut serta dan sanggup mengorbankan hari cuti ini demi memenuhi tuntutan menyambut Hari Kebangsaan yang ke-59.

Hari merdeka ke 59 saya bermula dengan menghadiri program sambutan merdeka Tadika Kemas DUN Anak Bukit di Tadika Kemas Taman Sayang. Saya dijemput untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang pakaian beragam kanak-kanak tadika dengan penglibatan 21 pusat tadika Kemas dalam DUN Anak Bukit. Tahniah Kemas kerana berterusan mendidik generasi anak-anak kita agar menjadi generasi pengisi kemerdekaan yang patriotik. Turut hadir adalah Datin Noor Hasita binti Md isa, Ketua Pergerakan Wanita Umno Kuala Kedah bersama ahli-ahli jawatankuasanya.






Selepas itu, saya sempat ziarah seorang anggota Rela yang mengidap serangan strok bersama Pengarah Rela Negeri Kedah, Tuan Ahmad Wahab dan para Rela Kehormat Bersekutu di Hospital Sultanah Bahiyah II (hospital lama). Kami memberi kata-kata semangat agar beliau segera pulih daripada penyakit ini dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

Seterusnya, rombongan kami bergerak ke Hospital Sultanah Bahiyah pula iaitu di wad kenanga 2C bagi menyampaikan sumbangan kepada bayi-bayi merdeka. Salah seorang penerima adalah Shafizan Hashim iaitu pemain bolasepak Kedah yang turut menimang bayi perempuan. Terima kasih kepada Sister Mahiran dan semua staf wad 2C kerana memudahkan urusan penyampaian sumbangan dan juga atas layanan yang mesra.






Selesai program bersama Pengarah Rela Negeri, saya sebagai ahli lembaga pelawat hospital menyertai pula majlis penyerahan sumbangan bayi merdeka oleh YB Dato' Dr Leong Yong Kong, Exco Kesihatan Negeri Kedah, Dato' Dr Norhizan Ismail, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah dan Tuan Haji Nazer Mustaffa, Pengarah AADK Negeri Kedah. Setakat pukul 2 petang ketika itu, saya dimaklumkan seramai 18 bayi telah dilahirkan. Selepas program di wad 2A, rombongan juga sempat ziarah seorang pelajar dari Sg Petani di wad 3C yang menjadi mangsa buli di sekolah, dan melihat keadaan beliau selepas menjalani pembedahan. Terima kasih kepada staf wad kenanga 2A dan 3C atas layanan yang sangat baik.





Selesai sahaja solat maghrib, saya menyertai pula program Kayuhan Merdeka 59 berhadapan Aman Central yang pelepasanya disempurnakan oleh YB Dato' Aminuddin Omar, Exco Belia dan Sukan Negeri Kedah. Program ini berjaya mengumpulkan hampir 200 pengayuh basikal dan dianjurkan dengan jayanya oleh sahabat-sahabat saya dalam team Artfit dengan kerjasama Y Centre dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah. Riadah santai sambil menikmati keindahan Bandaraya Alor Setar pada malam hari kemerdekaan sememangnya satu acara yang menarik. Program kayuhan ini wajar dijadikan acara tahunan sempena sambutan hari kebangsaan.







Selepas itu berlangsung di Dataran Menara Alor Setar, pertandingan salam puisi belia merdeka anjuran Jabatan Belia dan Sukan dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Kedah. Acara turut diserikan dengan persembahan penyanyi lagenda Nash dan USIM street buskers dakwah. Tahniah di atas penganjuran program ini kerana telah berjaya memartabatkan puisi dan sastera Melayu di kalangan khalayak belia dan memberi jiwa kepada sambutan kemerdekaan pada tahun 2016 ini. Saya fikir amat wajar jika dataran menara ini dijadikan tempat tumpu aktiviti kreativiti belia di Alor Setar yang berkaitan dengan pengisian jiwa dan minda terutama dalam bentuk kebudayaan/kesenian serta hiburan yang bermesej. Biarlah di hadapannya tersergam sebuah pusat komersil yang menjadi tempat kegiatan kapitalisme dan materialisme, demi mengejar keuntungan duniawi yang tiada kesudahan. Elemen-elemen kemanusiaan dan ukhrawi tidak patut dilupakan untuk diterap ke dalam jiwa para belia, terutama setelah 59 tahun kita mencapai kemerdekaan. Kita mahu lahirkan belia yang 'independent' dan bukannya 'dependent' iaitu tidak mampu berdikari atau berfikir sendiri atau terpaksa bergantung kepada sesuatu akibat ketagihan tidak kiralah sesuatu itu adalah dadah atau idealisme.







Selamat Hari Kebangsaan ke 59 dan Selamat Hari Malaysia.

Comments