SEHARI DI JKM

Pada 20 September 2016, saya bersama pemimpin-pemimpin Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) telah hadir di Menara Kementerian Pembangunan Wanita,  Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Putrajaya dengan tujuan untuk mengambil inisiatif bagi bekerjasama dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam membantu mewujudkan skim keusahawanan telco di kalangan penerima-penerima bantuan JKM. Ini adalah sebagai salah satu kaedah dan usaha bagi mereka berdikari serta meningkatkan pendapatan mereka yang pada masa yang sama akan mengurangkan kebergantungan mereka kepada bantuan kerajaan. 

Untuk mencapai matlamat itu, pihak kami telah mengadakan mesyuarat bersama En Azmir bin Kassim Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Kebajikan Produktif, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pegawai-pegawai beliau dari JKM Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Pembentangan tentang inisiatif ini dilaksanakan oleh YBhg Dato' Seri Dr Saharudin Awang Yahya, Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM). Program ini akan dimulakan di negeri Selangor dan Kuala Lumpur terlebih dahulu sebagai projek perintis dan kemudian akan dilaksanakan di negeri Kedah. Sebagai Pengerusi LPKPM Negeri Kedah, kehadiran saya membolehkan saya mendapat gambaran lebih jelas tentang inisiatif yang akan memudahkan pelaksanaannya di Kedah nanti.

Inisiatif ini bagi saya merupakan satu program keusahawanan sosial yang sangat tepat.








Selesai mesyuarat, kami turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Puan Fatimah Zuraidah binti Salleh, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Perancangan dan Pembangunan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Malaysia. Beliau adalah antara individu yang bertanggungjawab merangka dasar dan halatuju program kebajikan sosial negara yang digubal dalam Rancangan Malaysia ke-11, Dasar Transformasi Nasional dan Bajet 2017 yang akan datang. 

Kami berbincang dan berkongsi pandangan berkenaan usaha-usaha yang perlu dilaksanakan dalam konteks kerjasama antara JKM dan NGO bagi meningkatkan pendapatan 487 000 orang penerima sumbangan JKM di seluruh Malaysia. Banyak juga saya belajar tentang kekangan terhadap dasar-dasar kebajikan kerajaan yang pelaksanaannya tidak semudah seperti yang tertera di atas kertas.



Kesimpulannya program sehari di JKM ini telah memberi peluang kepada saya untuk memahami struktur bagaimana JKM berfungsi dan proses kerjanya dalam membela kebajikan rakyat di bawah. Di sinilah nadi penggerak aktiviti-aktiviti kebajikan sosial yang manfaatnya akan dirasai oleh akar umbi masyarakat.

Comments