TEMUBUAL IKON AADK DI SIARAN RADIO KEDAH FM

SKRIP TEMUBUAL BERSAMA DR ZAKI ZAMANI BIN ABD RASHID, IKON AGENSI ANTI DADAH KEBANGSAAN (AADK)
PROGRAM PERANGI DADAH HABIS-HABISAN KUALA KEDAH
 DI KEDAH FM, AHAD 30 OKTOBER 2016 JAM 12 TENGAH HARI

Soalan 1 : Penyalahgunaan dadah bukanlah satu masalah baru yang berlaku dalam masyarakat kita. Pada pandangan Dr, apakah isu-isu yang menjadi salah tanggapan masyarakat tentang dadah yang masih berlaku dalam masyarakat kita?

Dr Zaki : Dalam gejala penyalahgunaan dadah ini saya dapati ada beberapa isu yang harus diketengahkan kepada masyarakat agar mereka lebih memahami dan mudah memberi kerjasama dalam setiap gerak kerja membanteras dadah ini apabila dilaksanakan.

1. Masyarakat harus faham, isu dadah ini tidak harus dilihat secara berasingan. Ia tidak berlaku secara spontan iaitu tanpa ada apa-apa pengaruh lain. Isu dadah adalah satu masalah yang lahir daripada pelbagai masalah yang berakar umbi dalam sesebuah masyarakat yang sedang sakit. Ia adalah simptom terakhir yang terhasil daripada keruntuhan sistem kekeluargaan, masalah psikologi individu yang terbabit, pengaruh persekitaran yang tidak sihat dan ketidakpedulian sistem sosial yang wujud. Maka untuk menangani masalah dadah ini, setiap isu-isu ini harus diselesaikan secara bersepadu dan memerlukan kerjasama semua pihak bagi menyembuhkan penyakit ketagihan ini. 

2. Masyarakat harus menukar persepsi dan menerima hakikat bahawa pengguna dadah adalah insan-insan yang memerlukan bantuan rawatan dan sokongan daripada kita semua dan bukannya harus diasingkan dan dicemuh. Mereka harus dianggap seperti pesakit kronik yang sentiasa memerlukan sokongan moral dan perubatan bagi membolehkan mereka mengatasi penyakit ketagihan ini. Walaupun pengedar dadah kita patut hukum sekeras-kerasnya tetapi pengguna-pengguna dadah ini harus diberi peluang kedua untuk berubah dan memulakan kehidupan baharu. Ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang terlibat dengan dadah harus faham, apabila dijalankan aktiviti penguatkuasaan dan anak-anak mereka ditangkap dan dihantar ke pusat pemulihan, ini sebenarnya bukan satu tindakan penganiayaan sebaliknya ini adalah satu pertolongan bagi memulihkan anak-anak mereka agar mampu menjadi insan yang berguna kepada masyarakat selepas keluar daripada pusat-pusat pemulihan ini nanti.

3. Ketum itu dadah. Walaupun dari segi undang-undang, ketum belum diwartakan sebagai sejenis dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, tetapi dari segi sainsnya, ketum yang dikenali sebagai ‘mitragyna speciosa’ mempunyai bahan mitragynine yang tergolong dalam kumpulan dadah opiod seperti heroin dan morfin yang akan merangsang otak dan menyebabkan ketagihan. Setakat ini, ketum belum dibuktikan melalui kajian saintifik tentang kebaikannya kepada kesihatan manusia kecuali hanya disebut oleh perubatan tradisional. Dalam satu kajian di utara Semenanjung Malaysia, purata pengambilan bahan mitragynine dalam satu minuman ketum adalah 79mg dan pengambilannya lebih daripada 3 kali sehari dalam masa lebih 6 bulan akan menyebabkan lebih separuh daripada penggunanya akan mengalami gejala ketagihan dan kebergantungan. Pejabat Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pula telah menyenaraikan ketum sebagai sejenis dadah psikoaktif baharu dalam buku Laporan Dadah Sedunia tahun 2013 walaupun Amerika Syarikat dan kebanyakan Negara Eropah masih belum mengharamkannya. Kita risau senario yang membudayakan minuman ketum ini sebagai satu minuman rekreasi tetapi atas alasan untuk tujuan kesihatan akan mempengaruhi kanak-kanak sekolah yang seterusnya membawa mereka kepada ketagihan jenis dadah yang lebih serius.

Soalan 2 : Bagaimanakah Dr melihat trend penyalahgunaan dadah sejak akhir-akhir ini dan golongan manakah yang paling banyak terlibat?

Dr Zaki : Saya melihat terdapat perubahan trend jenis dadah dan kaedah pengambilan berdasarkan pengamatan saya melalui data statistik dan temubual dengan pengguna dadah sendiri. Saya dapati dadah yang menjadi ancaman utama sekarang ini dan melibatkan dari golongan pelajar sekolah hingga golongan belia dan dewasa adalah dadah jenis Amphetamin (ATS) iaitu contohnya seperti ice, syabu, ectasy dan pil kuda. Ia merupakan sejenis dadah sintetik yang dihasilkan melalui tindakbalas bahan-bahan kimia yang boleh merangsang sistem saraf pusat. Kesannya yang paling bahaya adalah ia meyebabkan mental menjadi tidak stabil dengan kawalan emosi yang terjejas sehingga menghasilkan tingkah laku yang agresif dan ganas. Inilah yang menyebabkan berlakunya banyak tragedi jenayah yang menyayat hati terhadap ahli keluarga sendiri sejak akhir-akhir ini apabila mereka hilang kawalan terhadap pemikiran mereka yang sihat. Trend ini amat menakutkan kerana ia bukan sahaja membahayakan diri tubuh pengguna dadah tersebut malah turut menjadi ancaman kepada masyarakat dan keluarga mereka. Setiap anggota masyarakat perlu peka terhadap ancaman ini dan mengawal dan mengambil berat ahli keluarga dan persekitaran masing-masing agar tidak ada yang terjebak dengan gejala ini.   

Soalan 3 : Dalam konteks Kuala Kedah, apakah yang telah dilaksanakan setakat ini dalam menangani permasalahan dadah ini.

Dr Zaki : Untuk Kuala Kedah, gerak kerja menangani gejala dadah ini telah mula dilaksanakan melalui blueprint Pembangunan Kuala Kedah Lestari. Saya bersyukur kerana ia telah dicetuskan oleh pihak AADK Negeri Kedah dan telah mendapat kerjasama yang cukup erat daripada lebih 20 agensi dan jabatan kerajaan yang berkaitan untuk sama-sama memikir dan bertindak serta mencari jalan penyelesaian bagi membebaskan Kuala Kedah daripada belenggu dadah. Pendekatan yang diambil juga adalah bersifat pemerkasaan komuniti iaitu terutamanya melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang akan memastikan transformasi ini akan lebih berkesan dan berpanjangan apabila peranan yang lebih besar dimainkan oleh pemimpin masyarakat dan orang tempatan sendiri. Aspek kedua yang diberi penekanan adalah strategi pencegahan dadah di kalangan nelayan yang mana kempennya akan bermula pada bulan hadapan. Para nelayan akan diberi pendidikan dan pendedahan tentang bahaya dadah agar mereka lebih berinformatif dalam membuat keputusan untuk menolak penglibatan dengan dadah. 
Walaupun masih banyak yang perlu dilakukan, namun program transformasi masyarakat ini sudah pun menampakkan hasil dan perlu disahut dengan lebih aktif oleh masyarakat setempat sekiranya mereka mahukan kehidupan yang lebih selamat dan bermakna untuk generasi masa kini dan akan datang. Dalam tempoh program Perangi Dadah Habis-habisan dilaksanakan setakat ini, saya yakin masyarakat Kuala Kedah telah sedikit sebanyak merasai perubahan dari segi suasana yang lebih selamat dan pengurangan kes jenayah sebagai satu manfaat yang perlu dihargai. Jika program ini mencapai matlamatnya selepas satu jangkamasa tertentu, kita akan menyaksikan satu transformasi masyarakat Kuala Kedah bukan sekadar dalam bentuk fizikal dan prasarananya sahaja malah akan meliputi pembangunan dalam aspek kemajuan minda, jalinan sistem sosial yang erat dan juga kemantapan dari sudut mental dan kerohaniannya. Insha Allah.

Akhir sekali, saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan selamat berjaya kepada pasukan bolasepak Kedah untuk perlawanan akhir Piala Malaysia pada malam ini. Insha Allah Piala Malaysia milik kita tahun ini. Pulun Kedah Pulun.

         





Comments