KEM SOLAT KANAK-KANAK 2016


 Bermula 23 September 2016, telah bermula siri pertama program kem solat kanak-kanak hasil inisiatif NGO Good Deeds Malaysia yang mana kanak-kanak berumur 10-12 tahun dari keluarga yang kurang berkemampuan di sekitar Telok Chengai, Jalan Kuala Kedah telah dipilih untuk menyertai program ini. Kem solat kanak-kanak ini diaadakan di Masjid Telok Chengai, Jalan Kuala Kedah dengan penyertaan hampir 50 orang pelajar tahun 4 hingga 6 yang dikendalikan oleh fasilitator-fasilitator dari Institut Al-Quran Darulaman (IQDAR). Kem ini berfalsafah bahawa apabila solat dilakukan dengan betul dan sempurna akan menggerakkan orang yang melakukannya untuk mencapai kejayaan. Inilah kunci orang-orang yang beriman dan berjaya yang perlu diterapkan sejak dari kecil.





Siri kedua kem solat ini telah diadakan pada 5 November 2016 dengan kerjasama GPMS Kuala Kedah dan AADK Negeri Kedah dengan meletakkan objektif untuk menjadikan didikan agama melalui kaedah memantapkan ibadah solat sebagai faktor pelindung (protective factor) dalam menghadapi ancaman dadah. Kem solat kanak-kanak Kg Tengah, Kuala Kedah ini diadakan di Masjid Putra, Jalan Kuala Kedah dan berjaya mengumpulkan 56 orang peserta yang merupakan pelajar tahun 4 hingga tahun 6 dari 5 buah kampung berdekatan. Penceramah dan fasilitator masih lagi dijemput dari Institut Al-Quran Darulaman (IQDAR). Program ini adalah inisiatif khas daripada saya selaku Ikon AADK Perangi Dadah Habisan-habisan Kuala Kedah. Pengisian daripada AADK dalam bentuk video animasi berkenaan jenis-jenis dadah dan bahayanya turut diadakan bagi menimbulkan kesedaran di kalangan peserta. Selepas selesai taklimat ringkas tentang dadah daripada saya, setiap peserta telah dihadiahkan sebuah sejadah sebagai cenderahati bagi menimbulkan semangat untuk mereka beribadah di rumah.
















Kem Solat Kanak-Kanak Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah adalah siri ketiga yang diadakan pada 12 November 2016 di Masjid Al-Makrufi, Seberang Kota Kuala Kedah dengan menggunakan format yang sama. Penyertaan seramai 40 peserta yang merupakan pelajar-pelajar tahun 4-6 dari SK Kuala Kedah. Penyampaian cenderahati berupa sejadah pada kali ini disampaikan oleh Tuan Haji Ahmad bin Shafiee, Pengerusi Jawatankuasa Masjid Al-Makrufi merangkap Pengerusi JKKK Kampung Seberang Kota.







Zaman kegemilangan Islam membuktikan solat adalah asas kepada kejayaan dan kecemerlangan. Insha Allah kami akan teruskan dengan program kem solat ini dengan keutamaan diberi kepada kanak-kanak dari golongan kurang berkemampuan supaya mereka dapat merubah nasib keluarga mereka. Program kem solat ini di bawah inisiatif saya sebagai ikon AADK boleh dikatakan berjaya dilaksanakan. Semoga solat dapat menjauhkan kanak-kanak ini daripada ancaman dadah dan gejala sosial yang lain.

Comments