TEKS UCAPAN IKON AADK DI KARNIVAL KUALA KEDAH LESTARI BEBAS DADAH 2016

TEKS UCAPAN DR ZAKI ZAMANI BIN ABD RASHID, IKON AADK PERANGI DADAH HABIS-HABISAN KUALA KEDAH DI MAJLIS PERASMIAN KARNIVAL KUALA KEDAH LESTARI BEBAS DADAH 2016 PADA 18 NOVEMBER 2016 DI MUZIUM KOTA KUALA KEDAH

Terima kasih saudara Pengerusi Majlis.

YB Dato’ Suraya binti Yaacob, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita & Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Industri Asas Tani, serta Pembangunan Usahawan
YBhg Tuan Abdul Rahman bin Haji Hamid, Pengarah (Pencegahan) AADK Malaysia
YBhg Tuan Haji Mohammad Nazer bin Mustafa, Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Kedah
Pengerusi JKKK dan Ahli Jawatankuasa JKKK Mukim Kuala Kedah
Pegawai-pegawai AADK Daerah Kota Setar dan Pokok Sena serta AADK Negeri Kedah
Barisan kepimpinan GPMS Kuala Kedah dan pemimpin-pemimpin pertubuhan belia, 
Para pemimpin masyarakat dan tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi sekalian.

Assalamualaikum warahmatullah , salam 1Malaysia dan salam Muafakat Kedah

1. Pertama sekali, marilah kita panjatkan rasa kesyukuran ke hadarat Allah swt, dengan limpah kurnianya dapat kita bersama-sama pada pagi yang berbahagia ini dalam majlis perasmian Karnival Kuala Kedah Lestari Bebas Dadah 2016.

2. Saya mengambil kesempatan ini mengalu-alukan kehadiran YB Dato’ Suraya binti Yaacob, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah dan mengucapkan ucapan jutaan terima kasih di atas kesudian YB Dato’ untuk bersama-sama dengan kita dan seterusnya merasmikan program yang cukup bermakna pada pagi ini. 

YB Dato’, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

3. Program karnival bebas dadah pada hari ini adalah satu inisiatif ikon bersama AADK Kota Setar dan AADK Negeri Kedah dan dibantu oleh kesemua JKKK di sini bertujuan mahu menyampaikan mesej secara kolektif bahawasanya masyarakat Kuala Kedah amat benci akan dadah dan bersama-sama memerangi dadah habis-habisan. Gejala penyalahgunaan dadah bukanlah satu masalah baru tetapi telah lama berakar umbi dan telah sinonim terutamanya dengan masyarakat nelayan di sini. 

4. Masyarakat harus faham, isu dadah ini tidak harus dilihat secara berasingan. Ia tidak berlaku secara spontan. Isu dadah adalah satu masalah yang lahir hasil daripada pelbagai masalah lain dalam sesebuah masyarakat yang sedang sakit. Ia adalah simptom terakhir yang terhasil daripada keruntuhan sistem kekeluargaan, masalah psikologi individu yang terbabit dan pengaruh persekitaran yang tidak sihat. Maka untuk menangani masalah dadah ini, setiap isu-isu ini harus diselesaikan secara bersepadu dan memerlukan kerjasama semua pihak bagi menyembuhkan penyakit ketagihan ini. 

5. Dalam memikirkan isu ini, saya sering membandingkan diri sendiri iaitu apa bezanya saya seorang doktor yang boleh menyuntik orang lain berbanding doktor tidak bertauliah yang menyuntik diri sendiri. Saya juga anak jati Kuala Kedah, keluarga saya yang berasal Kg Tengah iaitu di seberang sana, semuanya pernah menjadi nelayan, tetapi di manakah perbezaannya? Kesimpulan yang saya dapat rumuskan segalanya berbalik kepada peranan ibu bapa dan keluarga di rumah serta pengaruh persekitaran. Ibu bapa harus mengambil berat menekankan kepada anak-anak tentang kepentingan untuk mencapai kejayaan akademik dan bukan semuanya semata-mata bergantung kepada guru di sekolah. Dan setiap pergerakan anak-anak haruslah dipantau dan dipastikan mereka tidak berkawan dan terlibat dengan aktiviti sosial yang merosakkan masa hadapan mereka. Mereka harus dipastikan tidak tercicir dalam arus pembelajaran dan mesti menamatkan pelajaran sekurang-kurangnya pada peringkat SPM. Oleh itu, institusi kekeluargaan wajib kita perkasa dan perkemaskan.

6. Faktor kedua adalah persekitaran yang tidak sihat. Pada tahun 1971, askar-askar Amerika yang menjadi penagih-penagih heroin tegar ketika Perang Vietnam telah berjaya pulih apabila mereka kembali ke Amerika kerana persekitaran di sana tidak mesra dadah seperti mana ketika mereka di Vietnam. Oleh itu, usaha menyediakan persekitaran yang sihat ini adalah satu usaha yang berterusan yang perlu melibatkan banyak pihak dan agensi. 

YB Dato’, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

7. Melihat situasi terkini di Kuala Kedah, kita harus menukar persepsi dan menerima hakikat bahawa pengguna dadah adalah insan-insan yang memerlukan bantuan rawatan dan sokongan daripada kita semua dan bukannya harus diasingkan dan dicemuh. Mereka harus dianggap seperti pesakit kronik yang sentiasa memerlukan sokongan moral dan perubatan bagi membolehkan mereka mengatasi penyakit ketagihan ini. Walaupun pengedar dadah kita patut hukum sekeras-kerasnya tetapi pengguna-pengguna dadah ini harus diberi peluang kedua untuk berubah dan memulakan kehidupan baharu. Kesediaan kita untuk menerima mereka semula ke pangkuan masyarakat adalah faktor penyumbang utama yang akan menentukan sama ada mereka akan menjadi penagih berulang. Ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang terlibat dengan dadah pula harus faham, apabila dijalankan aktiviti penguatkuasaan dan anak-anak mereka ditangkap dan dihantar ke pusat pemulihan, ini sebenarnya bukan satu tindakan penganiayaan, sebaliknya ini adalah satu pertolongan bagi memulihkan anak-anak mereka agar mampu menjadi insan yang berguna kepada masyarakat selepas keluar daripada pusat-pusat pemulihan ini nanti. 

YB Dato’, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

10. Saya bersyukur kerana program pembangunan Kuala Kedah Lestari telah dicetuskan oleh pihak AADK Negeri Kedah dan telah mendapat kerjasama yang cukup erat daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan yang berkaitan untuk sama-sama memikir dan bertindak serta mencari jalan penyelesaian bagi membebaskan Kuala Kedah daripada belenggu dadah. Pendekatan yang diambil juga adalah bersifat pemerkasaan komuniti iaitu melalui JKKK dan NGO di sini yang akan memastikan transformasi ini akan lebih berkesan dan berpanjangan. Ini adalah cabaran terbesar bagi pemimpin masyarakat di sini untuk sama-sama mengajak masyarakat menyertai kempen perangi dadah habis-habisan sebagai satu gerakan masyarakat sivil. Jika program ini mencapai matlamatnya selepas satu jangkamasa tertentu, kita akan menyaksikan satu transformasi masyarakat Kuala Kedah bukan sekadar dalam bentuk fizikal dan prasarananya sahaja malah akan meliputi pembangunan dalam aspek kemajuan minda, jalinan sistem sosial yang erat dan juga kemantapan dari sudut mental dan kerohaniannya.

11. Saya mengambil peluang ini untuk menyampaikan ucapan terima kasih kepada pihak AADK Kota Setar dan AADK Negeri Kedah di atas komitmen dan kerja keras sepanjang program perangi dadah habis-habisan ini dijalankan. Aktivti penguatkuasaan AADK telah berjalan dengan lancar sekali dan telah berjaya menyelamatkan ramai anak-anak muda daripada terus berada dalam dunia khayalan. Fasa yang seterusnya adalah peringkat membina persekitaran yang sihat untuk generasi muda Kuala Kedah. Sokongan yang kuat terutamanya daripada kerajaan negeri amat kita alu-alukan bagi menghasilkan wajah baru Kuala Kedah.


12. Sekali lagi pihak kami menyampaikan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Dato’ Suraya Yaacob kerana menyokong usaha kami ini dan seterusnya sudi merasmikan program ini pada pagi ini. Dengan kekangan masa dan sumber yang terhad yang ada pada kami, sokongan daripada YB Dato’ selaku ‘focal person’ program perangi dadah habis-habisan telah memberi semangat kepada kami untuk memastikan program pemerkasaan komuniti seperti ini mencapai kejayaan.




Comments