PROGRAM #BAG2SCHOOL KUALA KEDAH

Program Pemerkasaan Komuniti Bebas Dadah dan penyampaian sumbangan beg sekolah kepada 100 pelajar miskin dan anak yatim dari sekitar Kuala Kedah telah berlangsung di SK Haji Salleh Masri, Kuala Kedah pada 27 Disember 2016. Program ini disempurnakan perasmiannya oleh Pengarah AADK Negeri Kedah, Tuan Haji Mohammad Nazer bin Haji Mustafa. Program adalah anjuran Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) melalui penajaan Talk Focus Sdn Bhd dengan kerjasama AADK Kedah dan AADK Kota Setar, Persatuan Profesional dan Usahawan Negeri Kedah (PEAKS) dan GPMS Kuala Kedah.





100 orang pelajar yang dipilih adalah dengan kerjasama 20 pihak JKKK dalam mukim Kuala Kedah dan pihak SK Haji Salleh Masri yang turut mencalonkan pelajar-pelajar tahun 5 yang cemerlang untuk menerima hadiah khas sebagai satu dorongan.




 Pada program ini juga, pengisian berkenaan dadah turut disampaikan oleh Ketua Pegawai AADK Daerah Kota Setar dan Pokok Sena iaitu En. Mohd Syafrie bin Shamsuddin kepada para ibu bapa dan pelajar yang hadir bagi menimbulkan kesedaran tentang program perangi dadah habis-habisan di Kuala Kedah.

 
 


Pada majlis ini juga, saya menerima surat perlantikan sebagai Pengerusi Negeri Kedah Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) daripada Dr Lee Nan Sang, Timbalan Presiden dan CEO Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM).

 

Dalam sidang media selepas program, Pengarah AADK Negeri Kedah telah mengutarakan isu dadah di kalangan remaja dan pelajar sekolah di negeri Kedah dan bagaimana pengedar dadah menggunakan pelajar sebagai ejen untuk menjual dadah di sekolah. Walaupun ini satu realiti yang agak pahit tetapi kita harus menerima hakikat ini dan perlu segera mengatur strategi menanganinya. Semoga masyarakat akan lebih berwaspada selepas ini.

 


Terima kasih kepada Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) kerana sudi memilih Kuala Kedah sebagai salah satu destinasi program Bag2School ini. Terima kasih kerana telah memberikan kegembiraan kepada pelajar-pelajar miskin dan anak-anak yatim di sini. Semoga dengan sumbangan ini akan memberi motivasi kepada pelajar-pelajar ini untuk berjaya dalam akademik dan selain memberi kegembiraan menjelang sesi baharu persekolahan.

Comments