PENCAPAIAN PDH KUALA KEDAH FASA 1/2016

Pada 24 Januari 2017, satu mesyuarat meja bulat Program Pembangunan Lestari Kuala Kedah iaitu sebagai sebahagian daripada gerak kerja Perangi Dadah Habis-habisan (PDH) Kuala Kedah telah berlangsung dan dipengerusikan oleh YB Dato' Suraya binti Yaacob, Exco Kerajaan Negeri Kedah. Program NBOS ini adalah inisiatif saya sebagai ikon AADK bersama AADK Negeri Kedah dan Daerah Kota Setar berjaya mendapat penglibatan pelbagai agensi seperti Pejabat Daerah Kota Setar, Jabatan Pembangunan Wanita, LPPKN, LKIM, Giat Mara, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Pejabat Kesihatan Daerah dan banyak lagi jabatan-jabatan lain. Dalam mesyuarat ini, dibentangkan laporan pencapaian KPI pada tahun lepas yang ternyata amatlah memuaskan tetapi banyak lagi cabaran yang perlu ditangani pada tahun ini. Antaranya memastikan Orang Kena Pengawasan (OKP) yang keluar pusat pemulihan mendapat peluang pekerjaan dan kemahiran, serta membantu membangunkan sosio ekonomi keluarga-keluarga OKP.




Report card untuk Program Perangi Dadah Habis-habisan Kuala Kedah untuk tahun 2016 yang dibentangkan dalam mesyuarat ini, walaupun pencapaiannya membanggakan dan membuktikan kerja keras saya bersama Aadk Kota Setar amat berhasil, tetapi masih banyak lagi cabaran yang perlu ditangani. Dengan kejayaan penguatkuasaan menahan seramai 417 penagih dan program pencegahan yang pelbagai, aktiviti tahun ini perlu fokus kepada membantu meningkatkan sosio ekonomi OKP dan keluarga mereka di samping memantapkan program pemulihan dalam komuniti. Program pencegahan dan saringan pelajar sekolah dan nelayan wajar diperhebat. 



YB Dato' Suraya Yaacob selaku focal person program ini mengucapkan tahniah terutamanya kepada pihak AADK dan semua yang terlibat di atas kejayaan inisiatif ini dan blueprint yang dilaksanakan di Kuala Kedah ini wajar dipraktikkan juga di tempat-tempat lain yang bermasalah dadah. Kuala Kedah harus dilihat sebagai contoh dan beliau yakin usaha dalam membina wajah baharu Kuala Kedah sedang berada di landasan yang betul. Dalam rumusan akhir saya dalam mesyuarat, saya memohon kerjasama setiap agensi agar memberi fokus kepada program-program pencegahan dan pemulihan dalam komuniti kerana ia adalah kunci kejayaan program ini. Fasa pertama yang memberi penekanan terhadap penguatkuasaan dan pembersihan sarang dadah telah berjaya dilaksanakan. Fasa seterusnya ternyata lebih mencabar kerana memerlukan komitmen banyak pihak dan jabatan terutamanya dalam memperkasakan komuniti dan membentuk budaya hidup baharu yang lebih sihat dalam masyarakat Kuala Kedah.  

Terima kasih saya ucapkan kepada semua jabatan yang memberi komitmen tinggi terhadap jihad membasmi dadah di Kuala Kedah. Komitmen semua jabatan yang terlibat amat saya hargai dan sanjung tinggi.

Di bawah adalah antara gambar-gambar program PDH Kuala Kedah sepanjang tahun 2016 :





















Comments