PESAKIT MENTAL PERLU DIKESAN DAN DIBANTU

Pada 23 Disember 2016, saya telah menziarah seorang ibu tunggal yang tinggal bersama 2 orang anaknya di Kuala Kedah.  Suaminya telah meninggal dunia 2 tahun lepas. Anak sulung lelakinya berumur 14 tahun dan anak perempuannya 12 tahun, kedua-duanya hanya bersekolah setakat tahun 5. Ibu ini pernah bekerja sebagai guru tetapi akibat tekanan mental telah berhenti bekerja sejak 16 tahun lalu. Beliau ditemui di Guar Cempedak oleh sukarelawan Community Policing Daerah Yan sedang merayau-rayau bersama anak-anaknya untuk mencari pekerjaan. Saya dan Pasukan Sukarelawan Community Policing (CP) Yan singgah bersama-sama untuk menyampaikan sumbangan dan barangan keperluan kepada keluarga ini. Terima kasih kepada pihak CP Yan atas keprihatinan tuan-tuan. Sejak itu saya telah menjejaki keluarganya dan berbincang bagaimana untuk membantu beliau. Daripada perbincangan dengan keluarga beliau dan pemimpin setempat, mereka seperti sudah putus harapan untuk mencari jalan membantu beliau kerana merawat dengan cara perubatan tradisional tidak memulihkan keadaan beliau. Mereka menganggap ini sebagai satu masalah yang melibatkan pengaruh mahkluk halus akibat perbuatan khianat orang lain. Saya beranggapan ibu tunggal ini perlu dirawat secara perubatan moden terlebih dahulu kerana jelas daripada simptom-simptom yang ditunjukkan beliau. Dengan cara rawatan perubatan psikiatri ini, baharulah beliau akan ada kesedaran bahawa beliau perlu dibantu. 

Lawatan pertama pada 23 Disember 2016

Selama 3 bulan saya berusaha untuk mendapatkan kerjasama pelbagai agensi melalui Lembaga Pelawat Psikiatri Hospital dan Jawatankuasa Kesihatan Mental Daerah. Akhirnya pada 12 April 2017 hasil lawatan susulan saya bersama pegawai perubatan psikiatri dan pasukan komuniti psikiatri, kami telah mendapati beliau telah menunjukkan satu perkembangan positif. Ibu tunggal ini yang baru disahkan mengidap penyakit mental telah menerima rawatan semenjak 2 minggu sebelumnya telah memaklumkan simptom-simptom penyakit mental beliau semakin berkurangan. Beliau juga sudah dapat tidur dengan nyenyak. Jabatan Pendidikan Negeri juga telah melawat beliau baru-baru ini bagi menguruskan kemasukan semula anak-anaknya ke sekolah. Saya yakin beliau akan pulih dengan rawatan yang diberikan dan masa hadapan anak-anaknya akan lebih baik. 

Mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pelawat Psikiatri, Hospital Sultanah Bahiyah

Di Mesyuarat Jawatankuasa Kesihatan Mental Daerah Kota Setar
Kesimpulannya, masyarakat perlu megenalpasti dahulu pesakit mental yang memerlukan rawatan, kemudian baharulah kaedah bantuan lain boleh menyusul. Jika tidak, kita tidak membantu mereka dalam erti kata yang sebenarnya. Saya berpuas hati dengan perkembangan positif ibu tunggal ini dan yakin beliau akan pulih dan bakal mempunyai kualiti hidup yang lebih baik. Kepuasan berkhidmat dan melihat sendiri impak usaha kita, memang tidak ternilai harganya.

Lawatan susulan pada 12 April 2017

Inilah kisah bagaimana membantu orang yang tidak tahu dirinya perlu dibantu. Tahniah kepada semua yang membantu insan ini dan anak-anaknya. 


Comments