LAWATAN PESAKIT MENTAL DI TAMAN SRI ABADI

Pada 4 Julai 2017, saya telah melawat seorang pesakit mental di Taman Sri Abadi, Jalan Kuala Kedah bersama pasukan komuniti psikiatri Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan Lembaga Pelawat Psikiatri HSB. Pesakit ini dimaklumkan kepada Lembaga Pelawat Psikiatri melalui mesyuarat Jawatankuasa Kesihatan Mental Daerah Kota Setar beberapa bulan lepas. Turut bersama adalah En Surendran, Ketua Pemuda MIC Bahagian Kuala Kedah. 
Pesakit ini berumur 58 tahun dan telah dikurung seorang diri di rumah kosong ini sejak tahun 1995 oleh abangnya dalam rumah yang tidak mempunyai kemudahan elektrik. Makanan beliau dihantar oleh abangnya atau disediakan oleh jiran yang banyak membantu. Tidak dinafikan situasi ini berpunca apabila keluarganya masih trauma berikutan kejadian pada tahun 1984 yang mana dia telah menyebabkan kematian neneknya. Walau bagaimanapun ini bukanlah alasan untuk menidakkan hak pesakit ini untuk mendapatkan hidup yang lebih berkualiti. 




Tidak terbayang pada zaman ini masih ada pesakit mental yang mendapat layanan sebegini seperti tahun 1950an. Persekitaran yang gelap, tidak bersih, makan yang tidak menentu, diri sendiri yang tidak terurus dan diasingkan daripada masyarakat akan memburukkan lagi keadaan kesihatan mentalnya. Kami telah berbincang dan memujuk abangnya yang akhirnya bersetuju untuk membawanya keluar untuk memulakan rawatan occupational therapy di jabatan psikiatri pada minggu hadapan. Bagi saya ini merupakan satu langkah pertama yang positif.

Kesimpulannya, kita perlu terus mendidik masyarakat dan memberi kefahaman bahawa setiap kejadian buruk yang berlaku melibatkan pesakit mental adalah kerana kegagalan kita untuk mengesan penyakit mereka pada peringkat awal agar mereka dapat diberi rawatan.

Comments