OPS SARANG DI POKOK SENA

Pada 25 Julai 2017, dalam Ops Sarang AADK Kota Setar bersama Unit Narkotik IPD Kota Setar telah menahan 27 orang termasuk 5 orang tokan di sekitar Pokok Sena. Kesemuanya berumur 21 hingga 48 tahun dan semua adalah berbangsa Melayu. Saya hadir di pejabat AADK Kota Setar keesokannya untuk membuat pengesahan sebagai pengamal perubatan ke atas 12 orang penagih untuk dihantar ke pusat pemulihan berdasarkan Seksyen 8(3)(a) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983. Yang ditangkap selebihnya akan didakwa di mahkamah. Ini adalah satu khidmat masyarakat daripada saya untuk mempercepat proses kemasukan klien-klien AADK ini ke dalam pusat pemulihan bagi membolehkan mereka menjalani rawatan pemulihan dengan segera.



Salah seorang antara yang ditahan berumur 48 tahun dan telah 25 tahun terlibat dengan penyalahgunaan heroin. Sudah dua kali memasuki pusat pemulihan. Isteri, anak-anak dan keluarga tidak lagi menjadi keutamaan. Wajahnya seperti orang yang sudah berumur lebih 60 tahun. Inilah kesan buruk dadah kepada diri dan keluarga. Seorang lagi baru berumur 21 tahun dan sudah 2 tahun menggunakan syabu akibat pengaruh kawan. Mereka ini akan terus diberi peluang untuk berubah selagi diizinkan-Nya.


Tetapi, sampai bilakah perang habis-habisan ini akan berakhir? Ternyata ini adalah perang yang tidak akan habis. Jagalah anak-anak kita. Sesungguhnya pencegahan dadah bermula di rumah. Tindakan penguatkuasaan adalah tindakan terakhir apabila keluarga dan pemimpin masyarakat tidak dapat memainkan peranan untuk mencegah. Selagi itu tidak berlaku, maka usaha menyelamat anak bangsa sebegini perlu diteruskan.

Comments