DETIK-DETIK BERMAKNA 2017

Tirai tahun 2017 bakal dilabuhkan dalam masa beberapa hari lagi. Seperti tahun-tahun sebelum ini, ini adalah masa terbaik bagi saya dan kita semua wajar melakukan muhasabah atau refleksi bagi setiap perjalanan kita sepanjang tahun 2017 ini. Bagi saya, tahun 2017 adalah tahun yang paling cemerlang jika dinilai dari segi gerak kerja kemasyarakatan yang saya telah laksanakan. Dengan hanya berbekalkan platform JKKK dan NGO serta kekangan sumber kewangan yang terhad, pelbagai program telah berjaya diatur dan dijayakan yang dampaknya dapat dilihat sehingga ke akar umbi. 

Saya masih ingat pada tahun 2013, iaitu sebaik sahaja saya tewas pada PRU 13 di kerusi Parlimen Kuala Kedah, saya bagaikan kehilangan arah, tiada pekerjaan (saya meletakkan jawatan bernotis 24jam sebagai pegawai perubatan gred U52 di Hospital Sultanah Bahiyah), dan yang paling merisaukan adalah bagaimana saya boleh bangun semula untuk meneruskan khidmat kepada masyarakat tanpa apa-apa platform. Alhamdulilah, tewas di PRU13 tidak sedikit pun mengurangkan semangat perjuangan saya, malah semakin mantap demi memartabatkan agama, bangsa dan negara. Tentunya tanpa sokongan isteri dan keluarga serta dokongan sahabat seperjuangan, saya pasti tidak akan mampu menghadapinya berseorangan. Tempoh lima tahun ini benar-benar mengajar saya tentang kematangan berpolitik dan keikhlasan dalam perjuangan. Bermula agak perlahan pada tahun 2014, momentum gerak kerja saya mula menunjukkan benih pada 2015 dan memuncak pada 2016 iaitu terutama ketika saya menerima penganugerahan sebagai Tokoh Belia Negeri Kedah 2016. 

Pencapaian tahun 2017 ini boleh dikatakan telah mencapai tahap yang boleh dibanggakan walaupun masih banyak lagi yang boleh dilakukan. Tiga isu yang menjadi fokus utama program saya sepanjang 2017 adalah isu penyalahgunaan dadah sesuai dengan perlantikan saya sebagai ikon AADK Negeri Kedah, isu penyakit diabetes atas platform saya sebagai Timbalan Pengerusi Diabetes Malaysia Negeri Kedah dan isu kesihatan mental menepati peranan saya sebagai Pengerusi Lembaga Pelawat Psikiatri, Hospital Sultanah Bahiyah. Sehubungan itu, maka tidak hairanlah saya telah menerima anugerah penghargaan atas sumbangan kepada komuniti daripada AADK Malaysia sempena Hari Anti Dadah Kebangsaan 2017 dan penganugerahan 'Friends of Police' daripada Ketua Polis Negeri Kedah pada Sambutan Hari Polis ke 210. Kedua-dua ini adalah simbol kejayaan gerak kerja saya dalam pencegahan dadah dan jenayah.

Untuk tahun 2018 pula, saya yakin gerak kerja akan lebih tersusun dan akan melibatkan lebih banyak agensi dan khalayak bagi mencapai matlamat yang digariskan. Fokus tahun 2018 akan lebih terarah kepada pembangunan keluarga dan kesedaran kesihatan mental, di samping program-program pencegahan dadah akan dirancakkan lagi. 

Perjalanan hidup dari 2013 hingga akhir 2017 ini sangatlah mengujakan saya walaupun pelbagai kisah suka duka ditempuhi. Namun, inilah realiti jika kita telah memilih jalan hidup untuk menjadi seorang aktivis masyarakat yang hanya mahu menabur bakti. Jatuh bangun itu perkara biasa. Apa yang penting, kita sentiasa istiqamah dalam perjuangan dan konsisten dalam prinsip. Jawatan, pangkat, kuasa dan kekayaan adalah perkara sampingan kerana matlamat yang lebih besar adalah mendapat redha ilahi dan sumbangan khidmat kita memberi impak positif kepada agama, bangsa dan negara. Inilah yang dinamakan Kehebatan Perdana (Primary Greatness).

Berikut adalah gambar-gambar program dan peristiwa yang melibatkan saya sepanjang tahun 2017 yang cemerlang ini :

Promosi skim keusahawanan K'pok King di Kg Tengah, Kuala Kedah. 

Menemubual pengguna-pengguna dadah sebelum mereka dihantar ke pusat pemulihan. Saya terlibat secara langsung dengan membuat pengesahan sebagai pengamal perubatan mengikut Akta Penagih Dadah 1983 (Rawatan dan Pemulihan) Pindaan 1998 Seksyen 8(3)(a).

Ziarah sambil menyampaikan sumbangan bantuan Barakah kepada seorang ibu tunggal di Kg Kompleks, Kuala Kedah. Program bantuan Barakah ini adalah hasil inisiatif Menteri Besar Kedah dan kerajaan negeri yang berhasrat meringankan beban golongan kurang berkemampuan di seluruh negeri Kedah

Ziarah seorang warga emas yang berumur 80 tahun, tinggal seorang diri di Kg Tok Pasai walaupun mempunyai 12 orang anak. 3 anak lelaki dan seorang cucunya terlibat dengan dadah. 

Mesyuarat meja bulat inisiatif plan pembangunan lestari Kuala Kedah dipengerusikan oleh YB Dato' Suraya Yaacob, Exco Kerajaan Negeri Kedah

Bersama Dato' Dr Abd Halim bin Mohd Hussin, Ketua Pengarah AADK Malaysia. 
Sharing the success stories of Kuala Kedah war against drugs at the International Workshop Empowering Youth for Drug Free Community (IEYDFC) 2017 organised by Asia Pacific University-Community Engagement Network (APUCEN), AADK and USIM.

Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Negeri Kedah 2017 

Ziarah seorang ibu di Taman Kota Nelayan, suaminya masih ditahan di pusat pemulihan. 

YAB Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Besar Kedah bersama kepimpinan belia Negeri Kedah di Program Gen Y Kedah bersama PM

Mesyuarat Agung Persatuan Profesional dan Usahawan Negeri Kedah (PEAKS). Saya masih dipilih sebagai Pengerusi PEAKS untuk sesi 2017-2019

Gambar paling 'mahal'. Saya bersama Dato' Seri Syed Razak, mantan Menteri Besar Kedah dan kepimpinan Umno Bahagian Kuala Kedah di kenduri Dato' Hashim Jahaya, mantan Ahli Parlimen Kuala Kedah.

 Merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Diabetes Malaysia Cawangan Daerah Yan 

Alhamdulilah menerima pengiktirafan sebagai penerima anugerah penghargaan AADK kategori komuniti peringkat kebangsaan sebagai ikon anti dadah sempena sambutan Hari Anti Dadah Peringkat Kebangsaan 2017 di Penjara Simpang Renggam. 


Bersama YB Dato' Nur Jazlan Mohamed, Timbalan Menteri Dalam Negeri, KSU KDN, TKSU KDN, Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Ketua Pengarah AADK Malaysia, Pengarah Pencegahan dan Pengarah Penguatkuasaan AADK Malaysia. 

Lawatan PEAKS ke ladang Ganoderma di Changlun

Program sukarelawan belia skuad AADK Kuala Kedah. 

Seminar Kesihatan Mental Pemimpin Komuniti Daerah Kota Setar dirasmikan oleh YB Dato' Dr Leong Yong Kong, Exco Kesihatan Negeri Kedah

Jawatankuasa Penganjur dan Pengerusi JKKK di Seminar Kesihatan Mental Pemimpin Komuniti Daerah Kota Setar

Program motivasi Ramadan bersama Pertubuhan Kembali Bersinar Malaysia di Kg Tengah

Karnival Sepak Raga Tuju Kuala Kedah.

Mesyuarat Jawatankuasa Kesihatan Mental Daerah Kota Setar

Ziarah sambil menyampaikan sumbangan daripada Babybox dan Food Bank kepada Puan Hamidah Zakaria. Beliau kehilangan suami beliau pada Januari 2017 lalu selepas gagal dikesan di perairan Kuala Kedah selepas keluar mencandat sotong. Arwah meninggalkan 3 orang anak yatim, kesemuanya lelaki yang berumur 7 tahun, 5 tahun dan 3 bulan. Turut ziarah bersama saya adalah Pengerusi JKKK Sinar Harapan. 

Ucapan sebagai ketua cawangan di Persidangan Tahunan UMNO Cawangan Kg Kompleks, Kuala Kedah
Ziarah seorang ibu tunggal di Batas Paip bersama dua orang anaknya yang tidak bersekolah. Beliau mengalami tekanan mental semenjak 15 tahun lalu dan pernah bertugas sebagai seorang guru. Keadaan kesihatan mental beliau bertambah baik selepas mendapat rawatan daripada pasukan komuniti psikiatri yang melawat beliau setiap minggu. Cabaran seterusnya adalah untuk menyekolahkan semula anak-anaknya.


Gotong-royong pembersihan sarang penagihan di Kuala Tebengau, Pengkalan Kundor 

Perjumpaan bersama diabetes educator dari seluruh Negeri Kedah 

Bersama Menteri Besar Kedah dan Pengarah Kesihatan Negeri Kedah di program Jom Barakah di Kompleks LKIM, Keloncor, Kuala Kedah

Alhamdulilah saya terpilih untuk terus memegang tanggungjawab sebagai Timbalan Pengerusi Diabetes Malaysia Cawangan Negeri Kedah untuk sesi 2017-2019.

Lembaga Pelawat Psikiatri, Hospital Sultanah Bahiyah 2015-2017. 

Majlis penutup Program Kajian Indeks Kesejahteraan Keluarga (IKK) disempurnakan oleh Tuan Pengarah LPPKN Negeri Kedah

Tahniah semua petugas sukarelawan kajian indeks kesejahteraan keluarga (IKK) komuniti Kg Tengah. Saya dimaklumkan oleh pihak LPPKN bahawa kita telah berjaya mendapatkan 454 orang responden untuk kajian IKK, iaitu melebihi daripada sasaran 400 orang yang ditetapkan. 

Menerima sijil penghargaan dan cenderamata 'Friends of Police' daripada YDH Tuan SAC Hashim bin Ali, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, PDRM Kedah atas sumbangan usaha pembanterasan dadah di Kuala Kedah dan negeri Kedah. Sepatutnya saya menerima sijil ini ketika sambutan Hari Polis Ke 210 tetapi disebabkan saya tiada kesempatan, saya menerimanya dalam satu majlis ringkas di IPK Kedah. Terima kasih YDH Dato' Ketua Polis Kedah dan PDRM Kedah.

Kem Smart AADK Kota Setar & Pokok Sena 2017 mengumpulkan belia-belia dari Kuala Kedah untuk diberi ilmu dan pengalaman yang berguna untuk pencegahan dadah

Mesyuarat penyelarasan program Perangi Dadah Habis-habisan Negeri Kedah, dipengerusikan oleh YB Dato' Tajul Urus bin Md Zain, Exco Kerajaan Negeri Kedah dan turut dihadiri oleh Pengarah AADK Negeri Kedah, Ketua Polis Kedah, Pengarah Pencegahan AADK Malaysia dan Ketua Unit Pencegahan Pendidikan Dadah, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah. 

Ceramah pemerkasaan komuniti pencegahan dadah kepada pengerusi-pengerusi JKKK dan tuan-tuan imam dalam Parlimen Pokok Sena. 
Peserta-peserta Kem SHIELDS di Kem Lapangan Terbang ATM Batalion 19 Mechanize, Sungai Petani.

Kem SHIELDS AADK mengumpulkan pelajar-pelajar berisiko tinggi dari sekolah-sekolah menengah dalam Parlimen Kuala Kedah. 
Walkabout dan penyampaian sumbangan bersama Dato' Pegawai Daerah Kota Setar di Kg Kompleks, Kuala Kedah




Lawatan ke Kompleks LKIM lama bersama Dato' Pegawai Daerah Kota Setar. 

Sidang media selepas perasmian program SHIELDS Perdana 2017. 

Sambutan Hari Jururawat dan Hari Ibu bersama kakitangan klinik kesihatan Simpang Empat.

CME insulin untuk staf Mahsuri Medical Centre

Bersama skuad belia AADK Pokok Sena di Program Santai bersama Ikon AADK di Taman Tasik Darulaman

Mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa baharu Diabetes Malaysia Negeri Kedah

Program solat tarawih bersama Timbalan Perdana Menteri di Masjid Tunku Abdul Rahman Putra, Jalan Kuala Kedah

Ziarah warga emas berumur 87 tahun di Kg Pekan Kubang Rotan bersama Pasukan Saringan Kesihatan (Pasak). Arwah suami beliau adalah ketua cawangan Umno yang pertama bagi Kg Pekan Kubang Rotan iaitu ketika zaman Allahyarham Dato' Senu Abdul Rahman menjadi Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah. 

Ziarah seorang pesakit strok, Ahmad Nazir bin Bakar, berumur 49 tahun dan merupakan seorang penyokong tegar pasukan bolasepak Kedah. Tidak disangka kegembiraan beliau meraikan kejayaan pasukan Lang Merah menjuarai Piala FA hanya sementara. Selepas menyaksikan perlawanan akhir Piala FA di Stadium Shah Alam, beliau rebah di kawasan parkir stadium dan disahkan mendapat strok jenis pendarahan otak. Beliau koma 8 hari di Hospital Shah Alam dan selepas selesai menjalani pembedahan, saya membantu menguruskan kepulangan beliau ke Kuala Kedah. Beliau kembali ke rahmatullah selepas seminggu di rumah. Al-fatihah.

Program penyampaian sumbangan kepada ibu-ibu tunggal di sekitar Pekan Kuala Kedah

Ziarah pesakit kronik di Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah.

Ziarah seorang pesakit dialisis, berumur 29 tahun, bernafas menggunakan tracheostomy tube, makan melalui PEG tube dan dialisis menggunakan permanent catheter. Beliau sudah lumpuh akibat HIE sejak 2 tahun lepas.

Gambar kenangan majlis berbuka puasa bersama 100 orang anak yatim dan ibu tunggal dari DUN Kubang Rotan dan DUN Anak Bukit. Nama-nama penerima sumbangan diperoleh daripada pengerusi-pengerusi JKKK dan Persatuan Ibu Tunggal Parlimen Kuala Kedah. Program anjuran PEAKS.



Berbuka puasa bersama komuniti India Muslim Kuala Kedah di Masjid India Kuala Kedah. Turut hadir Pengerusi Masjid Nagore Alor Setar.

Ziarah pesakit terlantar di Alor Ibus

Berkongsi sedikit sebanyak ilmu dan pengalaman berkenaan rawatan pemulihan dadah dari perspektif perubatan bersama klien-klien AADK di Rumah Komuniti AADK, Kg Keloncor, Kuala Kedah

Sumbangan Ramadan di Kg Kompleks

Ziarah pesakit dialisis di Kg Kubang Bongor, Kubang Rotan

Mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pelawat Psikiatri, Hospital Sultanah Bahiyah

Ziarah kasih keluarga klien AADK bersama Kelab Kebajikan Pusat Latihan AADK 

Raya ketiga di sini

Lawatan pesakit mental di Taman Seri Abadi, Jalan Kuala Kedah bersama pasukan komuniti psikiatri Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan Lembaga Pelawat Psikiatri HSB. Turut bersama adalah En Surendran, Ketua Pemuda MIC Bahagian Kuala Kedah. Pesakit ini berumur 58 tahun dan telah dikurung seorang diri di rumah kosong ini sejak 1995 oleh abangnya dalam rumah yang tidak mempunyai kemudahan elektrik. 
Program Kospen di Matang Kong



Jamuan Hari Raya Pergerakan Pemuda UMNO Kuala Kedah

Menerima cenderahati tudung saji hasil kreativiti kanak-kanak istimewa di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti, Telok Chengai. 

Mewakili PEAKS di Persidangan Industri Pelancongan Kedah Utara

Merasmikan Majlis Jamuan Hari Raya Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Sultanah Bahiyah


Jamuan Hari Raya Rela Kehormat di Rumah Pangsa Seberang Perak

Bersama Penghulu Mukim Titi Gajah dan Pengerusi-pengerusi JKKK dalam mukim Titi Gajah di Jamuan Hari Raya Pejabat Penghulu Titi Gajah, Anak Bukit. 

Pengesahan penagih dadah sebelum dihantar ke pusat pemulihan

Program Hapus Denggi SK Haji Ismail, Kuala Kedah

Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kuala Kedah.

Ziarah YB Dato' Aminuddin Omar yang kehilangan anaknya dalam kemalangan jalan raya. Turut melawat bersama adalah YB Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Menteri Jabatan Perdana Menteri. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Semoga YB Dato' Pak Tam dan keluarga dikurniakan ketabahan dan ketenangan dalam menghadapi ketentuan ilahi ini. Al-fatihah.

Alhamdulilah menang undi ke-2 tertinggi dalam pemilihan G7 Umno Bahagian Kuala Kedah sebentar tadi. Terima kasih kepada semua perwakilan Umno Kuala Kedah yang menyokong saya. Mantap jentera 'DrZaki08' tahun ini.

Bersama pengerusi-pengerusi JKKK Parlimen Kuala Kedah di Perhimpunan JKKK bersama Perdana Menteri di Dewan Tun Razak, PWTC, Kuala Lumpur. 

Menyampaikan ceramah perangi dadah habis-habisan di Program Hari Bertemu Pelanggan anjuran Klinik Kesihatan Kuala Kedah

Program lawatan bayi Merdeka di Hospital Sultanah Bahiyah bersama Pengarah Kesihatan Negeri Kedah dan Rela Kehormat Negeri Kedah. 

Penyampaian cenderahati berupa gambar lamanya sendiri di Program Mai Sembang Merdeka Kg Kebun Pinang, DUN Pengkalan Kundor 

Taklimat sukarelawan Kedah Run From Diabetes 2017

Mesyuarat bersama YBhg Dato' Dr Norhizan Ismail, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah membincangkan pelaksanaan Program Kedah Run From Diabetes 2017

 Slot 'Situasi Diabetes di Kedah' di Kedah FM bersama Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dan Diabetes Malaysia Negeri Kedah. Saya mempromosikan program Kedah Run From Diabetes 2017 sambil berkongsi pengalaman sebagai pengamal perubatan. 

Terima kasih YAB Dato' Seri Diraja Ahmad Bashah Md Hanipah, Menteri Besar Kedah kerana sudi merasmikan pelepasan peserta Program Kedah Run From Diabetes 2017. Cenderahati kepada beliau adalah sebuah Pinggan Sihat Malaysia yang mempromosikan konsep suku suku separuh dalam pemakanan.

Santai mesra bersama YAB Menteri Besar Kedah di Kedah Run From Diabetes 2017

Jawatankuasa Penganjur Kedah Run From Diabetes 2017 bersama YAB Menteri Besar Kedah
Lebih 2000 peserta menyertai Kedah Run From Diabetes 2017 di Aeon Big Alor Setar. Ini merupakan program terbesar saya tahun 2017 yang masa saya bertanggungjawab sebagai pengarah program.


Sumbangan kerusi roda untuk pesakit kanser paru-paru tahap 4 di Kg Kompleks, Kuala Kedah

Bersama Pengetua Kolej Sultan Abdul Hamid memberi penghormatan terakhir ke atas KDYMM Sultan Kedah di Istana Anak Bukit. Satu kehilangan besar kepada rakyat negeri Kedah dan negara keseluruhannya. Sembah takziah. Al-fatihah.

Ziarah pesakit strok di Taman Kota Nelayan

Lawatan ke pusat penempatan mangsa banjir di SK Gunong bersama Pegawai Rela Daerah Kota Setar.

Ziarah Haji Shid Nana, Pengerusi JKKK Sungai Baru Tok Keramat yang baru pulang dari mengerjakan ibadah haji. 

Focus Group Discussion (FGD) untuk kajian penilaian pembangunan belia positif bagi negeri Kedah kelolaan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES). Saya dijemput sebagai informan mewakili belia profesional Negeri Kedah bagi memberi cadangan dan saranan untuk penggubalan dasar belia positif TN50.

Memberi khidmat nasihat kepada pesakit yang mengidap strok dan diabetes di pusat penempatan banjir di SK Titi Gajah. 

Perbincangan bersama Tuan Mahadzir bin Elias, Pengarah AADK Negeri Kedah dan Dr Zakaria bin Abd Hadi, Pengarah Khidmat Pengurusan AADK Malaysia berkenaan program perangi dadah habis-habisan di Kuala Kedah dan Kedah serta program pemerkasaan JKKK seluruh negeri Kedah.

Tahniah Cikgu Zul Ahmad Tarmizi, Pengerusi JKKK Sungai Baru Gunong di atas majlis pertunangan puteri-puteri kesayangan.

Saya membuat pengesahan urin di Pejabat AADK Kedah untuk 4 orang penagih dadah yang ditangkap dari sekitar Alor Setar termasuk Gunung Keriang. 



Bersama YBhg Dato' Mangsor Ismail, Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kebangsaan dan exco-exco MCPF Negeri Kedah di Program Rakyat Sihat Tanpa Dadah. 

YDH Dato’ Asri bin Yusoff, Ketua Polis Negeri Kedah, secara peribadi mempelawa saya untuk terlibat secara langsung dalam Kempen Cegah Ketum yang akan dilancarkan oleh PDRM Kedah
Pemeriksaan tekanan darah Ketua Wanita Umno Bahagian Kuala Kedah di Program Saringan Kesihatan di Masjid Sungai Baru Gunong, Anak Bukit

Di kursus pengenalan Rela anjuran Pejabat Rela Daerah Kota Setar bersama Dato' Wira Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah

Program Kacau Bubur Asyura Parlimen Kuala Kedah di Masjid Sungai Baru Gunong, Anak Bukit

Program baik pulih rumah seorang ibu tunggal di Titi Gajah dirasmikan oleh YBhg Dato' Pegawai Daerah Kota Setar

Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan Haji Ismail, Kuala Kedah dirasmikan oleh YBhg Dato’ Haji Muhammad Helwi bin Harun, Pegawai Daerah Kota Setar. 

Ceramah motivasi  untuk anak-anak yatim di Rumah Anak Yatim Perkim Kedah, Lorong Seri, Alor Setar anjuran PEAKS

Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2017 di Hospital Sultanah Bahiyah

Beraya Deepavali di rumah Ketua Bahagian MIC Kuala Kedah, En Sinnapan dan keluarga 

Hari Sukan Negara 2017 Peringkat Negeri Kedah bersama sahabat-sahabat GPMS Kedah

Latihan Kebakaran untuk anggota Rela Daerah Kota Setar kelolaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kedah. 

Kunjungan hormat Jawatankuasa Kesihatan Mental Daerah Kota Setar dan Lembaga Pelawat Psikiatri Hospital Sultanah Bahiyah ke atas YDH CP Dato’ Asri bin Yusoff, Ketua Polis Negeri Kedah

Kunjungan hormat ke atas YDH CP Dato’ Asri bin Yusoff, Ketua Polis Negeri Kedah

Bersama Dato’ Dr Cheah Soon Hai, Timbalan Presiden Gerakan Malaysia dan Mr David, Ketua Bahagian Gerakan Kuala Kedah di program lawatan Perdana Menteri ke Kuala Kedah.

Menjadi ahli panel bersama Prof Madya Dr Dzulkhairi dari USIM dalam forum bertajuk ‘Mitos Perubatan’ di Program Jelajah Forum dan Ekspo Mampan Peringkat Negeri Pulau Pinang di Dewan Millenium Kepala Batas, Pulau Pinang.

Program sambutan Deepavali bersama YB Dato’ Ahmad Zaini Jaapar, ADUN Bukit Kayu Hitam. Saya menyampaikan ceramah kesihatan dan mengadakan pemeriksaan kesihatan  dan pemberian ubatan percuma kepada hadirin.

Hari Terbuka Klinik Kesihatan Alor Janggus

Sukaneka Kanak-kanak Kg Kompleks, Kuala Kedah

Ceramah perangi dadah habis-habisan kepada pelajar-pelajar Tingkatan 3 dan 4, SMK Megat Dewa, Kodiang. 

Membentang pelan tindakan komuniti Kuala Kedah bagi program membanteras dadah untuk tahun 2018 di Bengkel Training for Trainers (TOT), Program Perangi Dadah Habis-habisan (PDH) Peringkat Negeri Kedah anjuran AADK Kedah. di Mes Pegawai Kanan PDRM, Pulau Langkawi. 

Merasmikan majlis penutupan Program Intervensi Family and Community Empowerment (FACE) anjuran LPPKN yang meliputi modul bijak belanja dan pengurusan emosi di Dewan Kg Tengah, Kuala Kedah. 

Ziarah Kasih sebuah keluarga di Kampung Kuala Sala, inisiatif saya sebagai Ikon AADK bersama AADK Kota Setar, Jabatan Kebajikan Masyarakat, JKKK Kg Jawa dan Pakar Perubatan Keluarga bersama pasukan Klinik Kesihatan Kota Sarang Semut. Suami isteri adalah klien AADK yang baru keluar pusat pemulihan dan mereka mempunyai 9 orang anak. Anak perempuan yang paling kecil berumur sebulan dan sering dibawa oleh si ibu untuk mengemis di hadapan Bank Simpanan Nasional(BSN) Kota Sarang Semut untuk mendapatkan wang untuk membeli bekalan dadah. Dalam lawatan ini juga, kami membuat saringan urin dadah untuk anak-anaknya dan mendapati anak lelaki mereka yang berumur 11 dan 17 tahun positif dadah. 4 orang anaknya yang berumur sebulan hingga 11 tahun ini telah dibawa oleh Pelindung Kanak-kanak dan diletakkan di bawah penjagaan sementara JKM atas perintah mahkamah.

Motivasi di SK Alor Setar

Alhamdulilah, anak sulung saya Yasmin Alya mendapat kejayaan cemerlang dalam UPSR


Perasmian Pusat Sumber Diabetes, Hospital Sultanah Bahiyah oleh YBhg Dato' Dr Norhizan bin Ismail, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah

Ziarah ibu tunggal di Perumahan Awam, Kuala Kedah

Taklimat kesihatan kepada peserta zumba di Alor Setar Mall, anjuran Kelab Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia

Program Sentuhan Bestari SK Seri Pantai, Kuala Kedah. Pelajar-pelajar dari keluarga miskin dari sekitar Pekan Kuala Kedah menerima bantuan pakaian dan peralatan persekolahan

Ceramah Wanita dan Diabetes sempena Pesta Pendang 2017 di Stadium Mini Pendang

Gambar kenangan bersama Ahli-ahli Lembaga Pelawat Psikiatri Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh yang mengadakan kunjungan hormat ke atas Lembaga Pelawat Psikiatri, Hospital Sultanah Bahiyah

Rakaman temubual berkenaan bahaya ketum kepada remaja untuk produksi video bahaya ketum inisiatif PDRM Kedah untuk edaran sekolah-sekolah di seluruh negeri Kedah. 

Program #Hadiahmesra Bag2school dirasmikan oleh YBhg Tuan Mahadzir bin Elias, Pengarah AADK Negeri Kedah di Dewan SK Kuala Kedah. Program ini meliputi ceramah pemerkasaan komuniti bebas dadah oleh Pengarah AADK Kedah dan penyampaian 100 beg sekolah kepada pelajar miskin dan anak yatim sekitar Kuala Kedah, anjuran Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia

Ziarah kasih keluarga penagih dilaksanakan secara NBOS bersama AADK, PDRM, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Klinik Kesihatan Pokok Sena. 


Menyampaikan ceramah Diabetes : Wabak Alaf Baru di Hari Terbuka Klinik Kesihatan Simpang Empat. 

Bersama YBhg Tan Sri Badruddin Amiruldin, Pengerusi Tetap Umno Malaysia.

Perwakilan Umno Bahagian Kuala Kedah di Perhimpunan Agung UMNO 2017

Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Daerah Kota Setar 2017.

Mesyuarat bersama Pengarah Perikanan Negeri Kedah, Tuan Haji Abdul Halim bin Marzuki berkenaan perobohan kompleks LKIM lama. Turut hadir bersama adalah wakil-wakil jabatan seperti JKR, Majlis Bandaraya Alor Setar, Pejabat Daerah Kota Setar dan Persatuan Nelayan bagi melicinkan lagi proses pelupusan kompleks ini. 

Program Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Sungai Baru Gunong, Anak Bukit

Hari keluarga Combi Kuala Kedah. 

Program Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Taman Bersatu, Kuala Kedah

Lawatan Penaziran Umno Kulim Bandar Baharu sebagai mewakili Umno Negeri Kedah ke PDM Kg Tengah, Kuala Kedah. Saya sebagai calon Parlimen Barisan Nasional menang dengan majoriti 472 undi di PDM saya ini pada PRU 13 lalu. 


Menyampaikan Ceramah Perangi Dadah Habis-habisan kepada lebih 400 orang anggota Rela Daerah Kota Setar. 

Menerima pakaian uniform operasi RELA daripada YB Dato' Badrul Hisham bin Hashim, Exco Kerajaan Negeri Kedah 
Terima kasih diucapkan kepada semua pihak membantu yang terdiri daripada pegawai-pegawai dari pelbagai agensi dan jabatan serta rakan-rakan seperjuangan dalam NGO yang memberi kerjasama dan bertungkus lumus menjayakan setiap daripada program yang telah diatur. Tanpa anda semua kejayaan 2017 tidak akan menjadi kenyataan. Kita hebat bukan kerana kita hebat , tetapi kerana Allah yang memudahkan urusan kita melalui insan-insan seperti anda semua.

SELAMAT TAHUN BAHARU 2018


Comments

  1. Tahniah Dr Zaki....diatas kecemerlangan dlm membantu anak bangsa.....sahabat susah dan senang. Semoga terus berjaya...

    ReplyDelete
  2. Tahniah Dr Zaki....diatas kecemerlangan dlm membantu anak bangsa.....sahabat susah dan senang. Semoga terus berjaya...

    ReplyDelete

Post a Comment