INTELEKTUAL MASYARAKAT MEMBANGUN


Sudah agak lama saya tidak berkongsi buku yang sedang saya baca. Buku saya yang ke-30 untuk tahun 2017 yang sedang saya baca ini adalah hasil karya Allahyarham Profesor Datuk Dr Syed Hussein Alatas yang bertajuk Intelektual Masyarakat Membangun atau tajuk asalnya dalam Bahasa Inggeris 'Intellectuals in Developing Societies'.

Dua isu dalam buku ini yang menarik perhatian saya adalah : 
1. Peranan golongan intelektual dalam membentuk minda kelas pertama di kalangan masyarakat. Walaupun kita mempunyai fasiliti kelas pertama tetapi kita masih belum setaraf dengannya. Contohnya dalam bidang kesihatan, walaupun perkhidmatan perubatan hospital kita sangat baik tetapi disebabkan minda rakyat yang tidak mengutamakan gaya hidup sihat menyaksikan kerajaan berhadapan kesukaran untuk memenuhi kehendak rakyat yang datang ke hospital dengan pelbagai jenis penyakit sehingga menimbulkan kesesakan di unit kecemasan dan pesakit luar hospital.

2. Gejala bebalisme yang boleh juga ‘menjangkiti’ golongan intelektual, tidak kiralah profesor atau profesional, sehingga membantutkan pencapaian kemajuan sesebuah masyarakat sehingga memberi peluang kepada kaum pandir untuk memegang autoriti. Bebalisme menurut penulis bukanlah satu ideologi, tapi ia adalah simbol kepada sikap kelesuan semangat falsafah, kemalasan mengkaji, pasif, kelembapan berfikir secara kritis dan kritikal, tidak kreatif, lekas percaya pada tahyul, terlalu menghamba pada sistem yang menatijahkan hasil klise melalui prosedur rutin, tiada matlamat yang besar, dan tiada semangat perubahan.

Allahyarham Profesor Datuk Dr Syed Hussein Alatas adalah seorang cendekiawan Malaysia yang sejati. Beliau merupakan Pengasas dan Presiden pertama Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan pernah menjadi Naib Canselor Universiti Malaya pada tahun 1988. Sudah genap 10 tahun beliau meninggalkan kita. 
Al-fatihah.

Comments