KAMPUNG KOMPLEKS TANPA KOMPLEKS

Pada 14 Disember 2017, saya sebagai Pengerusi JKKK Kg Kompleks telah menghadiri mesyuarat bersama Pengarah Perikanan Negeri Kedah, Tuan Haji Abdul Halim bin Marzuki berkenaan perobohan kompleks LKIM lama yang merupakan milik Jabatan Perikanan Malaysia di Kg Tengah. Turut hadir bersama adalah wakil-wakil jabatan seperti JKR, Majlis Bandaraya Alor Setar, Pejabat Daerah Kota Setar dan Persatuan Nelayan bagi melicinkan lagi proses pelupusan kompleks ini. Syukur alhamdulilah, akhirnya perjuangan pihak JKKK Kg Kompleks untuk mempercepat proses perobohan kompleks ini atas isu keselamatan masyarakat setempat akan menjadi kenyataan setelah pelbagai desakan dilakukan. Jalan masuk yang daif ke kompleks ini yang menjadi laluan utama penduduk kampung juga turut akan diturap oleh kontraktor yang akan dilantik. Selesai mesyuarat, semua hadirin turut bersama meninjau tapak kompleks dan aset-aset yang masih berada di dalamnya.






Cawangan Kg Kompleks ini diasaskan oleh arwah ayahanda saya lebih 30 tahun lalu adalah bersempena kewujudan kompleks LKIM ini dahulunya. Selepas ini akan tiada lagi kompleks ini di Kg Kompleks setelah ia dirobohkan.





Oleh itu, pihak JKKK Kg Kompleks megucapkan jutaan terima kasih kepada Ketua Perikanan Malaysia dan Pengarah Perikanan Negeri Kedah kerana prihatin dan bertindak cepat dalam menyegerakan proses perobohan ini. Semoga apa-apa perancangan baharu di tapak ini akan memberi manfaat kepada penduduk setempat.

Comments