RAKAMAN VIDEO TEMUBUAL BAHAYA KETUM

Pada 29 November 2017, saya telah menjalani rakaman temubual berkenaan bahaya ketum kepada remaja untuk produksi video bahaya ketum inisiatif PDRM Kedah. Video yang dihasilkan ini adalah untuk edaran sekolah-sekolah di seluruh negeri Kedah.





Berikut adalah transkrip temubual saya :

Masyarakat perlu menerima hakikat bahawa ketum itu dadah. Bahan aktif dalam ketum yang boleh merangsang otak seperti mana dadah jenis opioid (heroin dan morfin) adalah mitragynine. 
Pejabat Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menyenaraikan ketum sebagai sejenis dadah psikoaktif baharu dalam buku Laporan Dadah Sedunia tahun 2013 walaupun Amerika Syarikat dan kebanyakan Negara Eropah masih belum mengharamkannya.
Ketum digunakan dalam rawatan tradisional, namun ia hanya dilakukan berdasarkan maklumat tradisi dan sehingga kini tiada kajian klinikal dilakukan yang membuktikan ia berkesan.

Kesan Farmakologi

• Bertindak dalam masa 5-10 minit setelah mengambil dan tahan selama 6 jam

• Menindas sistem saraf pusat

• Memberi kesan penagihan 

• Kesan berhubungkait dengan dos yang diambil

Kesan Dos Rendah

• Menghalang motivasi

• Ketiadaan minat

• Bosan

• Malas 

Kesan Pada Tahap Sedatif-Euforik-Analgesik (Dos Tinggi)

• Kurang sensitif terhadap kesakitan fizikal dan emosi

• Hilang dalam alam mimpi 

• Merasa gatal atau berpeluh

• Anak mata menjadi sempit

• Merasa loya


Kesan Sampingan Akut (Penggunaan Singkat)

• Mulut menjadi kering

• Kerap kencing

• Kehilangan selera makan (anoreksia)

• Sembelit 

Kesan Sampingan Kronik (Penggunaan Lama)

• Anoreksia dan seterusnya kehilangan berat badan

• Jaundis (penyakit hati)

• Insomnia (payah tidur)

• Psikosis 

• Kulit menjadi gelap terutamanya di bahagian pipi

Kesan Penggunaan Banyak (10-30 Helai Daun Atau Lebih Dalam Sehari)

• Banyak tidur

• Hilang keupayaan untuk bekerja

• Takikardia (denyutan jantung menjadi cepat)

• Delusi paranoid (khayalan buruk-sangka)

Gejala Tarikan

• Hidung dan mata berair

• Cirit birit

• Sakit pada otot dan tulang

• Masalah pergerakan anggota kaki dan tangan

• Sentakan otot (muscle jerking)

• Tingkahlaku agresif dan hostil (sikap bermusuhan)

• Mudah meradang

• Hilang keupayaan bekerja

Kesan psikosis adalah yang paling serius kerana ia adalah kesan jangkamasa panjang yang sukar dirawat. Pengguna boleh mendapat simptom seperti halusinasi, delusi dan kekeliruan. Selain itu, dalam konteks Alor Setar, sawan juga antara simptom yang sering ditemui terutama di kalangan pengguna remaja. Jangkamasa panjangnya ini tidak baik untuk remaja yang otak mereka masih berkembang. Saya menyeru remaja-remaja semua agar hindari ketum kerana mudaratnya sangat besar bukan sahaja kepada kesihatan fizikal tetapi juga kepada kesihatan mental.

Comments