DIBIARKAN BEGITU SAHAJA....

Pada 23 Januari 2018, lawatan saya bersama AADK dan JKM di sebuah rumah flat di Simpang Kuala mendapati 4 orang kanak-kanak berumur setahun hingga 8 tahun (dua daripadanya tidak berpakaian) ditinggalkan tanpa pengawasan. Ibu mereka tiada di rumah dan bapa mereka didapati bersembunyi di dalam rumah kosong di sebelah rumah mereka. Kedua-dua ibu bapa mereka pernah ditahan oleh AADK dalam operasi penguatkuasaan di rumah kosong tersebut baru-baru ini. Semua kanak-kanak ini telah dibawa sehelai sepinggang oleh Pelindung Kanak-kanak JKM ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan dan untuk penjagaan sementara kerana telah berlaku pengabaian di pihak ibu bapa berdasarkan Akta Kanak-kanak 2001 (Pindaan 2016). Tambahan pula, persekitaran rumah mereka amat tidak sihat bagi anak-anak ini. Ibu bapa mereka kini sedang menunggu perintah mahkamah untuk dihantar ke pusat pemulihan. 





Ini adalah pasangan suami isteri yang ketiga dalam tempoh dua bulan ini yang kami temui terlibat dengan dadah dan diselamatkan anak-anak mereka. Satu trend yang membimbangkan. Masyarakat harus melapor segera kepada pihak berwajib sekiranya kes-kes sebegini diketahui di kawasan perumahan masing-masing yang mana telah berlaku pengabaian kebajikan kanak-kanak. Ini kerana kita mahu mengelakkan kemudaratan yang lebih besar seperti kes di Flat Paya Nahu. 
                                  

Terima kasih diucapkan kepada pihak Babybox yang memberi sumbangan lampin pakai buang, baju dan makanan, yang telah saya sampaikan kepada anak-anak malang ini di hospital semalam.

Comments