EKSPO MUAFAKAT KEDAH 2018

Di booth Pejabat Daerah Kota Setar pada 26 Februari 2018 di Ekspo Muafakat Kedah 2018 yang berlangsung di pekarangan Stadium Darulaman telah memaparkan pencapaian Program Pembangunan Lestari Kuala Kedah. Program ini adalah inisiatif NBOS AADK bersama agensi-agensi berkaitan bagi menangani permasalahan dadah di Kuala Kedah, yang bermula pada tahun 2015. Dengan menggunakan pendekatan pendayaupayaan komuniti, program digerakkan sendiri oleh pihak JKKK setempat bersama agensi berkaitan. 

Fasa pertama telah berjaya dilaksanakan yang melibatkan pembersihan 20 port penagihan dan 30 operasi penguatkuasaan (2016) dan 23 operasi (2017) yang melibatkan 459 orang penagih telah ditahan pihak berkuasa. Seramai 268 OKP sedang dalam pemantauan AADK dan sedang menjalani program pemulihan dalam komuniti.

Ziarah sentuhan kasih secara muafakat juga dijalankan bagi mengesan anak keluarga penagih yang tercicir sekolah, membantu kebajikan keluarga yang hilang sumber pendapatan serta menyelamatkan anak-anak penagih yang terabai. Di samping itu, program-program pencegahan rancak dilaksanakan oleh jabatan-jabatan lain seperti Pejabat Daerah, MBAS, Jabatan Kesihatan, JPW, JBS, JKM, LPPKN, Jabatan Perpaduan, Jabatan Pendidikan (Program Awan),PDRM dan AADK sendiri. 

Fasa seterusnya adalah berfokus kepada pembangunan keluarga dan pembangunan fizikal Kuala Kedah iaitu pembangunan semula perkampungan nelayan baharu yang lebih tersusun. Program Family And Community Empowerment (FACE) LPPKN bermula tahun 2017 selepas kajian pelaksanaan Indeks Kesejahteraan Keluarga Kuala Kedah yang tertumpu bagi memperkasa semula institusi kekeluargaan.

Insha Allah, inisiatif yang berterusan kerajaan negeri bersama agensi kerajaan pusat akan memberi wajah baharu Kuala Kedah bukan sahaja dari segi pembangunan fizikal tetapi juga dari segi pembangunan sosio ekonomi.






Di samping sesi temubual saya sebagai salah satu ‘pocket event’, saya berkongsi idea bersama pemimpin-pemimpin belia, guru-guru, ibu bapa dan para pelajar yang singgah di booth ini. Ternyata isu-isu pencegahan dadah sangat dekat di hati masyarakat. Masing-masing menyatakan kerisauan terhadap apa yang sedang berlaku di akar umbi dan bersedia menyertai skuad sukarelawan AADK. Ekspo ini merupakan inisiatif terbaik daripada Kerajaan Negeri Kedah bagi memberi maklumat kepada rakyat tentang program-program pembangunan yang telah dilasanakan dan perancangan masa hadapan negeri.

Comments