MATINYA SEORANG PATRIOT


Hari ini genap 24 tahun, ayahanda saya, Allahyarham Haji Abd Rashid bin Chik meninggalkan kita. Pada tanggal 11 Mac 1994 bersamaan hari Jumaat 29 Ramadan 1414 Hijrah merupakan hari terakhir saya bersama beliau. Saya turut menaiki kenderaan jenazah untuk menghantarnya ke pusara di tanah perkuburan Kampung Tengah. Di sepanjang perjalanan ke sana, kelihatan di kiri kanan Jalan Kuala Kedah, orang ramai menunggu memberi penghormatan terakhir kepada beliau. Di tanah perkuburan pun turut dipenuhi orang ramai yang sama-sama menangisi pemergiannya. Saya agak kagum melihat situasi ini kerana saya tidak pernah menyangka betapa besarnya pengaruh dan jasa ayah saya kepada masyarakat setempat di Kuala Kedah. Sungguh ironi apabila saya hanya mengenali arwah secara dekat hanya selepas kematiannya iaitu melalui cerita-cerita rakan-rakannya yang saya temui sehingga ke hari ini. 

Sejak tragedi itu, telah menjadi motto hidup saya iaitu biarlah ketika hidup, kita mampu memberi kegembiraan kepada manusia dan kematian kita memberi kesedihan kepada manusia, tetapi bukan sebaliknya. Saya masih ingat nasihat Penghulu Haji Sirajuddin iaitu sahabat baik arwah, beliau berpesan kepada saya agar sentiasa melakukan perkara-perkara yang akan dibangga oleh arwah walaupun arwah sudah tidak bersama kita lagi. Inilah nasihat yang sentiasa saya pegang dalam hati dan pemikiran sehingga ke hari ini. Saya memohon agar diberi kekuatan untuk terus beristiqamah dalam perjuangan yang beliau wariskan kepada saya. Ternyata memang sukar untuk mengikut jejak langkah arwah kerana beliau adalah seorang pejuang dan patriot yang sejati. Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah swt dan ditempatkan beliau bersama dengan orang-orang yang soleh. Inspirasi dan aspirasi beliau akan sentiasa hidup bersama kita. Al-fatihah.



Comments