TIMBALAN KETUA UMNO BAHAGIAN KUALA KEDAH 2018-2021

Pada tahun 2004, sekembalinya saya dari luar negara sebagai seorang doktor perubatan, saya bertanding jawatan AJK Pemuda Umno Bahagian Kuala Kedah dan tewas. Ketika itu, saya menjangkakan sebagai mantan Pengerusi Kelab Umno Ireland, saya bakal mendapat layanan karpet merah untuk diberi peluang berkhidmat dalam bahagian. Tetapi ketika itu saya mula sedar bahawa saya perlu mendaki hierarki kepimpinan Umno dari bawah dan bersabar di samping menimba pengalaman yang secukupnya di akar umbi. Selepas itu, saya mula memegang amanah sebagai setiausaha pemuda cawangan, setiausaha PDM dan seterusnya ketua pemuda cawangan. Nasib saya sangat baik apabila pada 2008, YBhg Dato’ Latt Shariman Abdullah, Ketua Bahagian ketika itu melantik saya menjadi AJK Bahagian dan hasil gerak kerja yang berterusan saya terpilih pada 2013 menjadi calon Barisan Nasional untuk Parlimen Kuala Kedah pada PRU 13.

Setelah tewas pada PRU13, saya mencuba nasib sebagai Timbalan Ketua Umno Bahagian. Walaupun tewas juga, ia tidak sedikit pun mengurangkan semangat saya untuk berkhidmat. Malah gerak kerja saya lebih diperhebat sebagai ketua cawangan dan pemimpin NGO yang sentiasa istiqomah dalam memperjuangkan untung nasib masyarakat. 

Oleh itu, kemenangan saya sebagai Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah pada 30 Jun 2018 lalu di Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kuala Kedah 2018 bukanlah melalui satu jalan yang mudah. Ia meliputi liku-liku suka duka sepak terajang politik yang mematangkan, pengorbanan dan semangat juang serta ketahanan mental yang sangat tinggi. Tidak dinafikan, cabaran masa mendatang pasti akan semakin hebat terutama dalam situasi politik terkini. Dengan berbekalkan ilmu dan pengalaman yang ditimba sepanjang 14 tahun perjalanan ini, saya akan terus memantapkan gerak kerja saya atas nama perjuangan demi memartabatkan agama, bangsa dan negara. Umno bangkit!

                                        

Ucapan pertama sebagai Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah. 3 perkara utama yang saya gariskan adalah fokus dalam memperkasakan sayap pemuda dan puteri demi meraih sokongan generasi muda, memantapkan gerak kerja melalui aktiviti ala NGO dan menggerakkan jentera media sosial dengan lebih berkesan






Comments