PERGINYA SEORANG TOKOH

إنا لله وإنا إليه راجعون
Dukacita dimaklumkan, YBhg Dato’ Dr Ahmad Rasidi M. Saring, Pakar Perunding Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh telah kembali ke rahmatullah pada malam tadi. Allahyarham adalah pengasas dan penggerak utama kepada perkhidmatan komuniti psikiatri di Kedah. Banyak yang saya belajar daripada beliau sepanjang 3 tahun saya mempengerusikan lembaga pelawat psikiatri Hospital Sultanah Bahiyah terutamanya berkenaan Akta Kesihatan Mental 2001 yang beliau sangat mahir. Beliau juga yang telah memulakan inisiatif penubuhan jawatankuasa kesihatan mental di setiap daerah yang mendapat kerjasama pelbagai agensi yang bertujuan untuk membincangkan dan mencari jalan bagi membantu para pesakit mental yang sangat beliau kasihi. Jasa beliau kepada pesakit-pesakit dan perkhidmatan psikiatri di Negeri Kedah sepanjang hampir 20 tahun lepas akan sentiasa dikenang dan disanjung tinggi. Kita bukan sahaja kehilangan seorang pakar psikiatri yang hebat tetapi juga seorang guru dan pemimpin yang bijaksana serta seorang aktivis masyarakat yang sangat besar sumbangannya.
Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Salam takziah diucapkan kepada keluarga beliau.
Al-fatihah.


Comments