HARI GRADUASI 5 DISEMBER 2002


Hari ini genap 16 tahun saya bergelar seorang doktor perubatan. Selepas 6 tahun bertungkus-lumus di National University of Ireland Galway, akhirnya pada tanggal 5 Disember 2002 (yang juga bersamaan 1 Syawal 1423H), saya telah berjaya menjadi seorang graduan jurusan perubatan. Sesungguhnya memikul tanggungjawab sebagai seorang doktor perubatan bukannya mudah. Amanahnya amat berat kerana ia melibatkan nyawa manusia. Malah setiap kata-kata dan tingkah laku kita menjadi ingatan dan ikutan masyarakat.

Sepanjang 16 tahun ini, saya telah melalui pelbagai pengalaman suka duka sebagai seorang pengamal perubatan.  Boleh dikatakan saya adalah doktor yang bernasib baik kerana berkesempatan berkhidmat di hampir semua jenis fasiliti kesihatan yang terdapat di negara kita. Selepas pulang ke Malaysia pada tahun 2003, saya telah memulakan latihan sebagai pegawai perubatan siswazah (houseman) di Hospital Alor Setar selama dua tahun. Saya adalah generasi houseman yang pernah merasa elaun oncall RM25 untuk kerja sehari semalam 24jam dan sambung bekerja waktu pejabat seperti biasa keesokan harinya. Pernah pada satu ketika, demi pesakit, saya telah bertugas oncall dua hari berturut-turut kerana terpaksa menggantikan rakan setugas yang tidak sihat (jumlah houseman setiap wad adalah terhad pada zaman itu) dan seterusnya sambung bekerja pada hari ketiga yang berakhir jam 8 malam, menjadikan tempoh bekerja saya 60jam. Walaupun penat, tetapi pengalaman dan keseronokan berkhidmat tetap menjadikan kita sentiasa bermotivasi. 

Selepas menamatkan latihan sebagai houseman, saya ditukarkan ke Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar dan bertugas di klinik-klinik kesihatan luar bandar iaitu di Kota Sarang Semut dan Alor Janggus. Di sinilah saya belajar tentang pengurusan klinik, kesihatan awam dan pelaksanaan program-program kesihatan masyarakat. Banyak penglibatan saya di sini bersama masyarakat telah mengajar saya agar tidak kekok untuk bergaul dengan pelbagai golongan, daripada kanak-kanak, remaja hingga warga emas. Di klinik-klinik kesihatan ini juga saya mengarap kemahiran kepemimpinan dalam membawa pembaharuan dan kemajuan untuk klinik demi manfaat pesakit dan masyarakat sekitar.

Pada tahun 2008, saya menyambung khidmat di Jabatan Perubatan Dalaman, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk melanjutkan pelajaran pasca siswazah bagi mengejar cita-cita menjadi seorang pakar perubatan (physician). Pada masa ini juga, saya sempat menimba pendedahan di Hospital Langkawi sekejap bagi mengganti pakar hospital yang bercuti. Kurus-kursus jangka pendek program sarjana kepakaran yang saya sertai di hospital-hospital universiti seperti HUSM dan HUKM pula memberi pendedahan tentang bagaimana sesebuah hospital akademik berfungsi. Walau bagaimanapun, pengajian kepakaran saya tertangguh pada tahun 2013 apabila saya meletakkan jawatan sebagai penjawat awam dengan notis 24 jam bagi membolehkan saya bertanding sebagai calon Barisan Nasional di Parlimen Kuala Kedah pada Pilihanraya Umum ke-13.  Walaupun tewas di PRU-13, saya sedikit pun tidak pernah menyesal dengan tindakan ini kerana sememangnya menjadi matlamat saya sekian lama untuk berkhidmat pada skala yang lebih besar yang boleh mempengaruhi dalam penggubalan dasar kesihatan negara.

Kini saya bertugas di sebuah pusat perubatan swasta iaitu Mahsuri Medical Centre dan bertanggungjawab menjaga beberapa pusat dialisis swasta. Ini merupakan satu lagi pengalaman baharu yang sangat menarik. Jadual kehidupan saya lebih fleksibel membolehkan lebih banyak masa ditumpukan kepada gerak kerja NGO, politik dan pertubuhan amal yang berusaha menjadikan masyarakat kita sebagai sebuah masyarakat madani. Namun begitu, impian untuk menjadi seorang pakar perubatan tidak pernah dilupakan dan usaha ini masih saya teruskan. Saya yakin dengan berbekalkan ilmu dan pengalaman selama 16 tahun ini, saya akan lebih berupaya memberi sumbangan yang lebih bermakna kepada masyarakat pada masa hadapan.

Comments