HIMPUNAN AMAN DAULAT812 BANTAH ICERD

Himpunan Aman Daulat812 pada 8 Disember 2018 yang berlangsung di Dataran Merdeka telah dihadiri pada jangkaan saya lebih 500 ribu ummah jelas memberi petunjuk bahawa umat Islam mampu bersatu apabila kesucian agama, nasib bangsa serta kedaulatan raja-raja cuba dicemar melalui agenda untuk meratifikasi ICERD. Walaupun kerajaan PH sudah menangguhkan isu ini, tetapi selagi ia tidak dibatal secara rasmi melalui Parlimen, kita risau mereka hanya bermain wayang. Tambahan pula, melihatkan sikap kerajaan yang seringkali u-turn dalam beberapa polisi akhir-akhir ini amat meragukan kita. Propaganda untuk ratifikasi ICERD ini masih terus dibawa oleh golongan liberal di negara ini menunjukkan mereka masih belum berputus asa dan akan terus melobi kerajaan sehingga mereka mencapai matlamat mereka. 

Ucapan tahniah wajar diberikan kepada semua peserta kerana telah mempamerkan akhlak yang baik ketika berhimpun. Tiada maki hamun, mengotorkan kawasan atau aktiviti memijak gambar pemimpin malah tiada placard atau kain rentang yang menghina dan mengeji pemimpin kerajaan hari ini seperti yang pernah dilakukan oleh peserta-peserta BERSIH dahulu. Ini menunjukkan umat Islam Melayu sangat tinggi nilai peradabannya walaupun sebenarnya perhimpunan ini adalah menggambarkan kemarahan orang Melayu dan sebagai isyarat jelas kepada kerajaan PH agar jangan terus menyisihkan umat Melayu dalam setiap dasar dan jangan ganggu institusi dan hak yang telah termaktub dalam perlembagaan berdasarkan kontrak sosial yang telah dipersetujui pelbagai kaum sebelum Merdeka.

Jika anak cucu saya bertanya apa yang saya lakukan untuk membantah ICERD demi masa hadapan mereka, saya berani katakan yang saya telah hadir perhimpunan 812 dengan penuh tertib dan aman. Perhimpunan ini yang dihadiri oleh umat Melayu tanpa mengira fahaman politik adalah satu peringatan supaya ‘jangan dijolok sarang tebuan’. Melayu Islam pasti bangkit untuk pertahankan kontrak sosial dan perlembagaan. Terima kasih diucapkan kepada pihak PDRM, Rela, dan Unit Amal Pas yang memastikan perhimpunan berjalan dengan aman dan berhemah.

                                     


















Comments