PERTAHANKAN INSTITUSI RAJA BERPERLEMBAGAAN

Kebebasan bersuara adalah satu prinsip yang memberi kebebasan kepada individu atau komuniti untuk menyatakan pandangan dan idea tanpa rasa takut untuk didakwa, dikenakan tindakan undang-undang, atau dihadkan oleh sebarang tapisan. Namun begitu, kita perlu sedar hak kebebasan bersuara ini bukan sesuatu yang mutlak (absolute). Malah John Stuart Mill dalam bukunya On Liberty, memperkenalkan prinsip kemudaratan (harm principle) iaitu kebebasan bersuara perlu dibataskan dan sempadan perlu diwujudkan bagi perkara-perkara yang berkaitan dengan keselamatan awam, fitnah, hasutan, rahsia negara, hakcipta dan kecaman yang bertujuan menimbulkan kebencian dan keganasan.

Dalam konteks isu berkaitan kata-kata nista yang ditujukan kepada Yang Di-Pertuan Agong yang banyak tular di media sosial akhir-akhir ini, saya yakin tiada rakyat Malaysia yang waras menerimanya sebagai satu kenyataan berfakta. Ia adalah satu cacian yang jelas (clear cut sedition) dan berniat jahat yang mahu menimbulkan kebencian terhadap institusi Raja Perlembagaan di negara kita. Ini adalah satu serangan kepada sistem yang menjadi tunjang kestabilan dan perpaduan negara. Sebagai rakyat Malaysia yang bermaruah, kita jangan meremehkan perkara ini dan harus menolak unsur-unsur yang mengganggu gugat kedaulatan negara. Mari sama-sama kita pertahankan institusi Raja Perlembagaan kita.

Daulat Tuanku


Comments