MESYUARAT KOLABORASI NGO MENGENAI DADAH DAN PELENCONGAN SOSIAL

Mesyuarat Kolaborasi bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Kedah mengenai pendekatan terbaik menangani masalah penagihan dadah dan pelencongan sosial telah diadakan pada 15 Mei 2019 bertempat di Auditorium Perpustakaan Awam Kedah, Alor Setar. Taklimat inisiatif baharu program AADK ini disampaikan oleh YBhg Dr Sabri bin Zainudin Zainul, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) AADK Malaysia. Turut hadir Tuan Abdul Rahman bin Hamid, Pengarah Pencegahan AADK Malaysia dan Tuan Mahadzir bin Elias, Pengarah AADK Negeri Kedah.

Perkampungan nelayan Kuala Kedah telah dipilih sebagai program rintis untuk inisiatif baharu AADK ini. Dalam sesi dialog, saya telah mengutarakan beberapa pandangan :

1. Satu dasar yang jelas amat perlu berkenaan penagih dadah yang mendapat penyakit mental akibat penyalahgunaan dadah terutamanya dadah sintetik yang semakin berleluasa kini. Lebih banyak pusat pemulihan khas seperti di Tampoi harus disediakan bagi menampung jumlah pesakit mental sebegini yang semakin meningkat dan fenomena ini amat membimbangkan kerana melibatkan ramai golongan muda.

2. Masyarakat harus diberikan kesedaran bahawa penagihan dadah jenis sintetik akan menyebabkan simptom-simptom psikiatri seperti keganasan, paranoid, halusinasi dan delusi, iaitu tidak seperti penagihan opiat sebelum ini. Ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang mempunyai gejala sebegini wajar mempunyai syak bahawa ada kemungkinan anak mereka terlibat dengan dadah, dan perlu mendapatkan rawatan segera.

3. Kerjasama rasmi harus dijalinkan antara AADK dan JKM di peringkat pusat dan negeri bagi menyelaras dan menyelamatkan kanak-kanak anak-anak penagih yang diabaikan melalui penguatkuasaan Akta Kanak-kanak 2001. Setakat ini seperti yang saya mulakan di daerah Kota Setar, kerjasama ini masih bersifat longgar dan hanya secara tidak rasmi atas inisiatif jabatan masing-masing. 

4. Lebih banyak kuota untuk penempatan di pusat pemulihan untuk OKP-OKP dari Kuala Kedah sekiranya Kuala Kedah mahu dibersihkan segera daripada menjadi sarang penagihan. 

5. Kita perlu memantapkan program-program pemulihan dalam komuniti dengan melibatkan NGO, KRT dan masjid setempat, demi mencegah OKP-OKP ini daripada menjadi penagih berulang selepas keluar dari pusat pemulihan.

Saya bersetuju kata-kata Dr Sabri bahawa kita harus berhenti hidup dalam kepalsuan. Kita harus mengakui kita telah gagal dalam perang melawan dadah sejak dilancarkan pada tahun 1983. Tetapi itu bukan alasan untuk berputus asa. Kita harus berjihad secara berterusan menggunakan kaedah dan pendekatan baharu kerana nasib anak bangsa dan masa depan mereka sedang dipertaruhkan. Perjuangan membasmi najis dadah tiada penghujungnya dan harus diteruskan demi menyelamat anak bangsa. Selagi ada kekuatan saya akan terus menyumbang untuk usaha ini.

                                     









Comments